Artikel

As-Syamail Al-Muhammadiyah - Edisi Kemas Kini

oleh Waridah Lothpi pada 17 Aug 2020

Ia sudah dicetak banyak kali, dan banyak versi. Setiap kali dicetak, ia akan ditambah baik berdasarkan komen dan pandangan yang membaca cetakan sebelumnya.

As Syamail Al Muhammadiyah yang ini, adalah versi terkini daripada PTS. Ia himpunan 399 hadis oleh Imam At Tirmidzi. Ya, tuan/puan. Satu lagi nak mencecah ke 400 koleksi hadis yang fokusnya adalah tentang Rasulullah SAW sebagai individu. Usaha luar biasa untuk mengumpulkan semua yang berkaitan dengan baginda rasul.

Tak pasti orang lain bagaimana, tetapi untuk saya, inilah kali pertama saya membacanya. Lihat isi kandungan daripada bab 1 hingga bab ke 56, disenaraikan hadis tentang fizikal baginda, celak mata, pakaian, cara baginda mempersiapkan diri, makan, bercakap, bergurau, oh banyak betul! Sepanjang membaca setiap helaian ke helaian berikutnya, semakin saya nampak rasionalnya Allah melantik utusannya adalah di kalangan manusia dan bukannya malaikat.

Antaranya,

“Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka?” (Yunus:2)

“(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi ingatan daripada (kalangan ) mereka sendiri.” (Qaf:2)

“Dan mereka berkata, “Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?” (Al Furqan:7)

“Maka mereka berkata, “Bagaimana kita akan mengikuti saja seorang manusia (biasa) di antara kita?” (Al Qamar:24)

Sangat tepat pilihan Allah. Bagaimana mungkin manusia lain mampu meneladani jika contohnya adalah makhluk berlainan sifat?

TENTANG BUKU

Ketebalannya hampir 500 mukasurat, tetapi janganlah pula berasa gerun dengan banyaknya helaian tersebut. Mata pembaca sangat berterima kasih kerana jenis dan saiz tulisan yang besar, dan di setiap mukasurat hanya memuatkan 1 atau 2 hadis sahaja. Insha-Allah dalam beberapa jam sahaja boleh disudahkan bacaan.

Sebelum bermula, kita akan temukan nota penerbit yang menerangkan perihal teknikal buku, senarai penambahbaikan yang dilakukan, dan yang ini sangat membantu; ada semacam “how to read the book” dinyatakan bersama. Penerbit juga memberikan jaminan buku tersebut telah digunakan dan dibaca dalam majlis bersanad bersama ulama-ulama besar beberapa kali. Diterangkan bagaimana penghasilan buku, berserta dengan rujukan yang digunakan dalam edisi kemaskini.

Sebagai marhaen yang tiada asas bahasa Arab, dan bukan daripada latar belakang bidang agama, saya amatlah menghargai keterangan yang datang bersama dengan hadis berkaitan.

Misalnya dalam bab “Cara Rasulullah Ketawa”, ada 9 hadis yang dikumpulkan. Setiap satunya ada yang bertaraf hasan, shahih, dan dhaif. Antara lain,

Hadith 221- Abdullah bin Al Harith berkata:

“Tawa Rasulullah hanya senyuman.” (Hadith ini bertaraf shahih)

Hadith 219 pula- Jabir bin Samurah berkata:

“Kedua-dua betis Rasulullah tidak besar dan sesuai dengan bentuk tubuhnya. Baginda tidak ketawa, cukup sekadar tersenyum. Apabila aku memandang Rasulullah, hatiku berkata ‘Betapa hitam pelupuk mata baginda, padahal baginda tidak bercelak.’” Hadith ini bertaraf dhaif.

Bagus sekali dikumpulkan begini. Orang awam kalau terjumpa hadith berkaitan di mana-mana, boleh rujuk untuk mengesahkan statusnya.

Bahagian nota kaki berkotak pula, menambah nilai untuk lebih faham dan memaknakan hadith.

Dalam hadith ke 9, Jabir bin Samurah berkata:

“Rasulullah bermulut lebar, bermata lebar dan bertumit nipis.”

Syu’bah berkata, “Aku bertanya kepada Simak, apakah yang dimaksudkan dengan mulut yang lebar?” Lalu Simak menjawab, “Bentuk mulutnya besar, iaitu seimbang dengan bentuk wajahnya.”

Aku bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan bermata lebar?”

Simak menjawab, “Belahan matanya panjang.”

Aku bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan bertumit nipis?”

“Daging tumitnya sedikit.”

Manalah saya faham apa di sebaliknya. Kita ini bukannya tahu benar budaya Arab. Di sinilah peranan besar nota kaki berkotak yang dikatakan tadi.

“Dalam kalangan bangsa Arab, mereka memuji orang yang bermulut lebar dan mencela orang yang memiliki mulut nipis. Mulut besar menggambarkan kepetahan bercakap.”

Begitu rupanya. Ini baru sedikit, ada lagi puluhan bab yang mengujakan tentang baginda SAW.

Salah satu buku yang sangat patut berada dalam koleksi bacaan. Jika anak-anak bertanya siapakah Nabi Muhammad SAW yang mereka selalu sebut, baca dan dengar; bolehlah kita menjawabnya, mudah-mudahan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024