Artikel

Skema dalam Bacaan

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

MEMBACA adalah aktiviti berbahasa yang sangat penting dalam usaha membentuk pengaliran ilmu daripada bahan yang dibaca. Aktiviti ini memerlukan kemahiran yang khusus terutama dalam memastikan kefahaman pelajar berkenaan bahan yang dibaca memberikan manfaat dengan berkesan. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa masalah yang timbul dalam usaha pelajar memanfaatkan bahan yang dibaca bagi membantu kefahaman mereka.

Persoalan yang selalu dikemukakan adalah, “Bolehkah pembaca mengingat kembali perkara yang sudah dibaca?” Kadangkala pelajar menyatakan yang mereka memahami perkara yang dibaca tetapi tidak dapat menyatakan jawapan yang tepat apabila disoal dalam peperiksaan. Situasi itu menggambarkan yang pelajar tidak faham isi teks yang dibaca. Ini mungkin kerana tujuan mereka membaca, persepsi ke atas maklumat dan pemahaman atau latar belakang pengetahuan berbeza dengan objektif yang hendak dicapai melalui pembacaan itu.

Proses membaca adalah dinamik dan perlu aktif dengan mewujudkan situasi komunikasi yang bermakna antara pembaca dengan penulis. Membaca tanpa memahami makna tidak memberikan kepuasan dan tidak menepati matlamat membaca yang ditetapkan. Sebagai guru yang mengajar membaca, ciri utama yang perlu diberikan perhatian adalah meningkatkan keupayaan pemahaman ketika pelajar membaca bahan yang disediakan.

Secara kognitif, membaca bagi tujuan pemahaman menekankan keseluruhan aspek interaktif secara semula jadi serta peranan pembaca dalam membina makna. Pandangan secara interaktif mengiktiraf peranan pembaca dan teks yang ditulis bagi proses membaca teks itu bagi tujuan pemahaman. Keadaan ini bergantung sama ada hanya pada pengalaman lalu pembaca yang dibawa bagi memahami teks pemahaman itu ataupun hanya pada perkara yang dibaca daripada teks. Dalam hal ini, interaktif dalam membaca mementingkan hubungan antara penulis teks dengan pembaca. Pembaca perlu memiliki pengetahuan lalu yang berkaitan dengan teks yang dibaca.


Teori Skema Membaca
Terminologi skema mula digunakan oleh Piaget dalam tahun 1926 dan diperluaskan lagi huraiannya oleh Anderson seorang ahli psikologi pendidikan pada tahun 1967. Teori pembelajaran ini melihat pengetahuan yang diorganisasikan sebagai suatu rangkaian struktur mental yang terperinci, bersifat abstrak dan mewakili pemahaman seseorang berkaitan dunia yang luas.
Skema selalunya diorganisasikan secara bermakna, boleh ditambah bagi individu yang ingin menambahkan pengalaman, membina termasuk menambahkan lebih pemboleh ubah membaca yang lebih spesifik. Skema juga boleh wujud dalam skema yang lain manakala skema juga mengandungi sub skema. Selain itu, skema berubah dari semasa ke semasa ketika maklumat baru diterima. Skema juga mungkin dapat diorganisasikan semula apabila data yang masuk memperlihatkan keperluan menstrukturkan semula konsep.


Prinsip Pengajaran dan Pembelajaran
Teori skema ini juga didasari oleh beberapa prinsip yang dapat diaplikasikan bagi membantu pelajar dalam pembelajarannya. Pertama, dengan mengajarkan pengetahuan umum dan konsep generik yang terdapat dalam teks. Melalui cara ini keseimbangan daripada segi kerumitan pelajar menghadapi teks dapat dikenal pasti dengan tujuan melengkapkan pengetahuan umum terutamanya yang berkaitan dengan situasi silang budaya. Kedua, guru perlu membantu pelajar membina skema dan membuat hubungan antara idea-idea yang terdapat dalam teks. Ini dapat dilakukan melalui aktiviti perbincangan, ilustrasi dan membincangkan cara sesuatu ilmu pengetahuan itu diguna. Sehubungan dengan itu, guru-guru boleh menggunakan teknik itu bagi menguatkan hubungan dalam skema.

