Artikel
Baca@Ramadan: Rancang Perbelanjaan Sebelum Puasa
oleh Roziyah pada 28 Jul 2010
Apabila tiba bulan Ramadan dan dekatnya Syawal, setiap individu tidak akan terlepas daripada memikirkan perbelanjaan yang akan dikeluarkan. Malah ada ketikanya selepas bulan Ramadan dan Syawal, sesetengah individu akan menghadapi masalah kewangan.
Menurut Perunding latihan dan Jurulatih profesional, Tuan Shamsuddin Kadir, pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh individu bagi merancang perbelanjaannya agar ia tidak tersasar dan membawa kepada pembaziran.
Menurut beliau, sampul surat juga mampu menjadi langkah mudah dan medium berharga dalam merancang perbelanjaan bagi menjamin kewangan peribadi.
Bagi Tuan Shamsuddin Kadir, perbelanjaan menggunakan sampul surat akan memudahkan seseorang individu merancang perbelanjaannya dengan teratur dan terurus.
"Gaji yang diperolehi dibahagikan dan dimasukkan di dalam sampul surat. Setiap perbelanjaan diasingkan di dalam sampul surat yang berbeza," kata Tuan Shamsuddin Kadir.
Melalui itu, individu mampu merancang setiap perbelanjaannya agar tidak tersasar dan membazir terutamanya di musim perayaan.
Selain itu, Tuan Shamsuddin juga menekankan apabila ingin merancang perbelanjaan di bulan Ramadan, seseorang individu jangan berbelanja atau keluar membeli ketika dalam keadaan lapar kerana apabila lapar, nafsu untuk membeli semakin tinggi dan menyebabkan pembaziran berlaku.
"Persiapan hari raya juga boleh dilakukan pada hari biasa iaitu sebelum Ramadan. Keadaan kita membeli akan lebih tenang sekaligus mengelakkan pembaziran," jelas beliau lagi.
Beliau yang juga Timbalan Bendahari Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) berkata, setiap individu juga perlu mencari keberkatan terutamanya di bulan puasa yang bakal tiba tidak lama lagi.
Tuan Shamsuddin menegaskan yang seseorang individu yang mahu merancang perbelanjaannya haruslah sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Melalui itu, segala yang dilakukan akan mendapat keberkatan.
"Apabila kita mendekatkan diri dengan Allah, kita akan meletakkan kehidupan di tangan kita dan bukannya di hati. Apabila kita meletakkan kehidupan di tangan, kita boleh melepaskan kehidupan dunia itu bila-bila masa sahaja.
Namun sekiranya kita meletakkan kehidupan di hati kita, kita sukar melepaskan kehidupan dunia itu kerana ia sudah melekat di hati dan menyebabkan kita terikat dengan dunia tanpa memikirkan akhirat," ujar beliau lanjut.
Menurut Tuan Shamsuddin, keberkatan boleh ditemui walaupun ketika kita membeli keperluan peribadi.
"Bulan Ramadan merupakan bulan bagi kita melatih diri untuk mencari keberkatan di bulan-bulan yang lain," jelas beliau.
Kata beliau, umat Islam boleh membeli di perusahaan orang Islam sendiri agar kita mampu memeperoleh keberkatan daripada hasil belian tersebut. Selain mencari keberkatan kita juga boleh membantu sesama Islam.
"Allah pasti akan memberi pahala atas niat kita," jelas beliau bersahaja.
Tuan Shamsuddin Kadir merupakan perunding latihan dan jurulatih (trainer) dalam bidang pengurusan organisasi dan kepimpinan organisasi. Beliau merupakan trainer bertauliah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Beliau juga merupakan ahli penuh Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Timbalan Bendahari Pertubuhan Perunding Latihan Dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) di mana presidennya adalah Yang Mulia Dr Tengku Asmadi Bin Tengku Mohamad.
Beliau juga mempunyai pengalaman bekerja selama 11 tahun dalam bidang perakaunan, pentadbiran, sumber manusia, kejuruteraan, operasi, pemasaran, perolehan, logistik dan krew kargo udara.
Antara kursus yang beliau kendalikan adalah Bijak Mengurus Wang (BMW), Berfikir Secara Kreatif, Mendorong Diri Sendiri, Dedikasi Pekerja, Dedikasi Pelanggan, Dedikasi Majikan, Berfikir Seperti Bos (BSB), Setiausaha Cemerlang Organisasi Gemilang, Dimensi Pekerja, 'Super Staff On Duty', 'High Achiever; dan banyak lagi.