Artikel

Tip-tip bercinta dan berkasih sayang Dato Dr Fadzilah Kamsah

oleh Helmi pada 23 Feb 2005

Kasih kepada semua makhluk di bumi, dan semua yang berada di syurga akan mengasihi kamu… . Itulah petikan hadis dan kata-kata nabi Muhammad yang disampaikan oleh Dato Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah sebagai permulaan ceramah beliau. Menurut beliau yang merupakan pakar motivasi dan pembangunan diri yang terkenal, semua makhluk di bumi ini selain dari manusia memunyai perasaa kasih dan cinta kepada Allah.

Kerana sifat kasih dan cinta itu lah juga ombak tsunami melanda manusia. Ianya sebagai peringatan agar manusia juga turut kasih dan sayang kepada Allah dan tidak lagi melakukan kemungkaran.

Bagi cinta sesama manusia, seharusnya ia tidak di selaputi perasaan hawa nafsu dan materialistik semata-mata. Manusia yang ingin mendapat cinta dan kasih sayang yang berpanjangan juga perlu mencari pasangan hidup yang sekufu.

Sekufu ini tidak hanya bertumpu kepada latar belakang pendidikan, hobi, darjat keturunan dan sebagainya, tetapi juga kepada nilai-nilai yang boleh di kongsi bersama. Sebagai contoh, walaupun seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan berbeza, tetapi mereka mempunyai sumber pendapatan yang seimbang, itu juga boleh dikira sekufu. Beliau juga menambah dengan memetik kata-kata nabi Muhammad: Perselisihan yang tidak membawa kepada bercerai berai adalah suatu kebaikan dan rahmat.

Menjawab soalan seorang peserta, Dato Fadzilah yang merupakan Pengarah Eksekutif, Excell Training & Consultacy dan penulis beberapa buah buku motivasi itu berkata, pepatah Melayu perigi mencari timba hanya sesuai pada era 30-40 tahun dahulu. Ini kerana pada zaman yang maju dan membangun seperti sekarang ini ramai wanita yang sudah meningkat usianya tidak berkahwin kerana kekangan kehidupan yang menuntut mereka menumpukan perhatian terlebih dahulu kepada pelajaran dan kerjaya yang juga menyebabkan kesukaran mencari pasangan sekufu.

Walaupun begitu, menurut beliau lagi, wanita yang ingin mencari pasangan hidup perlulah berpandukan kepada ajaran dan panduan agama. Sebagai panduan menurut beliau juga, sebaiknya wanita yang ingin mencari jodoh itu meminta perantaraan orang lain seperti ayah, pakcik dan sebagainya yang boleh dipercayai dan dihormati.

Beliau juga membawa contoh nabi Muhammad di pinang oleh isterinya Siti Khadijah melalui seorang wakil. Walaupun Siti Khadijah lebih tua usianya dari nabi Muhammad ditambah pula dengan kedudukannya tinggi dan berharta, beliau tetap sekufu dengan nabi Muhammad yang kaya dengan peribadi mulia dan bijaksana lebih-lebih lagi merupakan seorang nabi kepada semua umat manusia.

Ceramah yang mengambil masa sejam ini dianjurkan oleh PTS selaku penerbit buku-buku Dato Dr Fadzilah Kamsah adalah sempena bulan promosi buku-buku kasih sayang yang di adakan dengan kerjasama MPH Bookstore Sdn Bhd. cawangan Mid Valley Megamall pada hari Ahad 20 Februari lepas.

Selain dari Dato Fadzilah, dua orang penulis bersama buku-buku yang juga mentee beliau iaitu puan Noralina Omar (buku soal jawab pra-perkahwinan) dan puan Syaidatun Nazirah (buku Psikologi Cinta) turut hadir dan memberi beberapa tip-tip ringkas berkenaan cinta dan kasih sayang. Kedua-dua buku itu habis dijual pada hari tersebut dan sedang diulang cetak oleh penerbit.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024