Artikel

“Anak Saya Lambat Beri Respon.” 3 Aktiviti Membantu Anak Lebih Cerdas

oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan pada 12 Mar 2020

Sudah pasti tidak ada ayah dan emak yang suka (dan boleh menerima) jika si kecil manja mereka dilabel sebagai ‘lembam’ atau ‘lembap’ oleh orang lain di sekeliling mereka. Ini kerana semua pasangan emak dan ayah mahu anak mereka menjadi seorang manusia yang pintar lagi cerdas! Akan tetapi, perkataan berlawanan atau antonim perkataan ‘cerdas’ sudah sememangnya lembam atau lembap.

Realitinya, memang ada kanak-kanak yang dikategorikan sebagai lembam atau lembap. Mereka ini kanak-kanak yang sedikit lambat berfikir; tidak berapa cekap menduga sesuatu atau tidak cergas melakukan aktiviti fizikal. Tahukah ayah dan emak di luar sana bahawa banyak usaha yang boleh kita lakukan agar anak kecil kita tidak cenderung menjadi lembam atau lembap?

Memetik kata-kata pakar perkembangan kanak-kanak pada peringkat pendidikan separa formal (praformal) 0-6 tahun, Dr. Barbara Wolf, beliau menegaskan (saya terjemahkan secara mudah): “Orang dewasa berasa bahawa ‘mendidik’ kanak-kanak bererti kita perlu memberi ceramah dan juga nasihat kepada mereka pada setiap masa. Pendapat ini salah sebenarnya! Sebaliknya, untuk merangsang minda dan juga mengasah kecerdasan si kecil, kita perlu mengambil kesempatan daripada ‘detik semula jadi sehari-hari’ untuk bertanya dan mengasah kemampuan minda kanak-kanak!”

Maka, kali ini izinkan saya untuk berkongsi 3 aktiviti ‘detik semula jadi sehari-hari’ yang, dengan izin dan rahmat Tuhan, dapat membantu merangsang minda si kecil kesayangan anda untuk mula menunjukkan potensi pintar lagi cerdas.

Aktiviti #1: Terus bermain, bergurau dan selalu bersembang bersama-sama!

Pada fikiran anda, si kecil mana yang tidak suka bermain? Kalau diamati, kanak-kanak prasekolah memang amat aktif bermain sehingga mereka boleh terlupa makan, minum, tidur, mandi waima lupa memakai pakaian selepas mandi semata-mata kerana keinginan yang kuat untuk bermain (jangan lupa juga kisah si kecil yang terjatuh tergolek di luar bilik mandi kerana ligat dia berlari untuk pergi bermain).

Sementara masih ada naluri ingin bermain ini dalam diri anak anda pada peringkat usia 0-6 tahun, pastikan anda dapat meluangkan masa setiap hari walaupun sebentar untuk bermain bersama-sama dengan dia. Sesibuk mana pun anda dengan aktiviti harian lain, bermain dan bergurau serta bersembang akan banyak memberi manfaat jangka panjang untuk mengasah potensi pintar cerdas si kecil berkenaan.

Ketika bermain bersama-sama pula, ringan-ringankan mulut anda untuk bertanya soalan demi soalan kepada si kecil manja anda. Sebagai contoh, minta dia terangkan perkara yang dia sedang lakukan, tanya kepadanya tentang objektif permainan yang membuat dia sedang leka, kaitkan aktiviti itu dengan kemahiran mengira atau menulis, malah apa-apa sahaja yang menjadikan aktiviti bermain itu lebih bermakna boleh dilakukan oleh emak dan ayah (serta abang atau kakak anak itu dan ahli keluarga lain seperti datuk atau nenek).

Bermain bersama-sama sambil bergurau, berfikir dan juga bersembang bukan sekadar mengasah kecerdasan minda tetapi sebagai ayah dan emak, anda mampu meningkatkan tahap ikatan (bonding) antara orang tua dan anak yang mengeratkan lagi perhubungan famili dan rasa kasih-sayang antara satu sama lain. Ingat, naluri bermain anak anda akan semakin berkurang sejajar dengan masa. Usia 0-6 tahun bukannya sangat lama dan masa yang berlalu sudah pasti tidak dapat diulang semula.

