Artikel
Apa hala tuju kempen membaca?
oleh Helmi pada 18 Jul 2006
JUMAAT lalu, di sebuah pusat konvensyen terkemuka di ibu negara, telah berlangsung pelancaran Kempen Membaca Peringkat Kebangsaan (2006).
Dan buat pertama kalinya dalam sejarah, dua kementerian iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab merealisasikan pelancaran bersama ini.
Pada pelancarannya kita boleh simpulkan bahawa kempen ini mencerminkan satu permulaan yang baik. Namun hakikatnya ada perkara lebih besar di sebalik majlis tersebut.
Orang sering berkata, permulaan yang baik tidak semestinya berakhir dengan baik juga. Persoalan yang asas ialah, mengapa kempen membaca?
Apakah kempen ini diadakan untuk meningkatkan kadar membaca atau membaca bahan-bahan yang berkualiti? Membaca dengan membaca bahan berkualiti adalah dua perkara yang berbeza dan kempen ini harus memperjelaskan hala tujunya.
Laporan tentang tabiat membaca yang dilakukan oleh UNESCO untuk sesi cerapan 1999 menunjukkan masyarakat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun.
Kekerapan tersebut sememangnya lebih baik daripada cerapan yang pernah dibuat pada 1996 iaitu dua muka surat setahun.
Walaupun terdapat peningkatan minat membaca dengan kadar agak tinggi, ia masih rendah jika dibandingkan dengan amalan rakyat di negara-negara maju.
Malah Jepun umpamanya mencatatkan penghasilan buku mencecah 52,000 buah setahun berbanding negara kita, walaupun dalam pelbagai bahasa (Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris) masih tidak sampai angka 7,000 buah buku dalam tempoh sama.
Tetapi benarkah masyarakat kita kurang membaca?
Pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shaharom TM Sulaiman berkata, kurang tepat kalau mengkelaskan masyarakat kita sebagai kurang membaca.
Kita kena lihat dari dua sudut. Pertama, daya beli. Masyarakat kita sebenarnya berkemampuan dan bersedia membeli buku.
Ini dapat dilihat pada setiap kali pesta buku dianjurkan. Pengunjung yang datang melebihi setengah juta orang.
Novel-novel Melayu juga semakin mendapat sambutan. Kalau dulu novel-novel ini tidak kelihatan di kedai-kedai buku besar, kini kita boleh dapat di situ. Maknanya pasaran ada dan kalau itu ukuran mudahnya, masyarakat kita ada sikap suka membaca, katanya ketika dihubungi.
Sudut kedua yang perlu dilihat ialah bahan bacaan itu sendiri.
Tetapi adakah kita membaca bahan-bahan yang seharusnya dibaca? Berkualiti? Apakah dengan membaca novel Harry Potter, kita boleh jadi pembaca yang baik?
Melihat dari sudut yang sama, masyarakat kita sering dikaitkan dengan bahan bacaan yang tidak membina atau tidak berkualiti.
Contoh paling jelas, anak-anak muda kita lebih tertarik membaca majalah-majalah hiburan atau novel-novel picisan.
Jika ini disentuh, timbul pula persoalan seterusnya: Apakah salah kita membaca bahan bacaan begitu? Harry Potter juga hakikatnya adalah bahan bacaan sampah.
Kalau dibandingkan isi kandungannya, ia sama juga (jika berbeza pun hanya sedikit) dengan novel-novel hantu seperti siri bercakap dengan jin atau cerita-cerita gosip dan sebagainya yang berlambak di pasaran.
Tanpa mengambil kira kualiti bahan yang dibaca, masyarakat kita tidak jauh ketinggalan daripada negara-negara maju.
Maka persoalan apakah rakyat Malaysia hari ini boleh dikategorikan sebagai masyarakat pembaca yang kita inginkan? Atau soalan lebih mudah, ke manakah arah tuju kempen gerakan budaya membaca kita?
Mengulas perkara ini lebih mendalam, Shaharom cuba membawa persoalan ini dari sudut fikirnya yang tersendiri.
Katanya, isu ini tidak patut timbul kerana kadar celik huruf rakyat di kalangan penduduk berusia 10 tahun ke atas iaitu 92 peratus (2005) adalah yang tertinggi di Asia.
Laporan yang dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Jabatan Statistik menunjukkan celik huruf di Malaysia pada tahun 1996 ialah 93 peratus.
Situasi ini juga menimbulkan tanda tanya tentang hala tuju kempen membaca. Jika kadar literasi tinggi dan kempen-kempen sebelum ini berjaya, mengapa kita perlu lagi membelanjakan wang yang banyak bagi menganjurkan kempen membaca?
Dasar Buku Negara menyebut pada tahun 2000, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang masyarakatnya mempunyai budaya membaca. Kini setelah enam tahun berlalu, kita masih lagi melancarkan kempen membaca!
Kita sebenarnya tidak boleh mengatakan kempen membaca ini gagal kerana kita tiada kayu ukur untuk menjelaskannya.
Sudah sampai masanya kita perlu mengukur kejayaan kempen-kempen yang telah kerajaan jalankan selama ini.
Sehingga kini, kita tiada jawapan tentang ukuran masyarakat membaca, bagaimana modul, struktur atau ciri yang ingin dilahirkan. Ini tidak ditekankan dalam mana-mana kempen membaca, katanya.
UNESCO mengklasifikasikan masyarakat membaca ialah mereka yang membaca sekurang-kurangnya 40 halaman.
Jadi di mana kedudukan kita? Tidak bolehlah bandingkan dengan Jepun kerana membaca ini makanan mereka, katanya.
Negara menyasarkan untuk menjadi maju pada 2020, iaitu kira-kira 14 tahun lagi. Antara ciri utama masyarakat negara maju ialah membudayakan tabiat membaca.
Ini sesuai dengan hakikat hidup yang mengatakan bahawa orang yang banyak membaca adalah masyarakat yang beradab.
Malah kesan akhir kepada pembacaan yang berkualiti tentunya akan melahirkan masyarakat yang bijak, kritis dan rasional.
Inilah juga harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menekankan konsep modal insan.
Melihat hasrat ini, sewajarnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersama Kementerian Pelajaran memikirkan kaedah yang lebih sistematik dalam usaha melahirkan masyarakat membaca yang kita inginkan.
Benar, kerajaan telah banyak memberi peruntukan dalam memupuk budaya membaca ini. Bajet tahun lepas mencatatkan peruntukan kira-kira RM200 juta dan jumlah itu bertambah lagi tahun ini. Malangnya pernahkah pihak-pihak terbabit memikirkan ia dalam lingkungan agenda nasional?
Sudah sampai masanya kita serius tentang perkara ini. Jangan lagi lihat kempen membaca sebagai tanggungjawab satu atau dua kementerian tetapi jadikan ia agenda pembangunan nasional, jelas Shaharom.
Untuk memupuk budaya membaca mengikut acuan kita sendiri, memerlukan pendekatan yang menyeluruh kerana budaya intelektual ini bukannya sesuatu yang terasing.
Tentunya, kata-kata Rais semasa majlis pelancaran bahawa kerajaan sedang berusaha menangani segala permasalahan yang mengekang penerapan budaya membaca termasuk membabitkan industri percetakan dan harga buku bakal memberi nafas baru.
Semestinya juga kempen gerakan membaca perlu berterusan tetapi adalah lebih bijak jika disertai dengan pendekatan penilaian.
Ini penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bersikap rakus membaca, tamak mengumpul dan gila membeli buku, agar kita tidak malu digelar negara maju.
Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN