Artikel

The Amazing Rasullulah

oleh Waridah Lothpi pada 14 Aug 2020

Tidak dapat saya ingat dengan jelas bilakah kali terakhir saya membaca kisah tentang Rasulullah SAW secara penuh begini. Biasanya teladan-teladan daripada baginda, hanya muncul pada hal-hal yang berbangkit. Apabila ada isu kehidupan, barulah teringat mahu merujuk hadis-hadis terkait.

Buku “The Amazing Rasulullah SAW” (TARS) tulisan Tuan Sayf Muhammad Isa ini saya terima dengan tangan dan hati terbuka. Jujurnya apabila membaca sesuatu yang kita sudah biasa sejak kecil, agak mencabar juga mahu “melupakan” sebentar, dan masukkan maklumat baru.

Seluruh buku, adalah tentang sosok manusia terhebat di dunia itu.

KAVER PENUH WARNA

Kata orang “Don’t judge a book by it’s cover”, tetapi yalah, sukar juga mahu memikat hati anak-anak jika wajah buku umpama buku KAFA yang mereka baca setiap hari. Kaver TARS yang menggunakan kombinasi banyak warna, memberi maklum kepada kita bahawa sasaran utamanya ialah kanak-kanak dan remaja.

Selak pula helaian di sebelah dalam, mata terasa segar melalui teks setiap mukasurat. Gaya penceritaan yang dipermudahkan laras bahasanya, ditambah lagi dengan gambar-gambar penyeri serta peta rujukan, sangat membantu untuk mengekalkan momentum membaca. Penulis membuat rujukan yang banyak dan berhati-hati, serta menyusun segala maklumat dengan kemas. Cara TARS dipersembahkan, adalah bonus yang berkemungkinan tiada dalam kebanyakan buku yang lain.

KONTEN JELAS

Maklumatnya banyak dan sarat, tetapi disampaikan dalam nada yang “straight forward”. Kalau kita biasa menonton filem tentang asal usul sesuatu watak, TARS menggunakan kaedah yang lebih kurang sama. Penulis membawa pembaca “mengembara”, tidak hanya bermula pada saat Siti Aminah mengandungkan Rasulullah SAW, malahan lebih jauh lagi ke zaman jahiliyah sebelum kelahiran baginda.

Bahagian ini adalah momen teruja untuk saya, hinggakan banyak kali berlaku detik, “Oh begitu rupanya!”. Kita biasa baca dan dengar perihal masyarakat jahiliyah yang dikatakan hidup dalam kegelapan, tetapi kita mungkin tidak tahu perincian. Gelap yang semacam apa kehidupan mereka itu?

“Bagi memahami betapa indahnya Islam, sebaiknya kita perlu memahami betapa suramnya zaman sebelum Islam diturunkan. Keadaan yang suram itu bukan hanya di Tanah Arab, tetapi juga di seluruh pelosok dunia.”

Lalu kita akan bertemu dengan kisah-kisah pelik di zaman itu.

Jahiliyah di Tanah Arab, di negara lain, adakah jahiliyah juga?

Yang mendirikan kembali Kaabah ialah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s., lalu bagaimanakah permulaan berhala boleh dibawa masuk ke Tanah Suci tersebut, siapakah pelopornya?

Telaga air zamzam pernah hilang sekejap, bagaimana boleh ditemukan semula?

Saya baru tahu semua maklumat ini, entah kenapa tak terfikir hendak siasat sebelumnya.

Selanjutnya adalah sirah Rasulullah SAW yang kita tahu sejak kecil, dari saat baginda dilahirkan, peristiwa disusukan, dibelah dada serta didikan terhadap baginda yang bertukar tangan hingga ke pakciknya Abu Talib. Rajah di dalam buku sangat membantu memahamkan daripada segi salasilah keluarga, dan mereka yang rapat dengan baginda.

Baginda adalah anak yatim yang amat tabah!

Tidak lengkaplah, jika penceritaan tidak disertakan dengan kisah percintaan Rasulullah dan isteri. Saya membaca babak ini sambil menunggu pesanan makanan, tersenyum-senyum dibuatnya. Baginda rasul, benar-benar “gentleman”.

Babak mendebarkan bermula setelah pertemuan baginda dengan makhluk cahaya di gua Hira’. Setelah daripada babak ini, kehidupan baginda dan keluarga berubah kutub. Daripada senang dan disayang, bertukar dengan kebencian, boikot, dan penyeksaan.

“Lalu baginda berkata kepada isterinya, “Setelah hari ini, tidak ada waktu lagi untuk beristirahat.””

Selebihnya ialah kisah yang kita sudah akrab, tetapi ditambah dengan beberapa sudut pandang berbeza. Saya amat terkesan dengan kisah pengislaman Umar Al Khattab. Betapalah tiada manusia yang sanggup bermimpi pemberani sekeras itu boleh menerima hidayah Tuhan.

Sampai dikatakan oleh Abu Abdullah, “Umar tidak akan masuk Islam, hingga keldainya masuk Islam!”

“The rest is history” seperti kata orang.

Perjalanan buku ini, ditamatkan hingga ke peristiwa hijrah ke Madinah. Untuk saya, di poin ini barulah terasa boleh menghela nafas semula.

Bagai baru selesai menonton filem, dan yang pilu, ia adalah kisah yang benar-benar berlaku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024