Di samping itu, pengetahuan lalu penting bagi memahami maklumat baru. Bagi tujuan itu, guru-guru perlu sama ada membantu pelajar membina pengetahuan asas ataupun mengingatkan mereka perkara yang sudah mereka ketahui sebelum memperkenalkan pengetahuan yang baru. Oleh itu, dalam penguasaan membaca, pelajar perlu dibantu daripada aspek pengetahuan lalu bagi memudahkannya menguasai pengetahuan baru dan dapat membantu pemahamannya ke atas teks yang dibaca.

Sehubungan dengan itu, pelajar mungkin mengalami konflik dalaman apabila mereka cuba mengasimilasikan skema yang sifatnya berbeza dengan anggapan dan pengetahuan lalu pembaca. Guru-guru perlu memahami dan bersimpati dengan masalah yang dialami pelajar yang sedemikian. Walau bagaimanapun, dalam proses membaca, ketidaksuaian antara pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada pelajar sewajarnya dapat membantu pelajar mengukuhkan lagi pemahaman teks dengan lebih baik lagi.

Kesimpulannya, teori skema cuba mencari hubungan antara struktur pengetahuan sedia ada pembaca dengan pengetahuan yang baru diperoleh. Pengkaji melihat pembelajaran sebagai pemetaan maklumat baru ke dalam sesuatu struktur pengetahuan sedia ada yang diorganisasikan secara berhierarki. Berdasarkan teori itu, maklumat umum yang diletakkan pada hierarki teratas dan maklumat yang lebih spesifik pada struktur kedudukan di bawah. Oleh itu, pembelajaran dapat dipermudahkan apabila pelajar memiliki skema yang relevan serta dapat mengaktifkannya. Maklumat baru dapat dihubungkan pada struktur skema pengetahuan sedia ada pembaca. Dalam proses membaca, pemahaman diperoleh melalui jenis dan tahap skema yang dibawa oleh pembaca ke dalam teks.


Skema dalam Pemahaman Teks
Skema sering dikaitkan dengan proses membaca bagi tujuan pemahaman (Marohaini Yusuf, 1999). Dengan mengaitkan skema dengan maklumat baru yang terdapat dalam teks, seseorang dapat memahami sesuatu peristiwa dengan baik. Apabila pembaca tidak memiliki pengalaman yang luas ke atas sesuatu perkara, mereka perlu mengisi kekosongan slot maklumat yang terdapat dalam mindanya dengan menggunakan set skema yang lain.

Apabila pengalaman yang ada tidak dapat membantu memahami maklumat sedia ada, pembaca mengalami masalah ketika berhadapan dengan maklumat baru pada masa akan datang. Apabila skema yang sesuai gagal diwujudkan ketika pembaca berusaha memahami teks, sesetengah pengalaman yang baru tidak dapat diwujudkan ketika itu. Keadaan ini menyukarkan pemahaman pembaca.

Oleh yang demikian, pembaca perlu menggunakan pengetahuan sedia ada dan dapat memperluaskan lagi idea yang disampaikan oleh penulis. Adalah penting pembaca perlu mengaitkan bahan tekstual dengan pengetahuan dan pengalamannya. Ini kerana membaca bagi tujuan pemahaman melibatkan bukan hanya maklumat yang terdapat dalam teks, tetapi juga pengetahuan yang pembaca miliki. Ini bermakna, bagi tujuan memahami perkataan, ayat dan wacana melibatkan tidak hanya kemampuan atau pengetahuan linguistik semata-mata, tetapi juga meliputi pengetahuan dunia yang lebih luas.

Dalam hal ini, pembaca yang baik adalah mereka yang dapat mengaktifkan skema melalui kedua-dua proses iaitu proses ‘Bawah-Ke-Atas’ dan ‘Atas-Ke-Bawah’. Proses ‘Bawah-Ke-Atas’ dimulai dengan pengenalan huruf dan beralih pada mengenal pasti perkataan, struktur sintaksis dan semantik. Manakala proses ‘Atas-Ke-Bawah’ pula bermula dengan pengetahuan pembaca ke atas bahasa dan pandangan dunianya, serta bertujuan menguji hipotesis tertentu yang berlawanan dengan teks.

