Artikel

“Selalu diagnos anak orang - luluh hati bila tahu anak sendiri autisme.” - Dr. Nurul Azreen kongsi pengalaman dapat anak autisme

oleh Abdullah pada 22 Oct 2019

Dr. Nurul Azreen Hashim adalah doktor pakar psikiatri dan pensyarah Fakulti Perubatan, UiTM. Beliau juga berkhidmat di UiTM Private Specialist Centre dan Hospital Selayang. Apabila anaknya didiagnos sebagai autisme, sebagai seorang ibu, agak sukar untuk beliau menerima.

“Sukar saya hadam sebagai ibu, bukan sebagai doktor. Air mata bercucuran dan saya banyak menangis, terutama sewaktu duduk seoarang diri pada waktu malam, sambil memerhatikannya yang sedang nyenyak tidur. Jiwa terasa sangat hampa, tidak bermaya. Dukacita dan putus harap.”

Fatih yang normal tetapi sebenarnya berbeza

Fatih anak kepada Dr. Nurul Azreen Hashim dilahirkan normal, ada kadangkala dia menangis sangat kuat, berterusan sehingga beberapa jam. “Hingga pernah pengasuh memaklumkan ada jiran datang menjengah, sebab risau mendengar teriakan Fatih yang sangat kuat dan berlarutan.” tulisnya.

Beliau dapat rasa Fatih mempunyai gejala-gejala autisme selepas ditegur oleh ibunya kerana Fatih tidak berkomunikasi dengan budak-budak lain, tetapi tidak bagi suaminya yang bukan seorang doktor. Sebab itu suaminya agak lambat untuk menerima hakikat bahawa anaknya seorang OKU: Autisme Spectrum Disorder.

Sehingga Fatih berumur setahun setengah, beliau masih gagal mengucapkan sepatah kata pun. Tiada mama atau papa, “and he didn’t babble” tulis beliau di dalam buku Kerana Dia Anak Syurga. Buku ini selain daripada kisah Hamka Kereta Mayat dan anaknya yang autisme, beliau juga memuatkan 13 kisah anak OKU daripada ibubapa lain buat pedoman kita bersama.

“Berat hati. Saya mula memerhatikannya dengan teliti. Untuk pertama kalinya, saya memandangnya sebagai ibu dan juga sebagai doktor- profesion saya- dan ia amat mendukacitakan bila anak sendiri didiagnosis ibunya.”

Suami tidak boleh terima hakikat

Suami kepada Dr. Azreen tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya seorang OKU Autisme. Dia merasakan Dr. Azreen mengada-adakan cerita, sehinggalah beliau bawa suaminya menonton filem Redha yang bertemakan anak autisme, dan akhirnya suami beliau akur tentang gejala anaknya itu.

“Air mata suami luruh saat menonton, dan air mata saya luruh lagi. Memang fasa itu air mata adalah teman yang sangat rapat dan suami akhirnya akur. Kami memandang wajah Fatih lalu mengakui dan menerimanya sebagai anak autisme.”

Autisme tak boleh jadi normal- bantu kekurangan anak

Ketika ditemui di Majlis Pelancaran Buku Kerana Dia Anak Syurga, Dr. Azreen mahu semua ibu bapa memerhatikan anak dan melihat jika ada tanda-tanda autisme. Jika sudah pasti, beliau mencadangkan agar anak-anak diberi terapi dengan pantas iaitu terapi cara kerja, terapi pertuturan dan mengikuti program intervensi awal secara harian. “Anak autisme tidak akan normal, tetapi kita mahu disebalik autisme, anak ini boleh berfungsi dengan sepenuhnya dengan terapi-terapi yang kita buat.”

Ditanya tentang masa depan dan fokus yang diberikan kepada Fatih, beliau memberitahu ibu bapa perlu bantu kekurangan yang ada pada anak-anak mereka yang autisme.

“Jangan target anak-anak autisme kita untuk menjadi normal. Jika kita fokuskan yang ini, kita akan tertekan. Saya rasa bukan target untuk anak ini menjadi normal, tapi kita bantu apa kekurangan dia. Itu yang lebih penting dan juga untuk mengelak kekurangan dia yang melampau- seperti tidak mahu bercakap. Tetapi jangan paksa”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024