Artikel

ASM Bookstore, Marang, Terengganu Cipta Sejarah - Kedai Buku Pertama di Stesen Petronas

oleh Amirah Hassan pada 06 Feb 2013

PTS Media Group Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya, PTS Edar Sdn. Bhd, dengan kerjasama ASM Bookstore menjalin kerjasama dalam pembukaan kedai buku di stesen Petronas yang pertama di Malaysia. ASM Bookstore yang terletak di tingkat dua, stesen Peronas Marang, Terengganu ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia pada Khamis, 7 Februari 2013.

Bersempena perasmian ini, PTS membawa secara eksklusif pelbagai aktiviti menarik bagi menyokong acara ini. Kartunis-kartunis hebat dari PTS dibawa khas bagi aktiviti Bengkel Melukis Komik iaitu Jasmian ataupun lebih dikenali sebagai Jas dan Reja. Selain itu, pertandingan mewarna yang melibatkan lebih 150 orang kanak-kanak dan demonstrasi masakan oleh Chef Hanieliza turut diadakan. Acara ini juga turut dimeriahkan dengan pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti menderma darah serta sumbangan cenderahati kepada orang-orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak yatim.

Jas merupakan pelukis komik sepenuh masa dan menghasilkan komik yang mendapat sambutan hangat iaitu siri Meon berkisar tentang kehidupan masa kecil kanak-kanak di kampung dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan mereka termasuklah menyertai pertandingan bola sepak dan lain-lain. Tajuk -tajuk lain yang sudah mempunyai lima siri ini adalah Perang Terung Manggor, Perang Bola Kampung, Perang Bola Kampung Lagi, Jerat Burung, dan Menentang Kambing United.

Selain itu, Rezarly Musa ataupun lebih dikenali sebagai Reja yang popular menerusi siri komik Shootz memulakan kerjayanya sebagai illustrator bebas PTS sejak tahun 2008. Beliau juga turut menyumbangkan bakat dalam ilustrasi menerusi siri novel Young Aisyah dan ilustrasinya yang terbaru digunakan dalam siri komik Super Safee ketiga iaitu Terus Berlari.

Khas dibawakan untuk peminat masakan Melayu dan tradisional Malaysia, Chief Hanieliza mengetengahkan resipi istimewa daripada buku beliau dalam siri Resipi Warisan iaitu Nasi Serai, Salad Tomato, dan Pangek Daging. Beliau juga sudah menghasilkan lebih 300 resipi dalam pelbagai siri masakan seperti Siri Senangnya Memasak bersama Chef Hanieliza dan yang terkini, Siri Resepi Warisan terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd.

Pembukaan kedai buku seumpama ini julung kali diadakan bagi memacu dan megggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat sejajar dengan saranan kerajaan bagi memupuk minat membaca dan disokong oleh nama besar dalam penerbitan buku iaitu PTS. Selain itu, Petronas Marang juga turut menggalas tanggungjawab sosial dalam menjalin kerjasama bersama KPDNKK menerusi “Sehari Bersama Pelanggan”.

PTS Media Group Sdn Bhd amat berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin sejajar dengan misi syarikat dalam memandaikan bangsa melalui buku-buku terbitannya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024