Artikel

Sumbangan Al-Attas kepada kajian Asia Tenggara

oleh Helmi pada 21 Oct 2005

Asia Tenggara seperti juga dengan bahagian-bahagian lain dunia ketiga, sedang menggeluti ledakan deras globalisasi, modeenisasi dan kolonialisme. Tiga arus utama ini telah, sedang dan pastinya akan, mempengaruhi dan menentukan rupa bentuk dan corak transformasi sosial yang bakal menjelma di sini.

Meskipun dekad kolonialisme telah lama berlalu di Asia dan Afrika, namun dilihat dari sudut geo-politik, khususnya dalam kaitan dengan `Sistem Dunia’? meminjam ungkapan Wallerstein, seorang sarjana sosiologi ekonomi terbilang? kewujudan pergantungan ekonomi, kewangan dan teknologi serta pewarisan idea, nilai, etos dan tradisi pemerintahan dan kenegaraan yang berkekalan oleh negara-negara bekas jajahan terhadap negara-negara bekas penjajah, telah menyemai kelahiran kolonial baru atau neokolonialisme.

Asia Tenggara, bagaikan tidak dapat menepis, atau ketandusan ilham diri, atau malah kehilangan kiblatnya sendiri, sehingga tidak dapat tidak terpaksa menjejaki model, bentuk dan acuan modernisasi yang telah pun mencapai puncaknya di Barat, dan sekali gus terbeban untuk turut merasai dan menelan segala pahit, manis dan masamnya laluan sejarah dan pengalaman modeenisasi tuan-tuan penjajahnya terdahulu.

Dalam situasi sebegini, jalur globalisasi bagaikan arteri yang sentiasa mengunjur sehala, merembeskan segala ideologi dan utopia untuk diserap segenap warga, masyarakat dan negara di sebelah sini.

Meskipun benar, dunia Barat tidak dapat dinafikan merupakan nadi dan arkitek yang mengilhamkan rupa bentuk sistem dunia masyarakat dan negara moden masa kini, namun untuk mengandaikan bahawa Asia, atau Asia Tenggara khususnya sebagai suatu bejana kosong adalah satu kekeliruan atau malah kebebalan yang tidak berakar.

Ini adalah persoalan yang menjadi perbahasan dalam buku berjudul, Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia - Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas, suntingan Riaz Hassan, profesor Sosiologi di Universiti Flinders, Australia.

Tiga aspek utama transformasi yang ditelusuri dalam buku ini adalah pembangunan dan perubahan sosial, peranan kaum intelektual, dan nilai agama dan budaya.

Kaum pribumi di Asia Tenggara amat beruntung kerana selain tiga tema di atas, rakaman sejarah sosial masyarakat di sini, sejak lima dekad yang lalu, bermula dari era kolonialisme, perjuangan menuntut kemerdekaan dan pengisiannya, serta pertentangan ideologi kapitalisme, sosialisme dan Islam, telah dilakukan secara amat mendalam, kritis dan original oleh puteranya sendiri, iaitu Profesor Syed Hussein Alatas. Maka itu, adalah amat bertepatan sekali apabila buku ini diterbitkan sebagai satu penghormatan kepada beliau.

Buku ini memuatkan 17 rencana yang ditulis oleh para sarjana sains sosial tempatan dan luar dari seluruh dunia, yang pernah menjadi pelajar atau rakan Alatas. Lima bab di dalam buku ini menyingkap semula pemikiran Alatas dalam pelbagai isu - mitos pribumi malas; Islam, sosialisme dan Marxisme, tradisi intelektual sains sosial; Islam dan sosialisme; dan Islam progresif dan demokrasi - sementara bab-bab yang selainnya membahas pelbagai tema yang pernah disinggung oleh beliau.

Profesor Alatas adalah sarjana sains sosial dan intelektual terunggul di Malaysia. Tulisan beliau yang mencakupi pelbagai isu - agama, pembangunan, korupsi, politik, ideologi, kapitalisme kolonial, intelektual dan teori sosial - bukan sahaja sering diikuti, ditekuni dan dibahas di Malaysia, Singapura dan Indonesia, malah turut mendapat perhatian sarjana antarabangsa. Edward Said, pemikir ulung yang disifatkan sebagai pengembang tradisi oksidentalisme, dalam bukunya Culture and Imperialism, memuji penelitian Alatas terhadap idea kolonial tentang watak malas pribumi.

Menurut Alatas, pandangan penjajah tersebut lebih bersifat cemuhan terhadap kaum pribumi kerana dorongan rasa tidak puas hati mereka di atas keengganan masyakarat pribumi untuk turut terlibat dalam skema ekonomi kapitalis kolonial.

Hans-Dieter Evers, Profesor Pengajian Asia, di Universiti Bonn, salah seorang penyumbang dalam buku ini melalui tulisnanya, `Global Knowledge: The Epistemic Culture of Development’ menyifatkan karya Alatas, The Myth of the Lazy Native, sebagai salah satu karya paling menawan yang ditulis mengikut garis tradisi Karl Manheim tentang sosiologi ilmu.

Masyarakat berilmu bukanlah masyarakat yang hanya memiliki lebih ramai pakar dengan segala perkakasan teknologinya, sebaliknya, apa yang lebih utama adalah masyarakat tersebut haruslah berwatak sedar dan menjiwai budaya ilmu. Menurut Hans-Dieter kemunculan dan pertumbuhan masyarakat berilmu atau dalam ungkapannya masyarakat yang berbudaya epistemik’, sering kali pula ditandai dengan pertumbuhan kejahilan.


Suatu petang, sewaktu berkunjung ke rumahnya, penulis bertanya, ``Bagaimana pandangan prof. dengan tahap pemikiran masyarakat kita sekarang, berbanding tahun-tahun 60-an atau 70-an, adakah kita semakin maju.’’ Seperti biasa, prof. tidak terus menjawab. Beliau diam seketika. Wajah seriusnya memberi isyarat beliau sedang berfikir dalam. Sambil menyedut paipnya dalam-dalam beliau merenung tajam penuh makna kepada penulis, dan menjawab ringkas, ``Merosot’‘.

Seperti yang pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dahulu, masyarakat kita meskipun telah memiliki prasarana kelas pertama, malangnya masih memiliki mentaliti kelas tiga.

(lihat artikel penuh di utusan online - 17/10/2005)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024