Artikel

Anak Muda Bebas Hutang

oleh Bahruddin Bekri pada 17 Nov 2020

Rupa-rupanya, doa yang sering kita ucapakan selepas solat, “Ya, Allah aku berlindung kepada-Mu dari lemahnya kemahuan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, dari banyak hutang dan kezaliman manusia.” ini punyai kisah yang indah.

Abu Hurairah merekodkan ada seorang sahabat yang bernama Abu Amamah berada di dalam masjid dalam keadaan bergetar. Ketika itu Rasulullah baru sahaja masuk ke dalam masjid. Lalu Baginda berkata, “Apakah sebab aku lihat kamu berada di masjid yang bukan masa solat?”

“Beberapa urusan hutang menyebabkan aku resah gelisah wahai Rasulullah,” jawab Abu Amamah.

Jawab Baginda, “Tidakkah sepatutnya aku beri satu bacaan yang apabila kau baca, akan hilangkan oleh Allah penyakit kebingungan itu dan akan terbayar hutang-hutangmu?”

“Ya.”

“Apabila pagi dan petang, hendaklah membaca (bacaan di atas).”

Abu Amamah menurut suruhan itu lalu dihilangkan resah gelisahnya dan terbayar hutang-hutangnya.

Perkara pertama yang jelas daripada kisah di atas, manusia tidak mampu berfikir secara rasional apabila hati mereka resah. Ia bermula dengan hutang, dan hutang adalah antara beban pemikiran manusia yang paling toksid.

Ia bukan semudah, berhutang kemudian membayar. Jadi ini antara yang saya sangat suka tentang buku ini. Pertama sekali dalam bab awal penulis tidak membebankan kita dengan formula bagaimana mahu bebas hutang atau bagaimana mengurus hutang.

Tetapi penulis menulis tentang kisah-kisah tentang makna bahagia yang sebenar, kisah berkenaan rezeki, tentang qada qadar, tentang hutang, tentang qanaah daripada hadis dan kisah zaman Rasulullah. Kisah-kisah yang agak meringankan beban perasaan, dan memberi motivasi bahawa Allah sentiasa akan membantu mereka yang mahu berusaha membayar hutangnya.

Lalu disitulah doa pada awal-awal tadi sangat relevan. Indahnya bagaimana Rasulullah menawarkan penyelesaian yang sangat saintifik. Mula-mula kuatkan fikiran, bagaimana? Berdoa kepada Allah. Apabila fikiran kuat, jiwa tenang, akhirnya otak kita mampu berfikir secara rasional dan mula mencari jalan bagi membayar hutang.

Pada bab kedua, penulis barulah masuk tentang perancangan bagi mengelak hutang yang tidak perlu. Hutang yang tidak menguntungkan. Formulanya masih sama, kita perlu rasional. Tanpa rasional, kita akan cenderung menurut hawa nafsu.

Bab seterusnya barulah penulis semakin mengali lebih dalam tajuk buku ini sendiri. Tentang bagaimana berhadapan hutang rumah dan seterusnya hutang kereta yang secara statistik adalah hutang paling tinggi yang menyebabkan ramai anak muda muflis.

Diajarkan juga secara formula dan contoh yang jelas bagaimana menggunakan formula ‘snowball’ bagi membayar hutang. Secara mudahnya, senaraikan segala hutang yang kita ada. Kemudian bayar dahulu sehingga habis hutang yang jumlahnya paling kecil. Ada diajarkan bagaimana membayar hutang yang paling kecil dengan cepat. Secara psikologinya, apabila hutang terbayar fikiran kita akan terbebas daripada satu beban hutang. Kemudian duit lebihan tadi gunakan untuk membayar hutang kedua yang paling sedikit, dan seterusnya sehinggalah hutang yang paling besar dengan menggunakan duit lebihan yang kita ada.

Di buku ini juga saya baru dapat gambaran jelas tentang makna bebas kewangan, iaitu Pendapatan Pasif > Pendapatan Aktif. Pendapatan pasif ini terdiri daripada pelaburan yang kita buat. Sama ada sahama, unit amanah, royalti atau modal. Sekiranya pendapatan pasif ini lebih besar daripada pendapatan aktif atau gaji kita, barulah kita boleh mengaku bahawa kita bebas kewangan dan boleh ‘bersara awal’.

Pada bab akhir sekali lagi penulis membawa topik keberkatan dalam mencari rezeki. Tentang bersedekah yang mana ia dikupas dengan baik sehingga kita menjadi lebih tenang dalam menghadapi cabaran hutang yang menumpuk.

Kesimpulannya, saya sangat berpuas hati dengan buku ini walaupun pada awalnya saya sedikit skeptikal. Ia tidak tebal, dan topiknya pun sudah sering dibaca di internet. Namun di tangan penulis, ia menjadi sesuatu yang sangat bermakna.

Anak Muda Bebas Hutang adalah buku yang sangat saya rekomendasikan. Padat dan harganya pun murah, tidak membuatkan perlu berhutang. Betul-betul sebuah buku yang walk the talk.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024