Artikel
Petikan Media: Contohi Rasulullah bina keluarga sakinah
oleh Roziyah pada 08 Sep 2011
Dipetik daripada Berita Harian Online
Cabaran hari ini memperlihatkan konflik membabitkan hubungan ibu bapa dan anak hingga tersiar laporan kurang enak apabila ada ibu bapa memusnahkan hidup anak serta anak membuang ibu bapa.
Maka timbul andaian kesalahan itu berpunca daripada kelemahan ibu bapa mendidik anak dan persoalan kenapa anak sanggup membiarkan ibu bapa hidup melarat, masih kabur jawapan mengenainya.
Islam sejak awal memberi panduan kepada umatnya mengenai perkara perlu diberi perhatian apabila seseorang ingin membina keluarga bermula daripada pemilihan calon pasangan, tanggungjawab suami isteri dan ibu bapa.
Semua itu dijelaskan secara terperinci tetapi tidak dinafikan sifat manusia mudah lupa. Oleh itu, buku Tip Menjadi Ibu Bapa Mithali boleh mencerahkan kembali pemahaman seluruh ahli keluarga terhadap tugas membina keluarga sakinah.
Ibu bapa mithali adalah penggerak kemajuan anak kerana melalui tunjuk ajar mereka, anak mencapai kecemerlangan. Bagi mencapai kejayaan, ibu bapa perlu tahu cara berdepan cabaran khususnya pengaruh negatif yang mengelilingi kehidupan kini.
Buku Tip Menjadi Ibu Bapa Mithali menerapkan ciri perlu dilaksanakan ibu bapa iaitu menjadikan al-Quran dan hadis sebagai amalan hidup, menunaikan tanggungjawab dengan baik serta menjadi contoh kepada ibu bapa lain.
Untuk menjadi ibu bapa yang baik, mereka perlu mempunyai sifat sabar, penyayang, mengambil berat, peka perkembangan anak, berdoa serta istiqamah dalam menerajui keluarga.
Apabila Islam muncul, ramai masyarakat kafir terpikat kepada agama itu kerana terpegun dengan peribadi Rasulullah SAW. Hari ini, ibu bapa perlu meniru peribadi Rasulullah SAW untuk menjadi contoh anak.
Masalahnya, kebanyakan ibu bapa berusaha mendidik anak menjadi manusia baik dan berjaya tetapi mereka lupa menjadi contoh. Jika ibu bapa sering menunjukkan contoh tidak baik, nescaya akan menjadi ikutan anak.
Baca Lanjut di Berita Harian Online