Artikel

Bagaimana Filem Aladdin Memberi Kritikan Kepada Konservatisme Arab Saudi

oleh Asri Yussof pada 24 Jun 2019

Sekali imbas apabila menonton Aladdin, pasti kita akan menikmati cinta antara Puteri Jasmine dan Aladdin. Filem ini mula ditayangkan kepada penonton pada tahun 1992. Sudah 27 tahun kandungan filem ini bertahan dan masih wajar untuk ditonton oleh generasi hari ini.

Ini memberi inspirasi kepada penulis senario, penulis skrip dan lakon layar bahawa kandungan cerita yang bagus akan menjadi kandungan yang ‘evergreen’ dan ia akan kekal relevan bagi generasi-generasi akan datang.

Dua kali imbas, filem ini juga menempelak konservatisme pemerintahan keluarga Saudi di Arab. Wanita di Saudi, hanya baru-baru ini sahaja menikmati sedikit udara kebebasan apabila mereka sudah dibenarkan untuk memandu kereta di sana. Tetapi tetap dalam beberapa hal, wanita di Arab Saudi menjadi nombor dua selepas lelaki.

Di awal filem ini, Puteri Jasmine tidak mendapat restu ayahnya untuk mengambil alih takhta kerajaan monarki yang diamalkan oleh mereka. Bagi ayahnya, tradisi kerajaan monarki mereka hanya layak diperintah oleh lelaki. Seorang wanita tidak layak untuk menjadi pemimpin utama negara walaupun sebenarnya Puteri Jasmine sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Di akhir cerita, Puteri Jasmine direstui oleh ayahnya untuk memerintah selepas beberapa siri halangan dan cabaran yang sudah mereka tempuhi.

“Perempuan bukan perlu menunggu lelaki untuk dikahwini dan menjadi permaisuri, tapi kau layak menjadi raja,” begitu lebih kurang dialog yang dituturkan oleh ayahnya.

Ini adalah tamparan hebat kepada monarki di Arab Saudi. Ada satu babak dalam filem ini di mana Puteri Jasmine bersuara dan berkata, “Tidak! Aku perempuan dan aku ada hak untuk bersuara!” Satu kenyataan yang kuat berkumandang di tanah Arab Saudi yang memberi layanan kelas kedua kepada para wanita (sebahagian besarnya).

Aladdin mula ditayangkan pada tahun 1992. Walaupun kisah dan jalan ceritanya sudah mencapai tempoh 27 tahun, tetapi kandungannya masih segar untuk ditonton oleh orang kini.

Namun filem ini tidak terlepas daripada kontroversi dan kritikan. Kritikan pertama tentulah tentang kebudayaan yang diangkat dalam filem ini. Adakah benar-benar menepati citarasa dan gaya Timur Tengah. Tim produksi yang diketuai oleh Guy Ritchie berjaya menyampaikan dengan lebih baik daripada versi 1992 tetapi usahanya tidak berjaya memuaskan hati semua pihak.

Salah satu kritikan yang besar datangnya daripada Majlis Hubungan Amerika-Islam. Mereka mengeluarkan kenyataan akhbar baru-baru ini yang meminta pengulas dan pengkritik mengakui bahawa “mitos Aladdin berakar umbi oleh perkauman, orientalisma dan Islamophobia” dan “menangani kebimbangan mengenai stereotaip kaum dan agama yang dilestarikan dicipta oleh filem Disney ini.”

Kebanyakan orang berfikir bahawa kisah Aladdin berasal daripada kisah asal 1001 Malam, yang merupakan koleksi cerita rakyat Timur Tengah. Tetapi sebenarnya, Aladdin bukan cerita tradisional daripada leluhur rakyat Timur Tengah.


*kredit gambar: Disney

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024