Artikel

Hadith-Hadith Sains

oleh Waridah Lothpi pada 13 Nov 2020

Membaca buku Hadith-Hadith Sains tulisan Tuan Abdul Syukur, menyebabkan lisan terus laju berselawat.

Terasa hilang perkataan, dan bercambah kekaguman. Betapa kuatnya sayang para sahabat kepada Rasulullah SAW, hinggakan setiap perkataan yang keluar dari mulut baginda, diambil berat dan dicatatkan elok-elok. Terdapat 15 hadith yang dipersembahkan di dalam buku ini, dan setiap satu dihuraikan pula relevannya dengan keadaan sekarang.

Hadith berkenaan;

‘Bintang sebagai Penjaga Langit’, ‘Tujuh Lapisan Bumi’, ‘Fenomena Hujan’,‘Api Di Dasar Lautan’,‘Evolusi Tubuh Manusia’, ‘Embrio Di Dalam Rahim’ dan sembilan hadith lain.

Misalnya insiden ini,

“Dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Abu Musa dan sahabat-sahabat lain menunaikan solat maghrib bersama Rasulullah SAW. Kemudian, mereka duduk di luar masjid bagi menunggu waktu solat Isyak untuk solat bersama Rasulullah SAW. Baginda berkata, “Mengapa kamu semua berada di sini?”

Para sahabat menjawab, “Wahai Rasulullah, kami mendirikan solat maghrib bersama kamu. Kami terus duduk di masjid supaya kami juga dapat menunaikan solat isyak bersama kamu.”

Rasulullah SAW menjawab, “Bagus sungguh kamu semua!” Kemudian baginda mendongak ke langit dan berkata;

Bintang-bintang adalah penjaga langit. Apabila lenyapnya bintang, maka terjadilah pada langit apa yang sudah dijanjikan. Dan para sahabatku, adalah para penjaga umatku, apabila para sahabatku sudah tiada, maka akan menimpa umatku apa yang sudah dijanjikan.”

Saya membacanya sebagai luahan kasih Rasul agung kepada sahabat akrab dan setia di sekeliling baginda. Tetapi bagi yang benar-benar mengambil pelajaran, mereka menyimpulkan sekurang-kurangnya ada 3 hal yang tersirat, dan salah satunya adalah tentang bintang. Penulis menghuraikan beberapa fakta mengenainya berdasarkan kajian sains moden dan mereka merumuskan kewujudan bintang-bintang berfungsi sebagai penstabil langit. Bintang mempunyai posisi penting dalam menstabilkan sistem suria (mukasurat 15). Allahu Akbar.

Ada juga baginda menyebut begini,

“Sesiapa yang mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal secara zalim, maka kelak Allah akan mengalungkan kepadanya pada hari kiamat tujuh lapisan bumi.”

Jika kata-kata ini terbit daripada manusia biasa, orang akan mengatakan ia hanya hiperbola untuk memberi amaran keras kepada mereka yang mengambil hak orang. Namun ia datang daripada lisan Rasulullah SAW. Maka setiap perkataan mempunyai makna yang perlu diambil berat.

“Terdapat sekurang-kurangnya 38 laporan hadith yang serupa dengan hadith ini. Apabila melihat laporan tersebut, terdapat dua perkara penting yang disampaikan, pertama; melarang segala bentuk kezaliman dan yang kedua, terdapat ramai individu menyoroti hadith ini dan kemudian mengaitkannya dengan keadaan bumi yang mempunyai tujuh lapisan.”

Seterusnya penulis membentangkan rujukan-rujukan beliau tentang kajian yang dilakukan untuk mencari makna “tujuh lapisan bumi”. Yang ini, perlulah tuan/puan membacanya sendiri.

—-

Sudah bukan masanya untuk kita memisahkan antara ilmu pengetahuan dan agama. Agama yang benar adalah agama yang tidak memnbunuh ilmu pengetahuan dan sains menggunakan dogma agama. Ajaran dalam agama yang diwahyukan oleh yang Maha Pencipta sudah pasti tidak akan bertentangan dengan ciptaan-Nya.

Ilmu pengetahuan moden berjaya mendedahkan kebenaran di dalam Al Quran dan hadith setelah sekian lama ia menjadi misteri untuk umat manusia. Kini, umat Islam bukan hanya mempercayai kebenaran Islam dengan iman, malahan meyakininya dengan bukti ilmu pengetahuan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024