Artikel

8 Tanda Depresi atau Kemurungan. Adakah Anda Salah Seorang yang Memerlukan Bantuan dan Rawatan?

oleh Asri Yussof pada 28 Jun 2019

Tazkirah atau dalam bahasa Melayu bermaksud peringatan adalah perkara yang diperlukan oleh setiap manusia. Kadang-kadang kita mungkin tersilap langkah, alpa, atau lalai, maka untuk memperbetulkan arah tuju hidup kita, tazkirah sangat diperlukan sebagai makanan rohani kita.

Dalam buku terbaharu bertajuk Tazkirah Makan Dalam, ditulis oleh Anwar Nursi adalah buku yang sangat tepat untuk menjadi santapan rohani kita sehari-hari. Mungkin kita tidak sedar kelalaian daripada perbuatan kita. Sebab itu peringatan, teguran (tazkirah) sesuatu yang sangat penting.

Mari kita bercakap mengenai masalah utama yang melanda anak-anak muda hari ini. Iaitu DEPRESI.

Apakah Depresi?

Deprasi atau kemurungan adalah penyakit yang memberi kesan negatif terhadap perasaan kita. Cara kita berfikir dan cara kita bertindak. Kemurungan menyebabkan perasaan sedih atau kehilangan minat dalam aktiviti yang pernah dinikmati. Ia boleh membawa kepada pelbagai masalah emosi dan fizikal dan boleh mengurangkan keupayaan seseorang berfungsi di tempat kerja dan di rumah. (sumber: psychiatry.org)

Setiap orang, kemurungan yang mereka dapat adalah berbeza. Daripada yang biasa hingga kepada yang teruk. Tetapi penyakit ini boleh dilawan dan boleh diubati. Kita perlu bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan jika merasakan kita mempunyai tanda-tanda seperti berikut:

1. Merasa sedih atau mengalami perasaan tertekan

2. Kehilangan minat atau keseronokan dalam aktiviti yang pernah dinikmati

3. Perubahan dalam selera makan - penurunan berat badan yang tidak berkaitan dengan diet

4. Masalah tidur atau tidur terlalu banyak

5. Kehilangan tenaga atau peningkatan keletihan

6. Rasa tidak bernilai atau bersalah

7. Sukar untuk memberi tumpuan atau membuat keputusan

8. Mempunyai niat untuk bunuh diri

Anwar Nursi menulis di dalam bukunya, tindakan yang cermat adalah melawan bisikan palsu daripada fikiran liar ataupun syaitan. Jangan diserabutkan kepala kita dengan apa yang akan terjadi di masa akan datang.

Tambah beliau lagi, hiduplah untuk hari ini. Jangan diracuni hati sendiri. Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w, “Sesiapa yang memasuki waktu pagi dengan perasaan aman dalam hatinya, sihat badannya, dan mempunyai makanan untuk hari itu, maka seolah-olah dunia dengan segala isinya adalah miliknya.” (Hadis riwayat Imam At-Tarmizi).

Bagi mereka yang masih lagi boleh melawan depresi, dan boleh berfikir dengan baik, maka teruskan berlawan. Jika kita sudah tahap tidak mampu untuk menanggung seorang diri, maka berkongsilah dengan rakan-rakan yang paling kita percaya dan terus bertemu dengan doktor untuk dapatkan rawatan.

Saya petik satu ayat Al-Quran di dalam Surah Al-Talaq, 65, ayat 2-3 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024