Artikel

Rahsia Menjalankan Haji Secara Produktif

oleh Hidaya Arshad pada 01 Jul 2019

Majoriti bakal haji pasti bercita-cita untuk menunaikan ibadah haji dengan bersungguh-sungguh. Semangat haji membuak-buak semasa menghadiri kursus haji. Perasaan takut itu ada. Takut-takut kebiasaan buruk di Malaysia dibawa ke Mekah. Prof. Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku terlaris Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman berkongsi kisah untuk produktif ketika menunaikan haji.


Teh tarik, roti canai, kedai kopi, kedai mamak, dan berbual-bual pada waktu malam sangat sinonim dengan masyarakat Melayu Malaysia. Kini, termasuk dalam agenda utama mengisi sisa hari yang sudah dilalui iaitu minum-minum di kopitiam. Ia adalah budaya lepak yang mewarnai kota, bandar, dan desa. Dahulu dan sekarang. Cuma, gaya dan wajahnya berbeza.

Petua kami, jangan terjebak dengan budaya lepak semasa menunaikan fardu haji. Ia petua yang kelihatan ganjil tetapi agak mustahak. Mereka yang terlibat mungkin tidak terlalu ramai tetapi takut-takut berlaku kepada kita. Sekali terjebak ia sangat sukar untuk dipulihkan.

Jangan jadi haji lepak!

“Prof, minum teh di bawah,” pelawa seorang rakan sebilik di Madinah. Saya tersenyum dan menolaknya dengan baik. “Penat, mata saya sudah tidak boleh dibuka.” Itulah kali pertama dan terakhir beliau mempelawa saya. Hampir setiap malam beliau pulang lewat. Katanya berborak-borak dengan kawan-kawan sambil minum-minum.

Saya pasti beliau tidak ke masjid pada waktu solat Subuh walaupun saya adalah orang pertama meninggalkan bilik. Di Madinah, setiap kali kami pulang, beliau masih berselimut. “Prof, saya sudah kejutkan beliau sebelum ke masjid,” maklum seorang rakan sebilik yang lain. Beliau membuat aduan kepada saya kerana sebelum ke masjid, beliaulah yang saya kejut sambil berpesan supaya mengejutkan yang lain.

“Minta maaf, sudah solat Subuh?” sambil berbisik saya mengejutkan beliau. Beliau bangun dan bersolat di bilik. Mengapa beliau sukar untuk bangun pada waktu subuh? Apakah beliau gagal dibangunkan kerana melepak pada malam hari? Mungkinkah ia kerana keletihan? Tiada siapa yang dapat memberi jawapan.

Mekah dan Madinah merupakan dua bandar yang mempunyai kelengkapan setanding dengan bandar-bandar di tempat lain. Secara umum, kedudukan Madinah kelihatan teratur berbanding Mekah. Hotel dan kedai-kedai yang terdapat di sekitar Masjid Nabi tersusun rapi. Namun pembangunan Mekah yang sedang rancak berjalan akan menukar wajah Mekah kepada bandaraya moden. Ia setanding dengan bandar-bandar utama yang lain.

Bezanya, manusia hadir ke Mekah dan Madinah kerana tuntutan agama. Maksud saya, jika tiada orang berihram, bertawaf atau bersaie maka yang bakal kelihatan di Mekah adalah manusia sibuk. Ramai yang sedang membeli belah, menikmati kebab di tepi jalan ataupun menjamu nasi mandy di restoran, makan di Pizza Hut atau KFC serta minum-minum di kiosk atau coffee house yang beroperasi di hotel-hotel besar dan sederhana. Malah terdapat banyak kedai sederhana besar yang menyediakan pelbagai jenis makanan Arab, Turki, India, dan Indonesia di sekitar Masjidilharam.

Barangkali juga Mekah akan menjadi bandar mati yang kering kusam.

Kami selalu menganjurkan kepada pasangan suami isteri supaya mengambil kesempatan untuk makan bersama di restoran. Cuma, pilihlah waktu yang paling sesuai supaya ia tidak mengganggu amal ibadat yang lain. Kami sekeluarga bersama adik dan kakak sering makan malam di hadapan dataran Pintu 1 selepas usai solat Isyak.

Dalam suasana angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, dikelilingi oleh ratusan jemaah lain, sambil makan kami sentiasa berbincang dengan apa yang sudah kami lalui pada hari tersebut. Subhanallah, ulasan demi ulasan tentang keindahan, keseronokan, dan keterujaan kami dengan hari-hari yang kami lalui. Sesi ini sebenarnya membina ikatan kasih sayang antara kami sekeluarga malah menambah semangat untuk memulakan hari esoknya.

Sesekali dalam tempoh sebulan lebih di Mekah dan Madinah, kami menjamu selera di pelbagai restoran makanan luar negara terutamanya makanan di sebelah Turki dan Arab. Kami tahu adik dan kakak yang ikut serta tidak pernah berkesempatan untuk melihat dunia luar kecuali negeri-negeri di Malaysia.

“Kak Mie, Na mungkin tidak berpeluang untuk ke Turki, mari kita makan makanan mereka di sini. Tukar selera,” ajak saya kepada mereka. Namun ruang-ruang seumpama ini sangat terbatas. Ia hanya dilakukan ketika selesai solat Isyak, memberi ruang antara 30 minit hingga sejam untuk bersama kami sementara menunggu waktu tidur.

Sebagaimana membeli-belah barangan, saya tidak mahu kegiatan lain mengganggu urusan ibadat khusus kami sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Budaya lepak-lepak, window shopping, dan menonton TV di lobi ataupun bilik hotel, serta berbual-bual kosong sambil bergosip benar-benar mahu kami hindari. Saya tidaklah berilmu tetapi saya berharap apa yang kami lakukan itu diterima Allah.

Hakikatnya, malam dan siang di Mekah dan Madinah adalah ruang untuk mencuba supaya sentiasa hampir kepadaNya. Jika ada yang mengajak, “Jom minum-minum,” kemudian kita menolak dengan baik, tiada siapa yang akan berkecil hati. Jika ada sekali pun, usah dipedulikan. Biar mereka mengerti yang kedatangan kita menunaikan fardu haji mahu dipisahkan dengan budaya dan tabiat semasa di Malaysia.

No untuk lepak-lepak!


Petikan kisah ini adalah sebahagian daripada kandungan buku tulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim dan Roza Roslan, 50 Tip Motivasi Haji & Umrah (Edisi Terkini).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024