Artikel

“Awak okey tak anak kita autisme”  - Lelaki ini tulis buku beri kesedaran Autisme di Malaysia

oleh Abdullah pada 21 Oct 2019

Walaupun terma Autisme mula digunakan buat pertama kalinya sejak 1911 lagi di Switzerland oleh Eugen Bleuler, seorang ahli psikiatri di sana, tetapi kesedaran tentang penyakit ini agak lambat di Malaysia.

Istilah ini mula digunakan sekitar 1911 untuk merujuk kepada satu kumpulan gejala yang berkaitan dengan skizofrenia. Pada tahun 1940-an, penyelidik di Amerika Syarikat mula menggunakan “autisme” untuk menggambarkan kanak-kanak dengan masalah emosi atau sosial.

Hamka Kereta Mayat, seorang penulis buku yang terkenal melalui karya Semusim di Syurga dan Semusim di Neraka, kini menerbitkan satu buku baru Kerana Dia Anak Syurga yang diterbitkan oleh Puteh Press.

Hamka Kereta Mayat di Majlis Pelancaran Buku Kerana Dia Anak Syurga
Hamka Kereta Mayat di Majlis Pelancaran Buku Kerana Dia Anak Syurga

Pertama kali dapat anak tidak normal

Buku ini ditulis untuk berkongsi rasa sebagai seorang ayah yang mendapat tahu bahawa anak kelimanya ini mendapat penyakit autisme.

“Sewaktu anak saya berumur tiga tahun, masih belum boleh bercakap tapi saya anggap normal sebab sudah ada anak empat orang yang normal. Jadi sangkaan saya, anak kelima saya hanyalah pendiam.”

“Sehinggalah kakak saya tegur kelainan anak. Apabila masuk umur 4 tahun dan cikgu di pra-sekolah juga menegur yang anak saya terlalu aktif dan hyper serta tidak dapat dikawal. Kemudian saya buat research, ternyata anak saya ada ciri-ciri autisme.”

“Dari dalam bilik doktor pakar, anak saya sewaktu berumur lima tahun setengah, telah disahkan OKU oleh doktor pakar kanak-kanak. Dapat sahaja berita ini, saya tanya bini, “Awak okey tak?”

Jangan tanya Allah ‘KENAPA’

Bini saya tidak menangis, termenung sekejap dan berkata, “Saya ingat pesan abang dalam buku yang abang tulis; bila Allah uji kita, jangan tanya KENAPA, sebab nanti dapat jawapan yang salah, ini adalah special request dari Allah.”

Jika anda belum tahu, autisme ini adalah sejenis kecacatan neurologi, iaitu pada luarannya nampak sihat, tapi cara mereka berfikir dan berkomunikasi ataupun memahami dunia adalah sangat berbeza.

Autisme dari sudut saintifik dan kisah viral

Dari bahasa saintifiknya autisme, atau autism spectrum disorder (ASD) merujuk kepada pelbagai ciri yang berkaitan dengan kemahiran sosial, tingkah laku berulang, komunikasi dan komunikasi nonverbal. Menurut Pusat Kawalan Penyakit, autisme memberi kesan kepada 1 dari 59 kanak-kanak.

Jika anda seperti saya yang banyak menghabiskan masa di media sosial, kita mungkin mendapat kesedaran tentang autisme ini daripada kisah anak selebriti, Zarina Zainuddin. Anak kembarnya Azal dan Azil yang kerap kali memukul Zarina selalu menjadi viral. Terdapat juga dalam video yang lain, Azal dan Azil sangat romantik terhadap ibunya, Zarina.

Selain Zarina, penyanyi Fynn Jamal juga kerap kali berkongsi kisah anaknya, Bakti Arjuna Fitri atau Juna yang juga mempunyai autisme. Fynn berkongsi kepada Mstar yang beliau merakam pergerakan anak angkatnya itu setiap hari bagi melihat perkembangan dan pembesaran Juna.

Anak-anak yang mempunyai gejala autisme akan fokus pada satu perkara dalam satu-satu masa, ketidakpuasan (sikap memberontak), kurang faham isyarat sosial (seperti nada suara atau bahasa tubuh), pergerakan berulang, atau perilaku yang menyalahgunakan diri seperti memukul kepala. Gejala-gejala ini berlaku berbeza-beza di kalangan individu.

Setiap pasangan diuji dengan pelbagai ujian oleh Allah swt. Mungkin mendapat anak autisme juga adalah satu ujian kepada setiap ibu bapa di luar sana. “Jangan tanya KENAPA kepada Allah” adalah satu pesanan yang cukup baik. Supaya setiap dari kita mempunyai sifat redha dan ikhlas menempuh cabaran kehidupan di dunia ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024