Artikel
Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah Tersenarai Dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular
oleh Roziyah pada 28 Jun 2010
Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah hasil karya Zamri Mohamad dan Imran Yusof terbitan PTS antara sepuluh buku Kategori Bukan Cereka yang dipertandingkan dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010 sempena BookFest@Malaysia 2010.
Pengurus pemasaran Popular, Alicia Goh Berkata, anugerah bersama Berita Harian sebagai rakan kongsi pintar bagi kategori Bahasa Melayu ini bersempena dengan BookFest@Malaysia 2010 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 4 hingga 12 September ini.
"Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian tahun lalu mencatat pertambahan di luar jangkaan dan Popular berharap tahun ini ia akan mendapat sambutan lebih ramai daripada pembaca memandangkan ia sudah berlangsung selama tiga tahun berturut-turut," katanya yang dipetik media.
Goh berkata, pembaca yang berhasrat menyertai Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010 perlu memilih pengarang pilihan mereka berdasarkan Kategori Cereka dan Bukan Cereka dengan masing-masing menyenaraikan 10 buku paling laris di pasaran bagi 2009.
"Mereka perlu menggunakan borang rasmi yang disediakan dalam Dunia Buku, Sastera, Berita Harian yang terbit setiap Jumaat dan mereka boleh menghantar seberapa banyak penyertaan, tetapi salinan fotokopi tidak dibenarkan. Penyertaan dibuka dari 2 Julai sehingga 30 Julai ini.
"Peserta juga boleh mendapatkan borang rasmi dari semua 64 cawangan Kedai Buku Popular di seluruh negara dan mereka juga dikenakan syarat serupa seperti peserta yang menggunakan Borang Rasmi dalam Dunia Buku, Sastera, Berita Harian," katanya.
Johan anugerah akan menerima wang tunai RM1,500, kedua (RM1000), ketiga (RM500) dan semua pemenang akan diberi trofi, manakala 100 pembaca yang menjawab dengan tepat akan menerima baucer Popular bernilai RM50 dan keahlian selama setahun.
Tahun lalu, pendatang baru dunia penulisan, Siti Rosmizah Semail, muncul pilihan pertama Anugerah Buku Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2009 Kategori Fiksyen Bahasa Melayu, menerusi Andai Itu Takdirnya, sekali gus merangkul wang tunai RM 1,500.
Bagi Kategori Bukan Fiksyen, tempat pertama dimenangi Dr Tengku Asmadi menerusi buku motivasi, Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif dan kedua, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dengan buku Hadiah Untuk Muslimah. Ketiga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria dengan bukunya, Langkah Bijak Usahawan Terbilang.