Sehubungan dengan itu, teori skema mencadangkan pembaca perlu memahami mesej dengan cara mengaktifkan dan membina skema yang memperlihatkan subjek dan penghuraian peristiwa yang baik. Proses ini juga dikenali sebagai interaktif dalam hubungan antara maklumat teks dengan pembaca. Proses ini juga mengetengahkan fungsi pengetahuan lalu pembaca dalam mengungkapkan model atau hipotesis sebagai asas pada pemahaman. Di samping itu, proses itu wujud secara automatik sebagai skema menentukan huraian pengetahuan lalu.

Apabila tidak terdapat maklumat yang bertentangan, pembaca yang baik dapat menggunakan skema bagi membuat interpretasi. Penggunaan teori skema dalam pemahaman membaca adalah usaha menghuraikan cara pengetahuan lalu dipersembahkan dalam minda dan gambaran yang dapat memudahkan pemahaman dan pembelajaran.

Selain itu, Rumelhart (1984) membangunkan model yang berasaskan andaian semua sumber pengetahuan bertindak secara serentak. Proses interaksi antara sumber-sumber pengetahuan pembaca dan teks bertujuan membentuk sesuatu yang bermakna. Penggunaan pengetahuan pembaca sebagai sumber disebut sebagai pemprosesan Atas-Ke-Bawah. Melalui proses ini, pembaca membuat hipotesis, mencari maklumat bagi dimuatkan ke dalam hipotesis dan membuat keputusan mengenainya berdasarkan skema yang dimilikinya.

Jenis pemprosesan yang kedua, model Bawah-Ke-Atas adalah berasaskan teks. Di sini, pemprosesan model Bawah-Ke-Atas adalah berpandukan data. Prosesnya melibatkan aktiviti pengekodan perkataan tunggal dan struktur sintaksis. Hubungan antara dua mod asas pemprosesan seperti berikut; proses model Atas-Ke-Bawah yang menjamin maklumat pada peringkat bawah adalah konsisten dengan jangkaan pembaca mudah menyerap kandungan teks. Ini kerana sebahagian daripada data diproses terlebih dahulu. Manakala proses model Bawah-Ke-Atas menjamin pembaca sentiasa peka ke atas sebarang maklumat yang tidak berkaitan dengan hipotesis yang dibinanya berasaskan teks yang sedang dibaca. Berdasarkan perspektif ini, pergantungan yang berlebihan ke atas mana-mana proses mengehadkan pemahaman yang efisien dan mungkin menyebabkan berlakunya masalah dalam pemahaman.

Daripada sudut lain, kebergantungan berlebihan ke atas pemprosesan model Atas-Ke-Bawah mungkin menyebabkan berlakunya salah faham berdasarkan ramalan yang tidak pasti. Ini kerana terdapat banyak data yang terdapat dalam teks yang perlu dianalisis dan menghalang proses pemahaman.

Sehubungan itu, skema melibatkan pengetahuan yang diorganisasikan berkaitan manusia, tempat, benda dan peristiwa. Hubungan antara teori skema dan metakognisi adalah berdasarkan hubungan antara teori skema dengan pemahaman. Skema diberikan kategori atau ruang yang berbeza berdasarkan kategori pengetahuan yang berbeza dan maklumat yang diperoleh pembaca daripada pelbagai teks.
Skema meliputi kerangka bagi pemahaman teks dan membuat inferens. Skema juga membantu pelajar meng-organisasikan dan menyusun semula peristiwa yang dibaca. Walaupun mengaktifkan skema adalah asas dalam membaca, namun proses membaca melibatkan proses yang kompleks. Skema tidak hanya memenuhkan ruang kosong yang terdapat dalam jaringan pengetahuan pembaca. Oleh itu pembaca yang cekap dan aktif secara tekal dapat mengaitkan perkara yang dibaca dengan pengalaman yang diperoleh. Di samping itu, minat ke atas teks juga memainkan peranan yang penting dalam proses menghubungkan konstruksi yang terdapat dalam skema yang dimiliki oleh pembaca.

