Artikel

Berbaki 4 hari lagi sebelum tamat PBAKL 2019, Ini antara buku-buku yang paling mendapat perhatian pembaca

oleh Asri Yussof pada 04 Apr 2019

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 yang memulakan acaranya pada jumaat lalu masih berbaki 4 hari lagi sebelum melabuhkan tirai pada 7 April ini. Acara yang diadakan setiap tahun di PWTC itu mensasarkan pengunjung seramai 1.5 juta pada tahun ini. Pengunjung dijangka akan lebih ramai pada dua hari terakhir hujung minggu ini.

Selama 7 hari berlangsungnya PBAKL 2019 ini, berikut adalah buku-buku yang menjadi perhatian pembaca. Mungkin dari senarai ini ada juga buku yang bakal anda beli selepas ini.


Empayar 2 - Teme Abdullah

Teme Abdullah adalah nama penulis yang meningkat naik sejak buku pertamanya diterbitkan oleh Iman Publications, Arkitek Jalanan dan Pelukis Jalanan. Pada PBAKL 2018 tahun lalu, nama Teme menjadi sebutan yang hangat dan rata-rata dari kalangan remaja sekolah menengah dan peringkat siswa begitu teruja apabila Teme membuat kemunculan untuk sesi autograf pada pesta buku tahun lalu melalui bukunya Impian Jalanan dan Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama.

Empayar 2: Hikayat Mukjizat Daripada Iblis yang mula dijual pada pesta buku tahun ini boleh didapati di gerai jualan Iman di Dewan Tun Razak 4, PWTC.


Imperia - Ahmad Patria Abdullah

Selepas Ahmad Patria membuat ‘come back’ pada tahun 2016 dengan sebuah cerita baru Kronika Nashan, kesinambungan novel-novel dalam cerita ini menjadi perhatian. Nama Ahmad Patria sebagai penulis novel fantasi nombor 1 di Malaysia tidak dapat disangkal lagi.

Kemunculan semula pada 2016 yang lalu dengan novel pertama Aristokra, kemudian Wizra dan Kesatria. Kini novel keempat yang menyambung naratif cerita Kronika Nashan- Imperia sudah mula dijual di Pavilion PTS di Dewan Tun Razak 4 sejak semalam.

Novel Imperia menyambung kisah Melyn, Aristokra dan kota Nashan dengan lebih mencabar. Ancaman terhadap kotanya belum tamat. Kemunculan Auren dari Valkani mendedahkan kewujudan sebuah konspirasi yang lebih luas serta mendalam, yang didalangi oleh Orde Morduwizra dari Toar Magzul.


Misi Budak Tahfiz 2 - Afiq, Nazry dan Syahmi

Selepas kejayaan melalui komik pertama Misi Budak Tahfiz pada 2017, kini pelukis gabungan antara Afiq dan Nazry serta gabungan dengan penulis, Ahmad Syahmi kembali dengan sambungan komik kedua- Misi Budak Tahfiz 2.

Kisah Wajdi untuk menjadi seorang penghafal al-Quran diteruskan di dalam komik yang kedua ini. Wajdi sudah masuk ke sekolah tahfiz! Namun, cabaran yang dihadapinya untuk terus menghafal al-Quran datang bertalu-talu. Adakah dia mampu meneruskan hasratnya untuk menjadi seorang hafiz al-Quran? Dapatkan di gerai Komik-M di Dewan Tun Razak 4.


Perihal Keadilan - Hazman Baharom

Kalau kita lihat trend buku serius, mungkin tulisan Hazman Bahrom ini boleh dikatakan menjadi tumpuan di PBAKL 2019 tahun ini. Buku ini dari hari pertama hingga sekarang tetap berada di tangga pertama buku paling laris di gerai SIRD/ Gerakbudaya di Dewan Tun Razak 3.

YB Dr. Maszlee Malik ketika menulis ulasan untuk buku ini berkata, membaca buku ini ialah menonton perkelahian teori keadilan yang begitu rencam dan meriah. Umpama menonton Rawlsian bertinju dengan teori-teori keadilan lain tanpa sedikit pun mengalah.

Tulis beliau lagi, perlawanan yang dipersembahkan bakal menjanjikan wacana yang segar dan riuh dari kalangan pengkritik khususnya. Akhir sekali, bagi mereka yang laparkan ilmu, dahagakan teori, rindukan perdebatan wacana, saya yakin, buku tidak akan sesekali mengecewakan anda.


Anding Ayangan 2 - Ramlee Awang Murshid

Ramlee Awang Murshid, satu nama yang besar dalam kalangan penulis di Malaysia. Beliau adalah penulis novel thriller nombor 1 Malaysia. Kini peminat beliau sudah boleh mula mendapatkan sambungan novel Anding Ayangan 2 di PBAKL 2019 di gerai Karangkraf di Dewan Tun Dr. Ismail.

Beberapa novel Ramlee Awang Murshid sudah berjaya diadapatasi menjadi filem dan drama bersiri, iaitu novel Tombiruo dan Mandatori. Kedua-dua novel ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Jika anda belum lagi peminat Ramlee Awang Murhsid, mungkin anda boleh mula membaca dengan mana-mana novel beliau, selepas itu anda dapat rasakan ‘mind blowing’ dalam karya beliau.

Selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024