Artikel

“Kalau Saya Tidak Berhutang, Saya Tidak Dapat Pakai Barang Itu.”

oleh Ijat Halim pada 24 Feb 2020

Berdasarkan Berita Harian pada 6 Disember 2016 melaporkan kadar muflis golongan muda di Malaysia adalah sesuatu yang membimbangkan. Lebih menyedihkan, mereka yang diisytiharkan muflis turut mengakui punca utama kegagalan adalah disebabkan oleh kurangnya pendidikan dan perancangan kewangan yang baik. Hal ini demikian kerana mereka ingin dilihat hidup secara mewah sehingga kadangkala sanggup berhutang keliling pinggang dan boros setelah mula mendapat pendapatan bulanan. Tambahan pula, mereka mengendahkan sahaja tabungan kecemasan jangkamasa pendek dan jangka panjang iaitu selepas persaraan.

Oleh itu, PTS Media telah menerbitkan sebuah buku yang boleh dijadikan panduan terutama kepada generasi Y dalam menguruskan kewangan dengan baik dan bebas daripada hutang. 5 sebab mengapa golongan muda perlu dapatkan buku Anak Muda Bebas Hutang;

1. Latar belakang pengarangnya yang mempunyai pengalaman yang luas dalam kewangan

Sudah pasti dalam pemikiran kita timbul persoalan, ‘Pernahkah penulis merasa hidup susah?’. Buku ini sebenarnya diselitkan kisah benar penulis sendiri dalam menguruskan kewangan apabila mula mendapat pendapatan yang pertama dalam hidup beliau. Beliau yang merupakan Pengarah Urusan di sebuah firma, berpengalaman luas dalam bidang hartanah, pengurusan kewangan, khidmat latihan, dan perbankan. Beliau pernah berkhidmat sebagai pengurus kanan audit di beberapa syarikat GLC dan institusi kewangan sebelum menguruskan firma Badrul & Co sepenuhnya. Jadi, segala perkongsian dalam buku ini diceritakan oleh penulis dengan seikhlas hati!

2. Mengandungi pelbagai tip, teknik dan nota yang disertakan dengan gambarajah

Buku ini mengandungi tip, teknik, nota, dan perkongsian pengalaman untuk golongan muda supaya bebas daripada belenggu hutang. Buku ini juga disertakan dengan gambarajah, grafik serta jadual yang ringkas. Interaktif yang menarik telah menjadikan buku ini mudah di’hadam’ oleh pembaca daripada pelbagai peringkat umur. Jadi, infografik yang menarik sudah semestinya meningkatkan mood kita semasa membaca.

3. Sarat dengan sumber daripada hadis dan petikan ayat Al-Quran

Apa yang membezakan antara buku panduan kewangan ini dengan yang lain (terutamanya dari barat) adalah buku ini sarat dengan sumber daripada hadis dan petikan ayat Al-Quran. Sekaligus maklumat yang dikongsikan membuatkan kita berasa lebih yakin tanpa ragu-ragu. Di dalam Al-Quran dan hadis, begitu banyak Allah menerangkan kaitan hutang dan sedekah. Buku ini juga turut berkongsi berkenaan doa untuk bebas daripada hutang.

4. Merangkumi cara untuk melunaskan pelbagai jenis hutang

Ramai yang menganggap maksud hutang ialah meminjam wang sahaja. Sebenarnya hutang merangkumi pembiayaan rumah, pinjaman kereta, baki kad kredit, dan juga transaksi bisnes. Hutang daripada segala cabang akan membuatkan kita tidak senang untuk tidur malam. Penulis yakin perkongsian ini dapat menyelesaikan masalah ‘pening kepala’ dan stres kita.

5. Turut menyelitkan info takaful dan sedekah

Wang yang diperolehi tidak semestinya perlu habis dibelanja. Kita boleh mencarum takaful kerana ia amat penting pada masa depan. Melalui buku ini, kita dapat didedahkan tentang keperluan takaful yang merupakan pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah dan sudah dijamin selamat. Bukan itu sahaja, di dalam buku ini juga kita dapat mengetahui pelbagai fadhilat (kebaikan) amalan bersedekah. Ketahuilah bahawa bersedekah dapat menjemput rezeki.

Buku Anak Muda Bebas Hutang sangat sesuai dan disyorkan kepada golongan yang berumur dalam kalangan 20 – 30 tahun. Penulis amat memahami bahawa di peringkat usia inilah kita akan mengalami jatuh bangun, muflis, dan keliru dalam menguruskan kewangan. Semoga buku ini dapat membantu kita menguruskan kewangan dengan lebih teratur dan bebas daripada segala hutang yang ada. In sha Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025