Artikel
AS mahu kekalkan penguasaan ke atas Internet
oleh Helmi pada 21 Oct 2005
Oleh: RAMLI ABDUL SAMAD
Internet mula muncul di dunia secara meluas mulai tahun 1960-an. Pada peringkat awal pembinaan, Internet adalah milik eksklusif pihak tentera Amerika Syarikat (AS). Internet dibina oleh Pentagon dan hampir keseluruhan pembiayaan Internet adalah ditanggung oleh AS. Negara itu merasakan bahawa ia mempunyai peranan sebagai penggelola Internet sedunia. Ia adalah pengurus Internet dunia. Kemudian, pengurusan Internet diserah kepada Jabatan Perniagaan (Commerce Department) sebelum pada tahun 1998, sebuah syarikat swasta yang tidak membuat keuntungan bernama Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN) diberi kuasa mengurus Internet meskipun kuasa veto mengenai Internet masih ada pada Jabatan Perniagaan AS. ICANN dijangka mendapat autonomi penuh daripada Jabatan Perniagaan AS pada 26 September 2006. Banyak negara mempunyai rasa khuatir dan mereka mahu kepastian yang semakin mereka bergantung pada Internet bagi perkhidmatan kerajaan dan sebagainya, rencana mereka tidak akan terjejas jika dasar-dasar mendatang AS mengenai Internet berubah.
Seperti sedia maklum Internet sudah menjadi kemudahan biasa yang diguna oleh banyak negara di seantero dunia. Internet begitu penting dari segi komunikasi baik untuk tujuan persendirian mahupun perniagaan, tambah-tambah lagi buat masa sekarang.
Internet menjadi keperluan asas bagi dunia moden tetapi orang yang mengurus sebenarnya adalah AS. Sehingga kini AS adalah pengurus mutlak Internet. Ia bagaikan pengurus solo, tiada negara-negara lain yang terlibat. Ia adikuasa dalam hala laluan trafik digital global. Maknanya dari satu segi ia berkuasa bagi menentukan direktori induk. Ia antara lain berkuasa memberi alamat domain kepada Internet untuk mana-mana negara. Ia berkuasa untuk menentukan alamat internet protokol (Internet Protocol Address).
Sekarang alamat internet protokol menjadi isu kerana sudah banyak yang dinikmati oleh negara maju. Pemberian alamat Internet protokol adalah hak AS. AS menguasai ``root zone files’’ ini sejak Internet bermula. Misalnya jika kerajaan kita ingin satu lagi alamat Internet protokol, ia harus memohon terlebih dahulu.
Pengguna Internet berhubung antara satu tanpa menyedari bahawa program Internet seperi WWW dan e-mel adalah dikendalikan oleh pihak ICANN. Badan itu boleh membuat sesuatu agar pengguna tidak mungkin dapat memanfaatkan program-progam berikut. Pengguna pun jarang mempersoalkan perkara itu.
Pengguna tidak pernah menyoal siapa yang mengawal alamat-alamat yang komputer boleh saling berhubung. Negara-negara sedang membangun tidak mungkin memperoleh lebih alamat-alamat yang diingini. Sekarang negara seperti AS dan Kesatuan Eropah yang banyak mendapat penghalaan Internet.
Internet termasuk dalam bidang sistem maklumat dunia. Badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) prihatin dengan kedudukan AS sebagai pengurus tunggal Internet. Kesatuan Eropah turut merasa tidak senangnya dengan realiti bahawa AS adalah pengawal tunggal Internet.
Maka di Geneva pada bulan September lalu, Kesatuan Eropah telah membangkitkan isu pengawal Internet yang selama ini dikuasai oleh AS. Kuasa besar itu membantah keras dengan saranan Kesatuan Eropah dan wakil-wakil lain seperti dari Iran dan Brazil.
AS menyatakan ia tidak bersetuju dengan saranan itu. AS masih bertekad bahawa ia layak menjadi pengawal tunggal kerana selama ini Internet telah berjalan lancar dan andainya pengawalan ini dikongsi bersama maka akan wujud masalah birokrasi yang tidak diingini. Malahan Presiden Bush terus menegaskan bahawa AS akan meneruskan peranan sejarahnya di dalam urusan membuat perubahan atau pengubahsuaian terhadap isu `root zone files’.
Dengan itu beliau bermaksud juga AS akan memelihara keselamatan dan kestabilan perihal aspek teknikal Internet.
(Lihat artikel penuh di utusan online - 18/10/2005)