Artikel

Bagaimana Nak Bertengkar…?

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

SEMUA pasangan, sama ada kekasih mahupun suami isteri, mengalami ketika-ketikanya apabila mereka berkonflik. Konflik pasangan adalah asam garam perhubungan dan ia tidak boleh dielakkan seratus peratus. Sepasangan kekasih ataupun suami isteri dikatakan berkonflik apabila mereka mempunyai sudut pandangan yang bertentangan berkenaan sesuatu isu. Tetapi mereka tidak semestinya bertengkar disebabkan wujudnya konflik antara mereka berdua.

Sebagai contoh, seorang suami menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak mahu menjalin hubungan rapat dengan ahli-ahli keluarga si suami. Daripada tingkah laku suaminya si isteri boleh tahu bahawa sikapnya itu tidak memuaskan hati suaminya tetapi dia tetap dengan pendiriannya itu. Namun, demi menjaga ketenteraman di dalam rumah, si suami tidak mahu membincangkan isu itu dan mengambil sikap diam sahaja.

Konflik boleh menimbulkan pelbagai masalah dalam perhubungan, tetapi yang menjadikan konflik berbahaya bukanlah konflik itu sendiri. Dalam contoh di atas konflik suami isteri itu menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada si suami. Ia juga menyebabkan ahli-ahli keluarga si suami berasa jauh hati dan kecewa dengannya disebabkan si suami jarang datang menziarahi mereka walaupun pada masa-masa yang dirasakan penting baginya datang dan mengambil berat berkenaan kebajikan mereka.

Faktor yang menjadikan konflik berbahaya ialah gaya ataupun cara-cara yang digunakan oleh pasangan itu semasa mereka berkonflik. Kita tentu pernah mendengar cerita bagaimana ada suami isteri yang bercerai disebabkan perkara-perkara yang pada anggapan kita tidak sepatutnya boleh menyebabkan orang bercerai.

Sebagai contoh, pada suatu masa di sebuah kampung sepasang suami isteri yang sudah lebih 60 tahun usianya bercerai selepas mereka bertengkar disebabkan si isteri lupa hendak menambat kambing mereka. Pada akal biasa, tidak masuk akal isu terlupa menambat kambing boleh menyebabkan pasangan tua bercerai, tetapi itulah yang berlaku. Dalam tragedi kambing itu, yang menyebabkan perceraian pasangan tua itu bukanlah kambing, tetapi cara-cara mereka bertengkar mengenai kambing itulah yang menyebabkan pertengkaran mereka itu menjadi begitu teruk sampai si suami terkeluar kata-kata yang menjatuhkan talak.

Apabila pasangan kekasih ataupun suami isteri berkonflik, mereka mempunyai apa yang disebut ‘gaya berkonflik’, iaitu cara-cara yang digunakan untuk bercakap mengenai konflik mereka itu dan cara-cara mereka cuba menyelesaikannya. Secara amnya, pasangan yang berkonflik menggunakan dua jenis gaya berkonflik, iaitu ‘gaya integratif’ dan ‘gaya distributif’. Seseorang itu dikatakan berkonflik dengan gaya integratif apabila cara-cara yang digunakannya itu menghasilkan penyelesaian di mana kedua-dua belah sama-sama puas hati.

Gaya berkonflik yang integratif mendorong pasangan itu saling mengerti dan menghargai satu sama lain. Kajian mendapati pasangan yang suka mementingkan matlamat bersama cenderung bertengkar dengan cara-cara yang integratif. Tingkah laku bertengkar yang distributif ialah perbuatan suka menyalahkan dan menuduh pihak yang satu lagi bertanggungjawab menjadi punca kepada masalah yang dihadapi.

Perbuatan suka menuduh dan menyalahkan orang lain adalah sangat merosakkan kualiti perhubungan. Kajian pakar mendapati pasangan-pasangan kekasih ataupun suami isteri yang tidak bahagia suka bertengkar menggunakan gaya yang menuduh dan menyalahkan satu sama lain. Menurut pakar-pakar itu dua ke-mungkinan mengapa pasangan yang tidak bahagia suka bertengkar menggunakan gaya distributif.

Pertama, disebabkan pasangan itu suka menyalahkan dan menuduh satu sama lain, akibatnya mereka tidak bahagia. Kedua, mungkin juga disebabkan pasangan itu tidak bahagia maka apabila mereka bertengkar mereka suka menggunakan gaya yang menuduh dan menyalahkan satu sama lain. Terdapat juga kajian lain yang mendapati gaya distributif lebih banyak digunakan oleh wanita dibandingkan dengan lelaki.

Apabila tujuan pertengkaran adalah untuk memperbaiki lagi kualiti perhubungan, pasangan kekasih ataupun suami isteri yang bertengkar itu cenderung menggunakan cara-cara berkonflik yang integratif. Contoh konflik jenis ini ialah di mana seorang suami menyatakan rasa tidak puas hatinya disebabkan isterinya terlalu sibuk dengan urusan luar sehingga si suami berasa diabaikan. Lalu si suami memberitahu isterinya supaya mengurangkan kerja-kerja luar rumahnya.

Tujuan si suami menegur isterinya ialah demi kepentingan bersama antara mereka berdua iaitu supaya urusan rumah tangga mereka bertambah baik. Akibat teguran itu mereka bertengkar. Pertengkaran jenis ini lazimnya berlaku dalam suasana integratif di mana kedua-dua belah pihak cuba mencari penyelesaian yang memuaskan hati kedua belah pihak.

Sebaliknya, apabila matlamat konflik pasangan itu adalah untuk mempertahankan hak masing-masing, kedua-dua belah pihak cenderung menggunakan cara-cara berkonflik yang distributif di mana mereka saling tuduh menuduh dan salah menyalahkan satu sama lain. Mereka cenderung mengkritik peribadi masing-masing. Itulah sebabnya pertengkaran jenis ini sangat membahayakan perhubungan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024