Artikel

Mengucup Haji Mabrur

oleh Asri Yussof pada 13 Jun 2019

Haji mabrur bermaksud haji yang diterima. Ada yang mentakrifkan ‘al mabrur’ sebagai ‘al maqbul’ iaitu ‘diterima’. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (dipersetujui) oleh Imam Nawawi dengan pendapat tersebut (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadis yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meriwayatkan hadis-hadis daripada Abu Hurairah r.a dan Aisyah r.a tentang kelebihan haji mabrur. Manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab ‘Iman kepada Allah taala seafdal-afdal amalan.’

Jelas kita fahami di sini, haji mabrur adalah haji yang paling sempurna, yang tidak ada dosa yang dilakukan sepanjang kita mengerjakan ibadah haji di Tanah Haram (Madinah dan Mekah). Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith di atas dengan berkata: “mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan almabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak riak pada hajinya.”

Di dalam satu hadis yang lain, Nabi Muhammad s.a.w ada memberitahu,

“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin mengikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat al-Quran.” - Sahih Muslim.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Barang siapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasiq (keluar dari ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa).”

(Hadith riwayat al-Bukhari, No: 1521, 1829, Muslim, No: 1350, An-Nasaie, No: 2627, Ibn Majah, No: 2889).

Haji secara estimologinya adalah berkunjung. Adapun secara terminologi adalah mengunjungi Baitul Haram dengan amalan tertentu, pada waktu tertentu.

Haji merupakan syiar agung dan ibadah yang mulia kerana dengan melaksanakannya seseorang akan mendapatkan rahmat dan berkat. Pelaksanaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi saw akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa.

Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah swt (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukum berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024