Artikel

Bagaimana Memilih Penerbit Karya Anda

oleh Helmi pada 23 Feb 2005

Pada masa ini pasaran buku Melayu sedang mengalami perkembangan pesat yang menyerupai apa yang berlaku pada tahun 70-an. Trend ini diramalkan akan meningkat lebih ketara lagi pada masa depan dengan peningkatan anggota kelas menengah Melayu.

Selaras dengan situasi positif ini, dianggarkan sekarang terdapat 5 orang penulis tempatan yang pernah menerima royalti melebihi RM100 ribu setahun, dan sekitar 20 orang menerima royalti melebihi RM50 ribu setahun. Majoriti adalah penulis novel cinta, tetapi terdapat juga penulis buku-buku bacaan umum dalam kategori ini. Kumpulan ini tidak termasuk penulis yang buku mereka menjadi buku teks sekolah.

Suatu perkembangan terbaru yang amat memberangsangkan adalah, dalam masa tidak lama lagi, buku-buku dan novel topsellers di Malaysia akan mula diterbitkan dalam versi Indonesia. Ini akan meningkatkan lagi pendapatan para penulisnya.

Karya yang baik dan berguna tidak menjamin kejayaan dalam pasaran. Karya itu memerlukan banyak faktor lain bagi membolehkan ia terjual dengan banyaknya.

Faktor yang paling menentukan kejayaan buku dalam pasaran adalah siapa yang menerbitkan buku itu.

Penulis yang bukunya laris dalam pasaran menerbitkan karya mereka dengan penerbit yang mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Penerbit itu mempunyai kekuatan mengedarkan buku-buku yang mereka terbitkan ke seluruh negara dan ke negara jiran seperti ke Indonesia, Singapura dan Brunei. Karya yang baik sekalipun, jikalau ia tidak diedarkan dengan meluas, ia tidak akan berjaya dalam pasaran.

2. Penerbit itu mempunyai pengarah kreatif yang berupaya menghasilkan konsep wajah dan kulit buku yang cantik. Karya yang baik sekalipun, jikalau wajahnya compang-camping maka buku itu tidak akan laku dalam pasaran. Kata-kata jangan nilai buku berdasarkan kulitnya adalah tidak betul. Dalam kedai, mula-mula sekali pembeli menengok kulit buku, barulah dia berminat memegang buku itu dan seterusnya membelek-beleknya.

3. Penerbit itu mempunyai editor profesional yang dapat mendandan dan menggilap manuskrip sehingga menjadi karya yang menarik daripada sudut gaya penulisannya dan penampilannya.

4. Penerbit itu peka kepada citarasa pembaca sasaran sesuatu karya, dengan itu dapat memberi maklumbalas dan cadangan yang betul kepada penulis berkenaan ubahsuai dan tokok tambah yang diperlukan oleh karya sebelum diterbitkan.

5. Penerbit itu mempunyai kemampuan membuat promosi, baik bagi karya itu sendiri mahupun bagi penulisnya.

Ramai penulis tidak dengan secara serius memupuk hubungan kerja yang baik dengan penerbit dan editor. Malah ada penulis yang mengambil sikap mencurigai peranan editor. Ini adalah sikap yang merugikan penulis sendiri.

Walaupun peranan penerbit amat penting, tetapi masih terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi kejayaan penulis.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024