Artikel

Sastera remaja terserlah di Pesta Buku Jakarta 2006

oleh Helmi pada 17 Jul 2006

MINGGU lepas rombongan empat orang dari Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah mengunjungi Pesta Buku Jakarta 2006 yang berlangsung di Istoria (Istana Olah Raga), Senayan, Jakarta pada 1 - 9 Julai 2006. Tujuan misi ini ialah untuk memilih buku kanak-kanak, remaja dan dewasa dalam bahasa Indonesia yang diperlukan oleh perpustakaan dan projek literasi di Aceh untuk menggantikan buku-buku yang musnah akibat tsunami.

Peruntukan membeli buku ini adalah daripada sumbangan kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus melalui tabung khas PPM untuk membantu pemulihan perkhidmatan perpustakaan Aceh. Syarikat Bistari Mediabuku Sdn Bhd. pula telah menyumbang terhadap usaha pemulihan perpustakaan Aceh dengan menaja kunjungan rombongan PPM.

Menurut maklumat penganjur, seramai 160 penerbit menyertai Jakarta Book Fair 2006. Jika diambil kira penduduk Jakarta atau dibandingkan dengan Kuala Lumpur International Book Fair, jumlah penerbit yang menyertai pesta buku Jakarta ini agak sederhana. Namun, berjaya dari segi menonjolkan buku-buku bahasa Indonesia dan menghidupkan suasana dengan pelbagai acara menarik berkaitan buku dan membaca terus-menerus sepanjang pesta berlangsung. Matlamat pesta buku untuk menginspirasikan bahawa Buku investasi masa depan, amat tepat sekali bagi menggalakkan masyarakat menimba ilmu untuk menjamin masa hadapan yang cerah.

Salah sebuah gerai yang terdapat di ruang luar kawasanIstoria, majalah berjudul Matabaca iaitu satu-satunya majalah khusus mengenai buku dan pembacaan dalam bahasa Indonesia yang telah bertahan selama beberapa tahun. Streamer yang menarik menunjukkan seorang rocker membaca buku dengan slogan mengumumkan Rocker Juga Baca Buku. Kata-kata yang menuruti pengisytiharan ini pula menyajikan madah untuk berfikir:

semua makhluk di dunia

bagaikan buku dan gambar

kaca cermin bagi kita

Pemilihan buku untuk perpustakaan Aceh dipermudahkan oleh kerana ketersediaan dan kepelbagaian buku baru tempatan dalam bahasa Indonesia untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak yang diterbitkan dalam tahun 2006 dan 2005. Seperti mana di Pesta Buku Kuala Lumpur, permintaan untuk buku-buku mengenai agama terus meningkat di Pesta Buku Jakarta. Laporan New Delhi Book Fair 2005 juga melaporkan peningkatan permintaan buku mengenai agama Hindu dan falsafah, satu trend yang ketara selepas peristiwa 9/11. Terdapat beberapa penerbit atau gerai mempamerkan hanya buku-buku mengenai agama sahaja. Mengikut maklumat penganjur jumlah judul baru yang diterbitkan pada tahun 2005 telah meningkat kepada 10,000 judul barbanding dengan 7000 judul pada tahun 2004. Walaupun Indonesia dengan jumlah penduduk begitu besar mampu menerbitkan jauh lebih banyak lagi judul baru, pekembangan ini amat memberangsangkan bukan sahaja bagi industri buku akan tetapi juga daripada usaha mengembangkan ilmu dan menggalakkan pembacaan.

Meluas

Aktiviti terjemahan amat meluas jika dilihat daripada bilangan buku terjemahan yang dipemerkan di Pesta Buku Jakarta ini. Buku terjemahan termasuk fiksyen dan buku bukan fiksyen mengenai pelbagai sabjek termasuk falsafah, pengurusan, teknologi maklumat, agama, biografi, ekonomi dan politik serta best-seller dalam bidang pengurusan. Mungkin buku-buku terjemahan laris disebabkan buku dalam bahasa Ingers tidak dijual di pesta buku ini untuk judul-judul yang telah diterjemahkan. Salah satu judul terjemahan terbaru yang menarik perhatian ialah autobiografi berjudul For God and Country: Faith and Patriotism Under Fire oleh seorang pegawai tentera Amerika lulusan West Point beragama Islam, Kapt. James (Yusof) Yee. Semasa berkhidmat sebagai pegawai agama Islam bagi tahanan dan staf beragama Islam di penjara Guantanamo Bay, Cuba, beliau dituduh terlibat dalam aktiviti pengkhianatan dan dipenjarakan. Ditulis bersama Aimee Molloy, buku ini menceritakan kisah hidup dan sebab-sebab beliau memeluk agama Islam, pengalaman sebagai pegawai tentera Amerika termasuk keadaan dan operasi dalam penjara Guantnamo Bay. Iman yang teguh membantu beliau melalui dugaan yang amat getir dalam hidupnya hingga berjaya membersihkan namanya.

Di samping peningkatan penerbitan buku-buku baru dan buku terjemahan, fenomena yang menggembirakan ialah kemunculan sebilangan besar penulis-penilis remaja dalam lingkungan umur 9 - 18 tahun. Walaupun asalnya ditulis untuk menarik perhatian rakan sebaya akan tetapi penulisan mereka menjadi popular dan dibaca oleh golongan yang lebih meluas hingga menjadi genre baru dalam kesusasteraan yang dikenali sebagai teen literature atau sastera belasan tahun. Remaja menulis mengenai diri mereka, pengalaman dan persoalan hidup seharian remaja serta cerita rekaan mengenai remaja. Membaca luahan perasaan, pemikiran dan idea dari kaca mata dan perspektif remaja merupakan pendedahan begitu menarik, oleh kerana kebiasaannya amat sukar mendapatkan pendapat remaja secara lisan selain daripada sepatah dua perkataan.

Dari buku-buku yang dipamerkan terdapat tiga kategori buku remaja. Pertama, buku yang ditulis oleh remaja untuk remaja. Penulisan remaja ini banyak diterbitkan oleh badan sukarela seperti Forum Lingkar Pena yang aktif menganjurkan bengkel membaca dan menulis terutama di kawasan luar bandar, seperti mana dilihat di Aceh selepas tsunami. Kedua, buku remaja yang ditulis oleh penulis dewasa terutamanya novel. Ketiga, buku import yang diterjemahkan untuk remaja. Kategori kedua dan ketiga ini diterbitkan oleh penerbit komersial dan terdapat di kedai buku seperti Gramedia dan Mizan. Pilihan buku cerita dan novel untuk remaja amat lumayan. Seperti mana di Malaysia kebanyakan novel ini menceritakan kisah cinta dan juga cerita seram dan menakutkan. Di samping itu novel remaja berunsur agama juga diperhatikan semakin banyak dalam pasaran.

Kemunculan penulis remaja yang semakin ramai adalah petanda baik untuk industri buku dan pembaca di sesebuah negara dan perlu dikelolakan dengan baik dan digalakkan agar terus berkembang untuk menjadi kelompok penulis yang matang dan berkualiti di masa hadapan. Selain menambah kepelbagaian pilihan bahan bacaan, penulisan remaja juga mampu menggalakkan pembacaan di kalangan rakan sebaya dan mendorong sikap bahawa membaca dan menulis itu sememangnya aktitivi gaya hidup yang cool.

Oleh
Zawaiyah Baba

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025