Artikel

Anugerah Buku Negara 2010 Iktiraf Bidang Penerbitan Buku di Malaysia

oleh Roziyah pada 26 Nov 2010

Bagi mengiktiraf industri penerbitan buku di Malaysia, Yayasan Pembangunan Buku Negara menganjurkan Anugerah Buku Negara 2010 khas kepada mereka yang menjalankan aktiviti penerbitan buku.

Majlis yang diadakan pada 7 Disember ini akan menghimpunkan penerbit-penerbit yang bergiat aktif dalam industri penerbitan di Malaysia.

PTS Publications & Distributors turut tercalon dalam anugerah Penerbit Terbaik 2010 disamping penerbit-penerbit lain antaranya seperti Telaga Biru Sdn. Bhd, Kumpulan Karangkraf, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd dan Al-Hidayah Publishers.

Antara anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Perdana yang melibatkan anugerah Tokoh Buku Negara 2010, Tokoh Pengarang 2010, Kedai Buku Terbaik 2010, Tokoh Pembangunan Buku Negara 2010 dan Penerbit Terbaik 2010.

Anugerah Industri pula melibatkan Penulis Terbaik, Penterjemah Terbaik, Editor Terbaik, Ilustrator Terbaik, Rekabentuk Buku Terbaik, Jurufoto Terbaik, Pencetak dan Penjilid Terbaik, dan Buku Terbaik.

Anugerah ini bertujuan memberi suntikan semangat kepada pemain industri sebagai galakan agar terus menghasilkan buku yang berkualiti dan tidak tertumpu kepada buku-buku komersial selain menggalakkan supaya lebih ramai cendekiawan serta tokoh ilmuan menceburi bidang penerbitan buku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025