Dalam teori skema, semua jenis latar belakang pengetahuan memainkan peranan yang penting dalam mencapai pemahaman membaca. Kedua-dua teori membaca psikolinguistik dan teori skema menekankan pemboleh ubah pembaca yang menyumbang kepada pemahaman membaca.

Di samping itu, skema adalah manifestasi maklumat yang terselindung sesuai kepada organisma pada bila-bila masa. Bagi yang berkemampuan menubuhkan struktur kognitif pula menghuraikan skema sebagai persepsi dalaman secara semula jadi yang berkembang daripada umum ke spesifik. Contohnya skema berkaitan perniagaan memungkinkan pembaca menggunakan aspek umum dalam dunia perniagaan sehinggalah aspek yang lebih khusus dan mendalam. Skema secara lebih spesifik dibina berdasarkan struktur pengetahuan interaktif yang mewakili konsep yang umum ke atas sesuatu perkara, peristiwa ataupun benda. Oleh itu, skema kelihatan seperti struktur berhierarki yang berkembang daripada struktur umum pada yang lebih spesifik.

Apabila menggunakan teori skema dalam pemahaman membaca, pembaca perlu melihatnya sebagai proses yang konstruktif dengan pembaca, menggunakan pengetahuan yang dimilikinya serta meluaskannya berasaskan perkara yang dinyatakan oleh penulis. Oleh yang demikian, adalah penting pembaca dapat mengaitkan bahan teks dengan pengetahuan dan pengalamannya sendiri. Ini kerana membaca bagi pemahaman bukan sahaja melibatkan maklumat dalam teks, tetapi juga pengetahuan yang sudah dikuasainya. Ini bermakna pemahaman perkataan, ayat dan wacana melibat-kan bukan sahaja pengetahuan atau kompeten linguistik tetapi juga bergantung kepada pengetahuan dunia yang luas. Dalam hal ini, pembaca yang baik mengaktifkan skema melalui kedua-dua proses, Bawah-Ke-Atas dan Atas-Ke-Bawah.

Kesimpulannya, teori skema mencadangkan yang pembaca perlu memahami mesej secara aktif melalui makna atau membina skema yang dapat menerangkan subjek dan peristiwa dengan baik. Proses ini juga sering dikenali sebagai interaktif dalam erti kata hubungan antara pembaca dengan teks. Di samping itu, proses ini wujud secara automatik sebagai skema yang menghuraikan pengetahuan lalu.

Bagi pembaca yang baik, mereka menggunakan skema sebagai membantu mengenal pasti kandungan teks yang gagal diinterpretasikan. Aplikasi teori skema dalam membaca pemahaman adalah usaha menghuraikan cara pengetahuan dan dipersembahkan dalam minda dengan cara perlambangan yang dapat memudahkan pemahaman dalam pembelajaran. Melalui teori skema, beberapa prinsip pengajaran digunakan:

1. Adalah penting mengajarkan pengetahuan yang bersifat umum dan konsep generik.

2. Guru boleh membantu pelajar membina skema dan membuat hubungan antara idea-idea. Teknik yang digunakan menguatkan hubungan itu melalui perbincangan, memainkan peranan, ilustrasi, alat bantu visual, dan penerangan cara ilmu pengetahuan boleh juga digunakan.

3. Pengetahuan terdahulu dapat melicinkan lagi proses memahami maklumat baru. Oleh itu, guru perlu membina pengetahuan asas ataupun mengingatkan pelajar berkenaan perkara yang mereka ketahui sebelum memperkenalkan bahan yang baru.

