Artikel

Agama Lain Ada Ajaran Sesat? Semuanya Dalam Kau Sembah Apa? Part 2

oleh Fazzira Ghazali pada 17 Feb 2020

Kali ini, Ahmad Iqram sekali lagi membongkar ajaran-ajaran menyimpang pelbagai agama di Malaysia. Ini adalah buku bahagian dua; semakin menarik, semakin padat infonya!

Seperti yang kita tahu, Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Masyarakat majmuk, secara amnya. Sebut sahaja, agama Islam, Buddha, Kristian, Konfusiasisme, dan sebagainya. Kita mesti sudah biasa dengar, bukan?

Kau Sembah Apa? Part 2 mengupas tentang ajaran sesat yang sudah menular di Malaysia. Untuk agama Islam sahaja, kisah Ayah Pin dan kerajaan langit sudah tidak asing lagi! Malah, semakin menjadi-jadi ajaran sesat untuk agama lain. Kadang-kadang, ianya nampak sangat tidak relevan dan tidak masuk akal, namun ini adalah realiti yang perlu kita hadapi.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), telah mendefinisikan ajaran sesat sebagai sebarang ajaran yang di bawa oleh orang Islam atau bukan Islam walhal ianya bertentangan dengan Al-Qur’an, As-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau fatwa-fatwa ASWJ dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Justeru, ajaran sesat ini sememangnya amat luas sama ada sesat dari sudut kepercayaan atau akidah, sesat dari sudut pengamalan atau syariat dan sesat dari sudut akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

Dalam buku ini, beliau menjelaskan isu-isu agama yang berlaku dalam agama Buddha, Kristian, Taoisme, Hindu, dan agama Baha’i. Dalam setiap agama, misalnya dalam isu agama Kristian sangat berkait rapat dengan isu kalimah suci Allah. Seperti mana yang kita tahu, kalimah Allah S.W.T amatlah suci dan wajib bagi setiap umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan perlulah disekat segala penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut berdasarkan undang undang yang telah ditetapkan. Beliau berkongsi lagi tentang bagaimana unsur kepentingan politik seakan-akan telah menjadi pokoknya, akan tetapi perkara seperti ini haruslah dijaga kerana ianya melibatkan soal kepercayaan dalam agama dan juga undang-undang.

Penulis juga menegaskan bahawa Bible sebenarnya telah beberapa kali diterjemahkan. Pelbagai persoalan sudah dijawab dalam buku ini. Antaranya termasuklah adakah Nabi Isa A.S bercakap bahasa Inggeris dan menyebut ‘God’ untuk menggantikan nama Tuhan di dalam Injil? Begitu juga dengan Nabi Musa A.S di dalam kitab Taurat. Sejarah penterjemahan Bible itu sendiri akan terjawab di dalam buku ini.

Pada awal Januari 2019, kita sekali lagi dikejutkan dengan isu paparan salib di Bangunan Grace Residencs, Jelutong. Ianya tular di kebanyakan media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram mengenai sebuah kediaman kategori pangsapuri di Jelutong yang memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu terutamanya pada waktu malam selepas kesemua lampu itu dipasang. Hal ini telah menyebabkan rasa tidak puas hati kepada masyarakat setempat dan mereka telah membuat laporan polis. Penulis menyangkal istilah “Salib Fobia” yang dilemparkan kepada Muslim terutamanya, kerana beliau berpendapat orang Islam Melayu tidak ada sebarang alasan di sebalik falsafah itu untuk berasa fobia dan ianya amat berbeza sekali dengan sikap ‘anti’ terhadap nombor empat bagi sesetengah bangsa.

Di Malaysia, pelbagai gerakan semakin menjadi-jadi. Antaranya, gerakan seperti Shincheonji; di mana pengasasnya Lee Man Hee telah mendakwa bahawa dirinya sebagai Jesus pada akhir zaman, kitab Bible itu bersifat metafora dan kiasan yang hanya boleh ditafsir olehnya. Gerakan-gerakan ini, kebiasaannya menggunakan cara halus untuk masuk ke Malaysia. Mereka tidak menggunakan badan agama sebagai medium perantaraan, tetapi menggunakan NGO dan pertubuhan keamanan. Sungguh licik, bukan? Disebabkan itu, kerajaan perlulah bersifat proaktif dan sentiasa memantau badan badan ini supaya ianya terkawal dan setiap masyarakat dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Adakah kita sudah bersedia? Sedar atau tidak, selain daripada gerakan menggunakan cara halus seperti itu, kita perlu tahu bahawasanya media massa dunia dikuasai oleh orang bukan Islam. Tambahan pula sesetengah, agensi yang berkuasa tersebut tidak mementingkan langsung nilai atau ajaran Islam. Unsur hiburan yang amat melampau di dalam media massa sehingga melekakan masyarakat menyebabkan ada yang menganggap untuk apa belajar bersusah payah sedangkan wujud platform-platform menerusi pelbagai program realiti yang menjanjikan populariti dan kemewahan duniawi. Mashaa Allah, semoga Tuhan melindungi kita semua dan diberikan hidayah untuk kembali ke pangkal jalan.

Untuk kali ini, penulis hanya fokus tentang perbincangan isu yang timbul dalam agama bukan Islam sahaja. Ianya turut merungkai segala kronologi isu-isu semasa yang berkaitan dengan agama di Malaysia ini. Sebagai pembaca Islam, ia dapat membuka minda dan jiwa untuk memberikan perhatian yang khusus kepada akidah Islam yang merupakan benteng pertahanan yang kukuh umat Islam untuk mendepani ajaran sesat dan pemikiran yang menyeleweng. Sangat sesuai bagi pembaca yang inginkan informasi yang padat tetapi dalam bentuk yang lebih santai kerana gabungan isu diletakkan hanya dalam satu buku. Malah, penulis turut berjaya membuatkan pembaca akan lebih cintakan agama, dan memahami bagaimana Islam itu agama yang memudahkan umatnya, dan ianya bersifat syumul atau menyeluruh yang aturan-aturannya berkaitan dengan semua aspek dan bidang. Ayuh dapatkan buku karya Ahmad Iqram ini sekarang!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024