Artikel

Sering Terjaga Tengah Malam Tanda Allah Sayang?

oleh Ijat Halim pada 16 Mar 2020

Jarum jam mengarah ke angka 3.30 pagi. Mata tiba-tiba terjaga dan sukar hendak lelap semula. Anda selalu mengalami situasi begini?

Ada suatu aktiviti yang boleh anda lakukan pada waktu-waktu ini. Aktiviti ini kerap dilakukan oleh orang-orang soleh dan para nabi dan rasul. Ia dipanggil berjaga malam untuk beribadah atau qiamullail.

Solat yang utama selepas solat fardu adalah qiamullail. Begitu gigih Nabi bersolat malam hingga kakinya membengkak. Apabila ditanya, Baginda s.a.w. menjawab, “Adakah salah sekiranya aku ingin menjadi manusia yang bersyukur?” Rasulullah s.a.w bertahajud sebagai melahirkan rasa syukurnya kepada Allah s.w.t malah Baginda s.a.w. melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Orang soleh adalah orang yang memanfaatkan malamnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Sebaliknya,orang yang derhaka adalah orang yang membuang malamnya bagi melakukan maksiat dan dosa. Hal ini demikian kerana mereka mengenali diri dan Tuhan mereka.

Qiamullail sememangnya memiliki daya tarikan yang tersendiri. Ini disebabkan keistimewaan dan nilainya yang begitu tinggi. Rahsia inilah yang mendorong Rasulullah s.a.w melaksanakannya hingga kaki Baginda s.a.w. bengkak.

Apakah yang mendorong Rasulullah s.a.w hingga begitu bersemangat mengerjakan qiamullail? Apakah rahsia yang terkandung dalam qiamullail?

  1. Qiamullail begitu istimewa kerana ia dapat mendekatkan diri kepada Allah, menghapus dosa, dan mengusir penyakit daripada tubuh. Tiada dalam kalangan para rasul, nabi, wali, dan ulama salaf yang meninggalkan solat tahajud dan qiamullail.
  2. Bagi mereka yang rajin melakukan qiamullail dengan ikhlas, mereka tidak perlu berdiri lama di Padang Mahsyar. Allah s.w.t meringankan penderitaan mereka. Hal ini demikian kerana di dunia dahulu, mereka sudah merasai lamanya berdiri untuk bersolat dalam kegelapan malam.
  3. Mengapakah qiamullail dilakukan pada waktu malam? Apakah keistimewaan waktu malam? Kegelapan malam mampu menghidupkan hati yang mati dan menumbuhkan kecintaan kepada Allah s.w.t. Ini sebagaimana yang tersirat dalam kenyataan Rasulullah s.a.w. Pada waktu malam juga, fikiran kita menjadi jernih disebabkan tidak dibebani dengan permasalahan dunia.

Bahkan peristiwa paling penting dalam Islam iaitu Israk Mikraj turut berlaku pada waktu malam. Apakah Israk? Israk ialah perjalanan pada waktu malam. Ini bermakna perjalanan Rasullullah s.a.w berlaku pada waktu malam, iaitu dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis, Palestin. Mikraj pula adalah naik. Dalam konteks peristiwa Israk Mikraj, ia membawa maksud Baginda s.a.w. naik ke langit dunia hingga ke Sidratul Muntaha, bersama-sama dengan malaikat Jibril dan didekatkan kepada Allah s.w.t.

Terdapat pelbagai peristiwa agung nabi-nabi lain yang berlaku pada waktu malam. Antaranya adalah waktu nabi Musa mendapat petunjuk daripada Tuhan, waktu Nabi Musa bermunajat kepada Tuhan di Bukit Tursina dan Nabi Ibrahim dapat berfikir dan menemuinya Rabbnya pada waktu malam. Persoalan seterusnya, mengapakah kebenaran cenderung tersingkap pada waktu malam, sebagaimana yang dialami oleh Nabi Ibrahim? Malah Allah juga menurunkan kitab Al- Quran, Suhuf Ibrahim, Kitab Zabur, Kitab Taurat dan Kitab Injil pada waktu malam. Waktu bilakah paling afdal melakukan qiamullail? Jawapannya, waktu malam.

Saya amat berharap agar pendedahan berkenaan Qiamullaiil yang diberikan bermanfaat untuk semua pembaca. Jangan risau, anda masih belum terlambat untuk mengetahui berkenaan amalan dan manfaat qiamullail serta kelebihan tahajud. Untuk penambahan maklumat, anda juga bolehlah rujuk buku Dahsyatnya Qiamullail, karya Mahmudin Abdullah. Sangat mudah untuk dihadam, dan kandungannya menyeluruh! Jangan lupa dapatkannya dengan segera di kedai buku yang berhampiran dengan anda ataupun beli atas talian di www.bookcafe.com.my sekarang. Selamat mengingati peristiwa Israk Mikraj pada 27 Rejab ini. Semoga kita semua dapat kekal istiqamah melakukan kebaikan dan dilindungi oleh Allah. In sha Allah!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024