Artikel

Bagaiamana Nak Berdamai…?

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

PERGADUHAN, pertengkaran dan konflik antara pasangan kekasih ataupun suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Lazimnya orang yang bertengkar terdorong mengucapkan kata-kata yang amat menyakitkan hati pasangannya. Disebabkan perasaan hati yang sakit, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan pihak yang satu lagi.

Menurut pakar-pakar psikologi, lelaki dan perempuan mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung ‘menarik diri’ di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan kekasih ataupun isteri, melainkan terpaksa. Perempuan pula cenderung merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan kekasih ataupun suami.

Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa sekalipun bentuk hukuman, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum. Kalau selepas bertengkar pasangan saudara menunjukkan sikap mahu berdamai, dan saudara sendiri juga mahu berdamai, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Pasangan saudara mungkin menyangka saudara betul-betul tidak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong bersedia melupakan usahanya ingin berdamai. Apabila saudara mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah pasangan. Di sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan dan kekurangan-kekurangannya, dan menuduh dia salah ataupun silap. Jangan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati pasangan. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian mendapati, perempuan cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.

Sewaktu bertengkar, orang menggunakan gaya bahasa negatif. Termasuk dalam gaya bahasa negatif ialah kata-kata yang mengkritik, menuduh dan mencela. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada menggunakan bahasa negatif. Jangan diucapkan kata-kata seperti: “Ini semua kerana sikap awak yang tidak betul tu.” ataupun “Kenapa abang tidak mahu dengar nasihat saya?” ataupun, “Ini salah awak juga.” ataupun “Kalau awak betul ingat kepada anak isteri, kita tidak akan selalu bergaduh.”

Tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan percintaan dan suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan. Sesudah berdamai, jangan bercakap melainkan mengenai hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah mengenai apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan ‘dahulu’ dan ‘semalam’ daripada kata-kata kita. Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh menyelesaikan ‘dahulu’ dan ‘semalam’.

Dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula. Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama disebabkan masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar saudara mahukan perdamaian, ambillah langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti saudara mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan.

Andai kata pasangan saudara itu menolak usaha saudara mahu berdamai disebabkan dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya saudara sudah berusaha berdamai, jadi saudara tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha. Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya dan konflik demi konflik akan tercetus.

Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi bagi mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan. Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagai ‘label’ kepada tingkah laku orang itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia sudah lakukan sehingga tercetusnya konflik.

Terangkan dengan menggunakan bahasa yang tepat apakah perubahan yang saudara mahukan. Oleh sebab konflik biasanya berpunca daripada tingkah laku yang tidak disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah laku itu. Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah tingkah lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah laku yang mana satu yang mesti diubahnya.

Sebagai contoh, perkataan ‘biadab’ dalam ayat, “Awak biadab.” mempunyai makna yang kabur, disebabkan perkataan ‘biadab’ itu tidak memberitahu dengan tepat perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi, sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan bagaimana dia hendak mengubah tingkah lakunya kepada yang ‘tidak biadab’. Ayat “Jangan biadab kepada saya.” adalah kabur, tukar kepada ayat lain yang lebih tepat maksudnya seperti “Jangan tengking saya.” ataupun “Jangan ugut saya.” Ayat “Jangan suka malas.” adalah kabur tukar kepada ayat lain seperti “Jangan suka tidur siang.” ataupun “Jangan suka berbual lama-lama dalam telefon dengan kawan-kawan awak.” yang lebih tepat maksudnya.

Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Tetapi kebolehan mencipta hidup dalam perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024