4. Skema dapat berkembang dan bertukar menjadi maklumat yang baru.

5. Skema yang menetap secara mendalam dalam pemikiran adalah sukar diubah.


Ciri-ciri Skema
Menurut Anderson (1977), terdapat beberapa ciri skema yang dikenal pasti:

1. Skema selalunya diorganisasikan secara bermakna, boleh ditokok tambah, meningkatkan lagi pengalaman, membina dan memasukkan lebih banyak variasi supaya bersifat lebih spesifik.

2. Setiap skema boleh digabungkan dengan skema yang lain dan skema itu boleh diterima sebagai betul.

3. Penggunaan mental semasa membuat persepsi dan pemahaman melibatkan keputusan sesuatu proses secara keseluruhan.

Teori Skema menghuraikan cara sesuatu ilmu pengetahuan itu dipersembahkan dan cara pengetahuan baru disepadukan dengan jaringan pengetahuan lalu. Ciri-ciri kekuatan yang terdapat dalam teori skema dapat membantu menyepadukan pembelajaran baru dengan pengetahuan sedia ada pada individu. Teori Skema juga menerangkan cara kita belajar, mengubah suai dan menggunakan maklumat yang diperoleh melalui pengalaman.

Konsep utama dalam Teori Skema adalah pengalaman dan pengetahuan yang ditadbirkan secara semantik. Keadaan ini adalah lebih baik dan berkesan daripada pengalaman yang ditadbirkan secara perkataan. Contohnya skema bagi menerangkan tempat seperti kedai, sekolah, rumah serta pasar, acara seperti perlawanan bola sepak, persidangan serta perkahwinan dan peranan seperti bapa serta guru pelajaran.

Selepas pelajar melalui pengalaman-pengalaman baru, mereka cuba memperkemaskan ruangan-ruangan yang masih dapat diisi dalam skema. Kebiasaannya pembaca melakukan perubahan, mengubah suai atau membuang saja skema yang ditimbulkan melalui teks.

Pembaca membuat pemahaman dengan menggunakan pengetahuan sedia ada yang dapat bertukar atau berubah apabila menemui maklumat baru. Walaupun perubahan dalam skema berlaku secara perlahan, pembelajaran baru mungkin dapat dihasilkan dengan mengubah suai skema yang sedia ada atau dengan mewujudkan sesuatu skema yang baru.

Perkara penting dalam ciri pemilihan skema adalah membuat inferens. Membuat inferens juga digunakan dalam mengisi ruangan-ruangan yang kosong dalam pembentukan skema. Apabila ruangan kosong itu diisi, keadaan ini dapat mempengaruhi inferens bagi mengisi ruangan kosong yang lain.


Teori Skema dan Pemahaman Bacaan
Teori Skema membantu pembaca mengenai cara menggunakan pengetahuan terdahulu bagi memahami dan belajar daripada teks. Terdapat beberapa ciri skema yang mungkin mempengaruhi pemahaman pelajar:

1. Pelajar mungkin tidak mempunyai skema yang mempunyai hubungan dengan isi kandungan teks. Mereka mungkin kekurangan skema berkenaan topik politik dunia, ekonomi dunia dan kehidupan di ladang. Sebagai rumusannya, pelajar tidak mempunyai cara yang sesuai membuat hipotesis mengenai kandungan yang dibaca.

2. Pelajar mungkin mempunyai skema yang sesuai bagi isi kandungan dalam konteks tertentu, tetapi kurang skema bagi aspek bahasa dalam memahami teks. Oleh itu mereka tidak dapat mengakses skema bagi memahami isi kandungan.

3. Pelajar mungkin dapat membina skema dengan baik bagi isi kandungan dan bahasa tetapi pengarang mungkin memasukkan banyak pembayang yang dicadangkan bagi maksud pemahaman. Pelajar dalam beberapa hal memerlukan bantuan bagi merapatkan jurang yang terbina.

4. Pelajar mungkin mendapati skemanya aktif dan dapat memberikan makna dalam memahami teks. Bagaimana pun makna itu mungkin berbeza daripada pandangan pengarang. Pelajar yang selalu berfikir yang dia lebih tahu daripada pengarang dalam pembacaan selalunya dapat mendemonstrasikan pemahamannya itu.

