Artikel

Srikandi-Srikandi yang Benar-Edisi Terkini

oleh Waridah Lothpi pada 24 Aug 2020

Ia perlu dibaca dengan memahat kuat kata-kata penegasan penulis di awal buku;

“Meskipun novel ini menjadikan figura dalam sirah Islam sebagai subjek penulisan, ia tetap adalah SEBUAH KARYA KREATIF iaitu novel yang tidak terlepas daripada unsur tokok tambah dan pengurangan fakta. Justeru, membaca karya ini sebagai sebuah karya sejarah atau sirah adalah SALAH sama sekali, apatah lagi dijadikan rujukan ilmiah atau bukan ilmiah.”

Cerita tentang bonda Rasulullah; Aminah, anak baginda; Fatimah Az Zahra, juga wali Allah tersohor; Rabiatul Adawiyah.

Pun begitu sebagaimana yang dipesan penulis, banyak isi cerita yang telah ditokok untuk menambah nilai kreatifnya. Apabila didramatikkan, memang ya ceritanya terasa lebih hidup, seolah-olah sedang menonton filem. Namun untuk kesahihan daripada segi fakta, saya sangat cadangkan usai membacanya, eloklah dirujuk juga sirah asal daripada sumber-sumber terpercaya.

Lalu, bagaimana untuk memanfaatkan novel sirah ini? Bacalah saja seperti biasa, dan kutip segala ibrah yang ditemukan sepanjang kembara helaian demi helaian. Untuk saya sendiri, apabila ada beberapa babak penceritaan yang kelihatan berlebihan, saya buat tak nampak sahaja. “Ingat, ini novel,” kata hati.

Ibrah yang terjumpa, jauh lebih banyak.

Saya sangat menggemari gaya bahasa yang digunakan, lunaknya mendasar ke hati. Pemilihan perkataan dalam setiap dialog, membuatkan pembaca terasa ada di dalam buku.

Misalnya babak Abdullah sepatutnya menjadi korban, ada suara hadirin yang menempelak,

“Tolonglah, mereka ini masih muda. Baru mahu mengenal dunia, sudah disuruh mati, kasihannya!”

Cerita tentang bonda Rasulullah, diakhiri dengan, “Bayangkan, perpisahan sebelum disatukan amat pedih dan perit, namun perpisahan selepas disatukan sebagai suami isteri, lantas berpisah selama-lamanya, semestinya lebih pedih dan memeritkan. Itulah kisah cinta suci Aminah dan Abdullah, ibu dan bapa kepada Nabi Muhammad.

Setelah kisah bonda baginda, kita soroti pula kisah anakanda kesayangan baginda, Fatimah. Saya kira bab ini boleh dibaca dengan agak selesa kerana sebahagian besar penceritaan lebih berbentuk “pihak ketiga”. Mesej cerita masih boleh dinikmati dengan gaya begini.

“Walaupun Ali sentiasa menjaga hati Fatimah, akhirnya hati Fatimah terguris juga apabila Ali menyatakan hasratnya mahu menikah lagi. Fatimah sudah faham akan resam berpoligami memandangkan ibu tirinya juga ada beberapa orang termasuk Aisyah dan Hafsah.”

Yang dicatatkan oleh Bukhari, Rasulullah bersabda, “Aku sama sekali tidak mengizinkannya, kecuali Ali menceraikan anakku dan menikahi anak mereka. Sungguh, aku tidak bermaksud menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Namun demi Allah, tidak akan dapat berkumpul dalam satu rumah antara puteri Rasulullah dan puteri musuh Islam, selamanya.”

Cerita terakhir adalah kesukaan saya, kisah Rabiatul Adawiyah. Ayat-ayat yang digunakan sebagai melambangkan kata-kata wali Allah itu sangat merasuk, hingga terbawa-bawa ke luar buku.

Kata Rabiah,

“Asingkan diri kalian daripada dunia ini dan sembunyikan diri kalian sejauhnya. Bukankah dalam sunyi itu ada cahaya, dan dalam cahaya ada kebenaran?”

“Jaga adab kalian dengan Allah. Ilmu kalian tidak menjamin akhlak dan adab, bahkan ilmu itu juga sekiranya digunakan bukan pada tempatnya, hanya menyebabkan kalian terhumban dengan hina ke dalam neraka.”

“Khusyuk dan tawaduk yang terbaik adalah semasa solat. Jadikan diri kalian tawadhuk dan khusyuk seperti dalam solat sepanjang hari dan setiap detik.”

“Carilah akhirat, nescaya dunia mengejarmu. Sekiranya hanya dunia yang kamu idamkan, hancurlah dunia dan akhiratmu.”

Kata-kata di dalam buku ini, dengan izin Tuhan telah meresap ke dalam hati, hingga terasa mahu bermonolog dengan Tuhan sepanjang masa. Mudah-mudahan momentumnya kekal lama.

Pun begitu, jangan dilupa pesan awal. Nikmatilah ia sebagai sebuah novel.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024