Artikel

Anak Leka Bermain Gajet Sampai Mata Rabun. Ini 12 Tip Mengurus Anak Bermain Gajet

oleh Hidaya Arshad pada 09 Mar 2020

20 tahun yang lalu, gajet seperti telefon bimbit atau komputer tablet merupakan satu keperluan. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, ia sudah menjadi suatu barang kemestian sehinggakan anak kecil seusia 2 tahun sudah didedahkan dengan gajet ini. Isu sekarang ini ramai anak-anak sudah ‘ketagihan’ gajet. Akibatnya, ada yang kurang mendengar cakap, dan ada yang sudah bercermin mata seawal umur 7 tahun.

Sebenarnya, ada beberapa cara untuk mengurus anak bermain gajet yang dikongsikan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki daripada buku tulisan beliau, 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi untuk dijadikan panduan supaya gajet ini menjadi suatu impak yang positif kepada anak-anak.

Berikut 12 tip yang disarankan oleh beliau:

  1. Jelaskan kepada anak baik dan buruk pengaruh media ataupun Internet.
  2. Dedahkan kesan tidak kira sama ada kepada pembangunan sosial mahupun sahsiah diri sekiranya disalah guna oleh mereka.
  3. Tentukan masa yang spesifik untuk anak menggunakan gajet mengikut kesesuaian tahap mereka. Contohnya, 20 minit setiap hari.
  4. Gunakan jam loceng bagi menetapkan masa penggunaan gajet supaya anak peka dan memberi tindak balas terhadap masa yang dihadkan oleh ibu bapa.
  5. Sekiranya anak ketagih dengan gajet, bimbing dan fikirkan solusi dengan cara yang berfaedah untuk mereka aplikasikan dalam kehidupan mereka. Letak matlamat bergajet bagi memberi impak bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi kepada masyarakat Islam juga.
  6. Tunjukkan anak laman sesawang ataupun aplikasi yang mendatangkan manfaat kepada mereka termasuk dari sudut pembangunan ilmu pengetahuan, perkembangan emosi, mahupun kerohanian.
  7. Rangsang minat anak menghasilkan idea-idea bernas untuk dikongsi bersama masyarakat di laman sosial supaya mendatangkan kebaikan kepada mereka.
  8. Ibu bapa perlu tegas dalam memantau kehidupan anak-anak sewaktu menggunakan gajet terutama semasa melayari laman sosial. Jadikan setiap arahan dan bimbingan sebagai rutin supaya dapat disampaikan dengan betul dan perkembangan anak-anak dapat dipantau dengan lebih efektif.
  9. Pastikan anak menggunakan gajet di tempat yang terbuka dan mudah dilihat oleh orang lain.
  10. Disiplinkan anak dengan menetapkan perkara-perkara yang perlu dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan sewaktu menggunakan gajet. Jadikan sebagai pegangan supaya anak sentiasa ingat batas-batas sewaktu menggunakan gajet.
  11. Jelaskan kepada anak perkara-perkara yang boleh dilakukan dan perbuatan yang perlu dielakkan semasa menggunakan gajet ataupun melayari Internet.
  12. Dekatkan anak dengan jurnal-jurnal pemikiran Islam untuk mereka kaji, faham, dan aplikasikan ilmu yang ada demi kelangsungan tamadun Islam yang hebat.

Semoga dengan perkongsian ini, kita bukan sahaja dapat membentuk anak celik IT, tetapi dapat juga membentuk anak yang sihat psikologi dan fizikal.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024