Faktor sosial dan budaya memberi kesan kepada skema. Teori skema memberikan perhatian kepada pembaca berkenaan cara menstrukturkan makna yang diproses daripada teks. Teori skema juga membantu menerangkan berkenaan kesan variasi sosiobudaya dalam pembacaan.

Pengkaji menunjukkan pembaca daripada budaya yang berbeza memberikan interpretasi yang berbeza. Individu yang membaca bahan yang berkaitan secara langsung dengan budayanya memperuntukkan masa yang sedikit dan dapat mengingat kembali banyak maklumat berkenaan budayanya. Oleh itu, apabila pelajar mempunyai maklumat yang lebih ke atas sesuatu budaya, memungkinkannya menjawab soalan berkaitan dengan budaya itu dengan baik. Analisis daripada beberapa pengkaji juga menunjukkan aktiviti membaca bahan dengan kandungan aspek budaya yang dikenal pasti dapat mempengaruhi pemahaman ke atas teks. Pembaca membina maksud yang berbeza apabila terdapat perbezaan antara budaya pembaca dengan kandungan budaya yang terdapat dalam teks yang dibaca.


Teori Skema dan Perbendaharaan Kata
Teori skema banyak dikaitkan dengan pengajaran perbendaharaan kata. Ini kerana penguasaan perbendaharaan kata adalah perkara penting yang perlu dikuasai bagi memahami bacaan. Guru-guru perlu membantu para pelajar meluaskan lagi saiz perbendaharaan katanya bagi memudahkan pemahaman.

Daripada segi pengajaran perbendaharaan kata, langkah-langkah yang biasanya dilakukan oleh guru adalah seperti berikut:

1. Menerangkan makna perkataan yang sukar secara langsung.

2. Mengarahkan pelajar memberikan makna perkataan baru selepas petikan dibaca.

3. Memberikan perhatian kepada perkataan penting dan kemudian meminta pelajar membina ayat.

4. Memberikan latihan dan kerja rumah seperti membuat ayat ataupun mencari perkataan sukar.

Ini menggambarkan yang pengajaran perbendaharaan kata dilakukan secara terasing. Pelajar diajarkan penguasaan perbendaharaan kata tanpa membuat perkaitan antara perkataan yang sedia difahami dengan perkataan yang baru ditemui. Oleh itu, kejayaan pelajar dalam mempelajari bahasa bergantung kepada perluasan dan kekayaan pengalaman yang dialami dan pemerolehan konsep yang dikuasainya dulu.

Daripada segi pelaksanaan, peruntukan masa mengajar perbendaharaan kata adalah singkat. Pengajarannya adalah komponen kecil daripada pengajaran bacaan dan pemahaman. Oleh itu, perlu dibuat pengubahsuaian dalam memperuntukkan masa mengajar perbendaharaan kata kerana penguasaannya bukan sahaja membantu pemahaman teks yang dibaca tetapi juga dalam menguasai kemahiran menulis. Lebih luas saiz penguasaan perbendaharaan kata pelajar bertambah mudah baginya mengolah ayat dalam kemahiran menulis.

Teori skema dalam pengajaran perbendaharaan kata banyak dikaitkan dengan keupayaan pelajar memahami perkataan yang ditemui dalam teks. Ciri penting yang dapat dikesan daripada skema dihuraikan di bawah ini:

Kaitan dan hierarki
Perkara, konsep, benda, idea selalunya wujud dalam bentuk hubungan secara langsung. Perkataan yang dikaji selalunya dapat dilihat melalui pengelasan, ciri atau keadaan sesuatu perkara itu. Contohnya apabila memperkatakan berkenaan nelayan, yang tergambar difikiran adalah bot, pukat, ikan, laut, ombak dan sebagainya. Manakala bagi tujuan pengelasan dapat dibuat berdasarkan alat, hasil, keadaan dan sebagainya.

Kedapatan skema
Wujudnya sesuatu perkara, konsep, idea sering juga dikaitkan dengan cara memperoleh atau di mana wujudnya. Kepelbagaian bentuk skema yang diperoleh banyak bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan seseorang. Contohnya pengalaman melawat kampung nelayan atau bersama-sama nelayan ke laut dapat memberikan kepelbagaian dalam skema itu.


