Artikel

Anugerah Buku Negara angkat sumbangan karyawan dalam bidang penulisan dan penterjemahan

oleh Asri Yussof pada 04 Apr 2019

Anugerah Buku Negara 2019 yang diadakan pada 1 April lalu di ruang legar PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung sehingga 7 April ini memberi makna yang besar kepada kumpulan karyawan yang menyumbang kepada bidang penulisan dan penterjemahan di negara ini.

Selalunya yang kita lihat di kaca tv adalah anugerah-anugerah kepada karyawan dalam bidang industri filem dan muzik sahaja, manakala bidang penulisan kita sunyi dari pemberian penghargaan melainkan pertandingan Sayembara dan Anugerah Sastera Perdana sahaja.


Anugerah Buku Negara tahun ini memperlihatkan Seif Jamalulail penerima Anugerah Buku Kanak-Kanak Popular berjudul Jungle Boy. Manakala Ramlee Awang Murshid menerima Anugerah Novelis Thriller Terbaik.

Manakala, selebriti terkenal Siti Nordiana melalui buku autobiografi beliau Lifes Goes On telah dinobatkan sebagai Buku Umum Terbaik di malam Anugerah yang sama di PWTC. Bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein menerima Anugerah Kategori Buku Umum.

Bagi Anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Budaya) dimenangi oleh buku The Civilisational and Cultural Heritage of Iran and the Malay World. Pada majlis itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang turut menerima Anugerah Buku Umum Terbaik bagi Kategori Alam Sekitar Semulajadi.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad selepas menyampaikan Anugerah pada malam tersebut berkata, dalam konteks populasi rakyat Malaysia yang akan mencecah 30 juta orang, negara perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 30,000 judul buku baharu setahun.

Anugerah Buku Negara 2019 dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama Perpustakaan Kuala Lumpur, GCE Capital, dan VDSL Network.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024