Aktiviti #2: Membuat kerja-kerja dalam dan luar rumah bersama-sama!

Mengajak anak kecil anda membuat tugas-tugas mudah lagi ringan di dalam dan di sekitar rumah bukan sahaja membina rasa tanggungjawab dalam diri anak itu, aktiviti seperti ini pasti akan dapat membantu anak anda menguasai beberapa kemahiran hidup serta kemahiran asas lain. Perkara yang paling asas seperti mengemas katil selepas bangun daripada tidur atau tidak membiarkan alat permainan bersepah begitu sahaja, aktiviti seperti ini amat perlu dalam pembinaan diri seorang insan yang okay pada kemudian hari.

Memang benar, ada kalanya si kecil anda itu sekadar ‘mengganggu’ sahaja ketika emak dan ayahnya sedang sibuk menyapu lantai, melipat pakaian, mencuci pinggan mangkuk, memasak, menjirus pokok bunga atau mencuci kereta. Akan tetapi, sebagai ayah dan emak yang prihatin, kita perlu mengubah persepsi negatif orang dewasa ini dan memberi peluang kepada si kecil untuk membantu kita.

‘Membantu’ dalam konteks ini, biarlah berpadanan pula dengan usia si kecil yang sedikit nakal itu. Kanak-kanak bukan ‘orang dewasa mini’ (Mini Me). Minda mereka sedang berkembang pesat tetapi aspek fizikal mereka masih kecil lagi comel. Ketika membantu anda di dapur misalnya, pastikan anda pantau gerak-geri anak anda agar tidak berlaku bencana kemalangan pula.

Yang paling penting, jangan sia-siakan peluang untuk menjana kecerdasan minda si kecil dan melatih potensi dirinya melalui aktiviti-aktiviti rutin lagi mudah di dalam rumah dan di sekitar kediaman anda. Siapa tahu si kecil nakal yang suka mengganggu anda di dapur itu, sebenarnya bakal menjadi tukang masak profesional yang lebih hebat daripada Jamie Oliver apabila dia dewasa kelak (kerana dia jatuh cinta dengan aktiviti memasak setelah melihat emaknya memasak setiap hari dengan dibantu oleh ayahnya)?

Aktiviti #3: Makan dan minum bersama-sama!

Dalam kesibukan sehari-hari, ayah dan emak zaman Industri 4.0 ini kadang-kadang tidak dapat meluangkan masa untuk makan bersama-sama dengan ahli keluarga. Hakikatnya, waktu makan juga boleh menjadi masa untuk merangsang serta mengasah kecerdasan minda si kecil secara tidak langsung. Oleh itu, peluang yang datang ketika makan dan minum bersama-sama juga tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Paling tidak, duduklah dan makan-minum bersama-sama setiap hujung minggu atau pada hari cuti am.

Sambil makan dan minum itu, ambil peluang yang ada untuk melatih si kecil comel anda untuk berfikir. Sebagai contoh, kemahiran mengira boleh diasah dengan mengira berapa suap yang si kecil sudah makan jika dia masih belum cekap menyuap makanan ke dalam mulutnya, konsep warna pula boleh diajar dengan membandingkan warna makanan dengan krayon (tetapi pastikan si kecil anda tidak pula memakan krayon selepas itu), asas pemakanan dan nutrisi pula boleh disampaikan kepada si kecil berusia antara 5-6 tahun.

Pendidikan separa formal seperti ini banyak memberi manfaat kepada si kecil tanpa kita sedari. Realitinya, kanak-kanak pada peringkat usia 6 tahun dan ke bawah masih belum cekap belajar kemahiran di dalam kelas seperti kanak-kanak Darjah 1-3 di sekolah rendah. Mereka belum memiliki tahap fokus atau tumpuan yang lama; minda mereka cepat leka dan mereka akan terfikir tentang, atau mengalihkan perhatian kepada, aktiviti lain pula.

