Biografi Muhammad 2011: Sirah Rasulullah yang Menggugah Emosi (siri 2)

oleh [email protected] pada 07 Feb 2012

Sebelum Muhammad dilahirkan, ibu baginda iaitu Aminah mengalami satu mimpi yang ajaib. Aminah melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki. Bersama-sama anak lelaki itu, keluar satu cahaya yang menerangi seluruh bumi. Aminah juga melihat dirinya berdoa,

“Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya anak ini diselamatkan daripada semua orang yang dengki kepadanya.”

Semasa mengandungkan Muhammad, Aminah tidak merasa penat atau sakit. Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan. Muhammad lahir pada hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Mengikut ahli sejarah, kelahiran ini berlaku 50 hari selepas peristiwa Abrahah dan tentera bergajah dihancurkan oleh Allah dengan rejaman batu-batu yang panas daripada burung Ababil.

Banyak perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hasan Bin Thabit, penyair Rasulullah menceritakan,

“Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, ‘Bintang Ahmad muncul di langit.’”

Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan.

Apabila Muhammad dilahirkan, Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi bergegar. Gegaran itu meruntuhkan 14 anjung istana dan memadamkan api sembahan orang-orang Majusi yang tidak pernah padam sejak beribu-ribu tahun. Tasik Sawwah yang berhampiran istana Raja Farsi juga tertimbus disebabkan gegaran itu. Kejadian ini adalah petanda kepada kejatuhan Farsi, kerajaan yang terbesar pada masa itu.

Peristiwa ajaib yang berlaku ketika kelahiran Muhammad ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah, buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah.

Dalam siri ketiga, detik-detik kematian Muhammad akan dikongsikan dengan para pembaca.