Pemilihan skema
Kadangkala pelajar mempunyai skema yang banyak tetapi mereka tidak berupaya mengaitkannya dengan bahan yang dibaca. Mereka didapati tidak sedar kewujudan skema yang dimiliki dengan bahan yang dibaca.

Penjagaan skema
Kewujudan skema dalam pemikiran perlu dijaga atau dikawal supaya tetap memperoleh atau menggunakan skema itu sepanjang membaca teks itu. Sering juga terjadi skema yang terputus, hilang daripada ingatan atau tidak berfungsi dalam usaha memahami teks.


Kepentingan Teori Skema
Teori skema membantu pelajar dalam membina kefahaman. Antara kepentingan teori itu adalah:

1. Memastikan bahan yang dibaca oleh pelajar adalah dalam lingkungan pengalamannya dan kandungan latar belakang konseptual serta bahasa yang digunakan.

2. Membantu pelajar mengaitkan latar belakang pengetahuan terdahulu bagi keperluan membaca. Membekalkan pelajar dengan maklumat yang spesifik bagi menggerakkan dan membina latar belakang pengetahuan.

3. Membantu pelajar membina pengetahuan latar bagi bahan yang mengandungi maklumat baru. Lawatan ke lapangan terbang, menonton filem, melihat gambar, menghadiri ceramah, jemputan ke pameran dan lain-lain juga membantu pelajar membentuk pengetahuan latar bagi membina makna bagi maklumat baru.

4. Aktiviti-aktiviti lain yang dapat membantu pemahaman pelajar adalah dengan berbincang berkenaan perbendaharaan kata baru, menyelidik perkaitan antara konsep baru dan yang sudah diketahui dan pengalaman langsung idea baru yang dapat membina pengetahuan latar yang dapat dikaitkan dengan maklumat baru.

5. Menunjukkan kepada pelajar cara menggunakan strategi membina makna. Apabila pelajar hendak memahami maklumat yang dibaca, tunjukkan model yang sesuai dan gunakan bahan yang sudah dikenal pasti.

6. Membuat pemantauan keupayaan pelajar dengan melihat sama ada mereka memperoleh skema yang sesuai tetapi gagal menggerakkannya ataupun kekurangan skema bagi membina sesuatu makna.


Jenis Skema dalam Bacaan
Skema merujuk kepada pengetahuan yang dibawa bersama pembaca pada teks semasa membaca.

Skema kandungan

1. Melibatkan pembaca dengan asas perbandingan.
Contoh: Pembaca teks berkenaan majlis perkahwinan dapat membandingkan daripada kesemua aspek khusus majlis perkahwinan yang sudah dihadirinya dan pola-pola umum majlis perkahwinan dalam budayanya.

Skema rasmi

1. Merujuk kepada bentuk organisasi dan struktur retorik teks bertulis.
Contohnya: Apabila meneka sumber sesebuah teks; keputusan dibuat berdasarkan pengetahuan skema bentuk formal.

2. Pembaca tahu artikel akhbar distrukturkan secara berbeza dengan nota peribadi.

3. Persekolahan dan budaya memainkan peranan besar dalam memberi pengetahuan asas skema bentuk formal.

Skema linguistik

1. Termasuk ciri-ciri mengekodkan yang diperlukan bagi mengenal perkataan dan melihat bagaimana disesuaikan dalam ayat.

2. Pembaca yang tidak mengkaji perkataan secara aktif atau rumus tatabahasa tidak dapat menggunakan maklumat ketika membaca.


Kesimpulan
Kesimpulannya teori skema berperanan membantu pelajar menguasai sesuatu konsep dan pemahaman yang lebih jelas. Asas-asas yang terdapat dalam teori itu juga menjadi dasar dalam membimbing pelajar memantapkan ilmu pengetahuan dasar yang sedia ada serta membuat jangkauan ke hadapan ke atas sesuatu perkara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025