Maka, aktiviti harian seperti makan dan minum serta berdoa sebelum dan selepas makan misalnya, membawa erti yang besar dalam pembinaan karakter si kecil sambil mengasah mindanya untuk menjadi pintar lagi cerdas. Sambil emak atau ayah menyuap makanan ke dalam mulut si kecil (sesudah adegan kejar-mengejar kerana si kecil malas makan seperti biasa), ‘suapkan’ juga asas-asas ilmu formal yang berguna ke dalam minda aktif si kecil itu.

Aktiviti-aktiviti lain, bagaimana pula kisahnya?

Kalau difikirkan secara logik sebenarnya kesemua aktiviti harian anak kecil di antara usia 0-6 tahun, khasnya kanak-kanak yang sudah mula menjejakkan kaki ke taska atau tadika, boleh menjadi aktiviti yang merangsang minda. Syaratnya ayah juga emak mesti sentiasa berusaha untuk sama-sama ‘menyertai’ aktiviti berkenaan dan mereka tidak pula mensia-siakan segala peluang yang ada untuk mengasah kepintaran dan kecerdasan minda anak kecil manja mereka.

Berjalan bersama-sama di taman permainan, membeli barang-barang rumah bersama-sama di pasar raya, melihat flora dan fauna yang ada di sekeliling, melihat dunia di luar ketika sedang menaiki kenderaan menuju ke sesuatu destinasi, termasuk juga semasa bersedia untuk waktu tidur – aktiviti-aktiviti rutin yang biasa anda lakukan dengan anak kesayangan anda itu, kesemuanya boleh dimanfaatkan ke arah kepintaran dan kecerdasan.

Banyakkan dialog atau aktiviti sembang santai dan bersedialah untuk mendengar cerita yang masuk akal serta ‘cerita emak nenek’ daripada si kecil anda. Dialog seharian sebegini membantu perkembangan awal minda seorang kanak-kanak yang dahagakan pengetahuan tentang dunia di sekelilingnya.

Cuma harus ditekankan di sini, biarlah aktiviti untuk mengasah minda itu sesuai dengan peringkat usia dan kecenderungan serta minat si kecil manja anda, ya! Jangan terlalu ‘memaksa’ anak anda sehingga aktiviti bermain yang santai kini berubah menjadi seakan-akan kuliah pelajar diploma atau ijazah sarjana muda di universiti!

Pesan akhir

Luangkan dan curi masa untuk bersama-sama dengan si kecil, agar dapat minda anak anda itu diasah untuk menjadi pintar lagi cerdas. Bermain komputer tablet seorang diri sambil menonton video di YouTube semata-mata, masih tidak cukup untuk menjadikan anak kesayangan anda pewaris kepada Bill Gates atau Steve Jobs suatu hari nanti!

Rangsangan minda yang sebenar bermula daripada ikatan perhubungan positif antara seorang mentor dewasa yang boleh dikatakan agak pakar dalam kehidupan kerana usianya yang tua (anda), yang boleh pula memberi pendedahan berguna dan mencabar minda seorang perantis muda atau mentee (siapa lagi kalau bukan si kecil kesayangan anda itu).

Ditambah dengan rasa kasih serta sayang dan saling hormat-menghormati, kelak bukan hanya minda anak anda yang dapat diasah menjadi pintar lagi cerdas tetapi ikatan famili yang utuh akan dapat dibentuk, hari demi hari, bulan bertukar tahun, hingga ke detik hembusan nafas anda yang terakhir kelak.

***

Dr Airil Haimi Mohd Adnan ialah Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik psikologi perkembangan awal serta sosiologi pendidikan praformal. Penyelidikan prasekolah beliau didanai SEAMEO CECCEP (ASEAN) dan buku beliau tentang kanak-kanak pernah memenangi Hadiah Karya Ilmiah Negara Malaysia (DBP).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024