Artikel

Ada Orang Kata, Komik Ini ...

oleh Mohd Ekram Al Hafis pada 26 Feb 2020

Ada orang kata komik ini adalah agen perosak bahasa….

Apabila kita amati dengan teliti, rupanya ada banyak kajian ilmiah di peringkat universiti, sama ada institusi tempatan mahupun antarabangsa yang membuktikan bahawa komik bukanlah agen perosak bahasa. Malah, ia menjadi agen yang berupaya membantu pelajar lebih memahami pelajaran dengan bantuan visual yang lebih santai dan menarik.

James Whiting (2016), dalam kajiannya menggariskan beberapa elemen terbaik penggunaan komik dalam mengajar bahasa Inggeris. Antaranya adalah; pengalaman emosi yang menyeronokkan, menggalakkan kreativiti, menyemai kebijaksanaan pragmatik, dan refleksi kemahiran berfikir aras tinggi.

Pada tahun 2011, Steven Graham menggunakan komik dalam kajiannya bertajuk Comics in the Classroom: Something to Be Taken Seriously” menjelaskan bahawa prinsip belon dialog dalam komik memudahkan pelajar membaca dan mempelajari bahasa dengan lebih berkesan. Imej komik yang dilukis dengan menarik serta penuh dengan emosi gembira, sedih, kelakar, dan sebagainya menarik minat pelajar untuk terus melantunkan bahasa-bahasa daripada belon dialog dengan penuh dramatik yang secara tidak langsung membantu mereka untuk bertutur dengan penuh yakin. Ini turut membolehkan mereka belajar bertutur dan membaca dengan penggunaan bahasa yang betul.

Paling hampir dengan kita di Malaysia, komik-komik daripada penerbit Komik-M begitu menitikberatkan elemen penggunaan bahasa yang betul dan tepat, sekali gus mendidik serta mempengaruhi penggemarnya untuk bertutur dan menggunakan bahasa yang betul.


Ada
orang kata, pengisian dalam komik tidak elok dan merosakkan fikiran pembaca….

Tahun 2018, ketika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempergiat usaha memberi kefahaman tentang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), muncul sebuah komik berasaskan STEM hasil kerjasama KPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Universiti Sains Malaysia (USM). Komik ini dihasilkan dengan mengambil kira pandangan pakar daripada golongan pensyarah dan guru yang menggembleng tenaga menyempurnakan komik ini. Menariknya di sini adalah apabila medium komik digunakan untuk memberi kefahaman kepada para pelajar dan diiktiraf keberkesanannya sebagai alat penyampai mesej yang berkesan.

Dalam arus perdana pula, terdapat banyak kandungan komik yang hadir dengan pelbagai cerita yang berbentuk hiburan, tetapi terselit pesanan moral, motivasi, pelajaran, dan nilai murni. Saya mengajak agar sesekali kita meninjau pasaran komik tempatan, dan pastinya kita akan menjumpai komik-komik yang bagus kandungannya, baik kualiti lukisan, serta amat berbaloi dijadikan bahan rujukan. Kita juga akan menjumpai pelbagai genre komik seperti komik sains, matematik, bahasa Inggeris, dan sejarah dari sudut pembelajaran dan pengajaran dalam naratif penceritaannya.


Adakah
komik sejenis seni? Macam senang sahaja nak melukis. Aku pun boleh melukis….

Komik adalah seni di bawah payung ilustrasi. Komik juga adalah medium ekspresi dan penghasilannya melibatkan proses-proses kreatif yang subjektif dan perlu dipelajari. Seni komik menduduki tahap estetik yang tertinggi kerana ia bukan hanya sekadar perlu pandai melukis semata-mata. Menurut Scott McCloud, seni komik melibatkan prinsip kejelasan dan komunikasi, kemahiran menyusun jalan cerita, menggambarkan bingkai cerita, mencipta pengalaman pembaca, merangka hubungan dua hala dengan pembaca hanya dengan kekuatan rekaan watak dan karakter, ekspresi wajah, bahasa tubuh, dan bermacam-macam lagi ilmu yang seharusnya dipelajari untuk berkomik.

Negara Jepun yang terkenal dengan kemajuan teknologi mempunyai banyak fakulti komik (manga) di beberapa universiti mereka. Antara yang terkenal adalah di Kyoto Seika University. Di sana, ilmu tentang komik dibahas, dikaji, dan dikembangkan. Antara komik dari Malaysia yang pernah mendapat tempat di galeri komik universiti ini adalah Kampung Boy karya Datuk Lat dan komik Atan karya Ben Wong. Komik Atan terbitan Komik-M memenangi Silver Award menerusi International Manga Award yang diadakan di Tokyo pada tahun 2015.

Komik ATAN di Kyoto International Kyoto Museum. (Foto daripada http://mattingtong.blogspot.com/2015/12/manga-museum-kyoto.html)
Komik ATAN di Kyoto International Kyoto Museum. (Foto daripada http://mattingtong.blogspot.com/2015/12/manga-museum-kyoto.html)

Di Amerika Syarikat pula terdapat California College of the Art yang menawarkan program sarjana khusus kepada kajian melibatkan komik. Kini, universiti tempatan juga semakin terasa bahangnya apabila medium komik sering diangkat dan dijadikan alat untuk berkomunikasi dalam pelbagai bidang.


Baiklah.
Jadi, apa yang perlu saya lakukan?

Bangsa yang membaca melambangkan bangsa berilmu dan bertamadun. Tabiat membaca menggalakkan kita berfikir, membuat pemerhatian, dan menganalisa secara matang dan berilmu. Ada sebahagian golongan berpendapat bahawa membaca ialah aktiviti yang membosankan jika dibanding dengan bermain game di telefon ataupun menonton video di YouTube. Apatah lagi jika buku itu adalah buku ilmiah yang tebal-tebal, pasti dianggap amat membosankan. Jadi, saya sarankan untuk cuba membaca senaskhah komik yang ringan. Rasakan pengalaman berimaginasi dengan lukisan dan jalan cerita dalam komik. Secara psikologinya, setiap karya seni berupaya memberi pengalaman estetik yang mampu menangkap emosi dan memperkuatkan kognisi. Emosi dan kognitif yang seimbang mampu membantu seseorang membuat keputusan, sentiasa tenang, dan peka dengan persekitaran.

Sebelum menutup penulisan ini, saya mengajak anda semua merenung kenyataan ini; Jepun boleh bangkit serta maju dengan komik, Indonesia dapat memelihara warisan budaya dalam komik, dan Amerika Syarikat mampu menanam idealogi dalam komik. Maka seharusnya kita juga mampu menghasilkan komik dengan kekayaan khazanah warisan kita sejak zaman berzaman. Sekian.

Penulis ketika membentangkan topik integrasi teknologi dalam seni komik di sebuah universiti diThailand
Penulis ketika membentangkan topik integrasi teknologi dalam seni komik di sebuah universiti diThailand


* Mohd Ekram Al Hafis Bin Hashim merupakan tenaga pengajar dalam bidang animasi di Jabatan Multimedia Kreatif, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim (UPSI). Kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat PHD dalam bidang Media Baru dengan kajian tentang komik, animasi, dan teknologi XR (Virtual reality, Augmented Reality & Mix Reality).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024