Artikel
Lawatan ke PTS Suntik Semangat Membaca
oleh Roziyah pada 01 Jul 2010
Rombongan 41 pelajar dari sekolah Menengah Datuk Mohd Yusof, Linggi, Negeri Sembilan teruja berpeluang datang ke syarikat PTS dan menyaksikan sendiri proses dalam penerbitan buku.
Menurut guru pengiring, Mariahni Mohamad, PTS merupakan pilihan terbaik bagi pelajar mendekatkan diri dengan buku.
"PTS banyak menerbitkan buku akademik sesuai dengan bacaan remaja. Pelajar dapat melihat secara terus bahan penulisan dihasilkan dari awal hingga akhir," kata cikgu Mariahni Mohamad kepada wakil PTS.
Beliau berpendapat, melalui rombongan ini dapat menyuntik minat kepada pelajar dalam bidang yang berkaitan dengan penerbitan termasuklah grafik dan penulisan.
Bagi cikgu Mariahni, pelajar perlu didekatkan dengan buku kerana melalui buku mereka dapat belajar ilmu yang tidak diperolehi disekolah.
"Pelajar seharusnya membaca semua bahan. Contohnya novel. Banyak novel yang menceritakan cara hidup pembelajaran di luar negara. Secara tidak langsung pelajar akan mengetahui cara hidup pelajar di sana dan sekaligus dapat menarik minat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh untuk ke luar negara," kata beliau lagi.
Beliau menyangkal tanggapan sesetengah pihak yang menganggap buku seperti novel dan komik melalaikan pelajar. Bagi beliau pelbagai ilmu boleh diambil daripada bahan yang dibaca.
Cikgu Mariahni yang mewakili sekolah Menengah Datuk Mohd Yusof berbesar hati sekiranya syarikat penerbitan seperti PTS datang ke sekolah-sekolah dan melaksanakan aktiviti bersama pelajar.
"Kita lebih gembira sekiranya syarikat penerbitan bertemu dengan pelajar kerana jarang ada syarikat penerbitan yang turun dan mendekatkan diri dengan pelajar. Melalui cara ini, pelajar akan lebih dekat dengan buku," jelas cikgu Mahriamah.
Tujuan rombongan pelajar yang bakal menduduki SPM datang dari Negeri Sembilan yang datang ke syarikat penerbitan PTS ini untuk memberi pengetahuan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam dalam bidang penerbitan ini.
Salah seorang pelajar, Nurul Amira Kamaruzaman gembira kerana diberi peluang melawat PTS.
"Banyak perkara yang boleh saya pelajari di sini. Buku-buku di sini juga menarik perhatian kerana kulit buku dan isinya yang menarik perhatian," kata Nurul Amira.
Pelajar-pelajar juga tidak melepaskan peluang membeli buku-buku PTS untuk dibawa pulang.
Mereka juga sempat bertemu dengan penulis dan pelukis Komik-M, Afiq dan Nazry yang telah menghasilkan komik Misi 8A dan Aviasi Fantasi.