“Aristokra” Buah Tangan Baru dari Ahmad Patria

oleh Asri Yussof pada 27 Apr 2016

img_20160426_183200

Saya tidak akan menceritakan rantaian plotnya. Tidak adil untuk orang yang baru ingin membacanya. Saya akan menceritakan aspek-aspek menarik yang saya ketemu dalam karya epik ini selaku contoh yang boleh diaplikasikan dalam penulisan fiksyen secara umumnya.

1.       Garapan naratif yang berkesan

Saya tertarik dengan bagaimana karakter-karakter dalam novel ini berinteraksi.

Dengan menggunakan perkara-perkara asas seperti, lirikan mata, pelontaran suara, dan juga pergerakan tubuh, disulami pula dengan keindahan ayatnya menjadikan situasi itu hidup.

Dialognya digarap dengan naratif yang begitu kemas.

 

Antara babak-babak yang saya suka dan menggambarkan betapa mahirnya pengarang melakar perbualan adalah seperti berikut:

  • Perundingan Nashan dengan Armorikus bagi mendapatkan bantuan ketenteraan dalam menangani kemaraan bala tentera Sursis.

Aristokra digambarkan selaku seorang wanita bijak dan tenang dalam mengatur perundingan, biarpun Shirgen yang mengatur bicara.

Cara pengarang menceritakan reaksi Aristokra terhadap persekitaran dan juga orang-orang yang berbeza pangkat dan kekuasaan cukup kemas.

Jiwa Aristokra mudah diselami melalui pembacaan demi pembacaan. Amat berkesan.

 

  • Pertempuran Nashan dengan Sursis

Baiklah, apa yang saya maksudkan di sini adalah bagaimana Shirgen dan juga Hulber memulakan pertarungan.

Mukadimah yang digunakan sebelum pertarungan sebenar berlangsung cukup mendebarkan.

Bahkan garapan ayat yang tepat, membuatkan pembaca seperti saya mudah menggambarkan pertarungan antara dua seteru tersebut.

Kepincangan watak diselit sama, menunjukkan betapa pertarungan seorang manusia itu tidak sempurna serba-serbi.

Pasti ada langkah tersilap dan pasti ada kaedah menanganinya. Pendek kata, pertarungan yang digambarkan agak realistik.

 

  •  Gambaran kekuatan Sursis.

Sursis, seorang panglima adil yang tidak dapat dikalahkan. Cara pengarang menggambarkan kekuatan Sursis cukup mengujakan.

Perbandingan tenaga dan kekuatan diterangkan dengan baik.

Selitan watak-watak dan tahap kekuatan mereka dalam kronika ini ringkas penerangannya tetapi memadai untuk memberi gambaran pada pembaca.

 

2.       Susun atur plot yang mudah, tetapi berkesan.

Bayangkan begini sahaja. Jikalau dibaca daripada sinopsis di belakang buku, ia sebenarnya sudah memadai bagi memberitahu pembaca apa yang tersirat dalam buku ini.

Peperangan antara Nashan dan juga Sursis, selingan mitos Spiara Bulwar yakni, pertarungan antara Bulwar dan Shilrung dengan Krodra adalah plot utama cerita ini.

Namun begitu, selingan plot-plot tambahan seperti sejarah Spiara Bulwar di tangan pemerintah yang membunuh naga,

konflik Merkia dengan kejahatan yang masih kabur penceritaannya dan pelbagai lagi subplot yang berkesan mengukuhkan dua plot utama itu tadi.

Ia umpama sebuah dua kota dengan pertahanan yang cantik dan sukar ditembusi.

Pendek kata, selaku pembaca, kita akan terperangkap dalam dua buah kota tersebut tanpa mahu meninggalkannya.

Ini kerana, kedua-dua buah kota itu memerangkap kita dalam keindahannya.

 

Kesimpulannya, kekuatan dalam kepengarangan Ahmad Patria untuk karya Aristokra ini boleh dihuraikan seperti berikut:

Jalan ceritanya mudah dan tidak berbelit, tetapi diselitkan dengan emosi dan watak-watak yang penuh dinamik.

Ini membuatkan Aristokra begitu mesra pembaca dari pelbagai tahap.

Bahasa yang digunakan juga puitis, tetapi tidak melampau-lampau aplikasinya.

Jalinan plot demi plot terlalu kemas dan berkesan, tidak meninggalkan satu ruang lompong pun yang akan membuatkan pembaca mengerutkan dahi.

Gabungkan semua ini, maka inilah hasilnya, sebuah karya fantasi epik yang begitu indah.

 

Secara peribadinya, selaku seorang pengarang dan juga pembaca yang gemarkan cerita yang kompleks,

saya percaya, kepuasan maksima buat saya akan tercapai apabila saya berpeluang membaca keseluruhan siri Kronika Nashan ini.

Diharap Ahmad Patria meneruskan kecemerlangan ini untuk Wizra, novel kedua Kronika Nashan dan novel-novel seterusnya.

Saya harus menunggu dengan sabar walaupun jiwa memberontak mahukan sambungannya terbit segera.