Artikel
Bagaimana Meningkatkan Estim Diri
oleh Helmi pada 05 Nov 2004
ESTIM mempunyai pengaruh besar ke atas prestasi. Kajian psikologi mendapati individu yang berjaya mempunyai estim tinggi manakala mereka yang gagal mempunyai estim rendah. Estim ialah perasaan berkenaan nilai diri sendiri. Daripada satu segi, estim menjawab pertanyaan, “Adakah anda seronok dengan keadaan diri anda sekarang?” Maka tidak hairanlah apabila individu yang berjaya berasa seronok dengan keadaan diri mereka.
Estim adalah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim adalah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan. Dilihat daripada satu segi, estim ialah sejauh mana seseorang menyukai diri sendiri.
Bagaimana Estim Mempengaruhi Tingkah Laku
Estim mempengaruhi tingkahlah laku seseorang itu dengan pelbagai cara. Antaranya adalah seperti ketekalan diri, pertahanan diri, peningkatan diri dan motivasi estim.
a. Ketekalan diri
Sesetengah individu, apabila menerima pujian pada keupayaan dan hasil kerja mereka seperti tidak suka pada pujian itu. Katakanlah, dia pandai menendang bola dan dipuji, tetapi nampaknya dia tidak seronok dengan pujian yang diberikan. Begitu juga apabila dia membuat kuih dan dipuji kuihnya yang sedap, dia menampakkan yang dia tidak suka dipuji. Sebaliknya, ada pula orang yang suka dipuji-puji, umpamanya apabila diberitahu dia berbakat, istimewa dan pandai, dia seronok menerima pujian itu.
Pakar psikologi mendapati manusia cuba bersifat konsisten atau tekal, iaitu cuba supaya tidak berubah-ubah. Ini bererti, orang yang memiliki estim tinggi cuba menjaga supaya estim mereka kekal tinggi. Ini juga bererti orang yang memiliki estim rendah cuba menjaga supaya estim mereka kekal rendah. Perkara kedua ini seperti tidak masuk akal, tetapi kajian oleh pakar psikologi mendapati hal ini memang benar.
Dalam suatu uji kaji, sekumpulan orang yang memiliki estim tinggi dan estim rendah diberi dua jenis maklum balas. Mula-mula mereka diberi pujian oleh seorang penilai. Kemudian seorang penilai lain memberi maklum balas yang neutral, iaitu memberitahu apa yang benar sahaja. Kemudian mereka diminta menilai kedua-dua penilai itu. Didapati, orang yang memiliki estim tinggi suka pada penilai yang memberi pujian. Sebaliknya, orang yang memiliki estim rendah suka pada penilai yang neutral kerana penilaian mereka selaras dengan apa yang mereka nilaikan. Nampaknya, orang yang memiliki estim tinggi suka dipuji kerana pujian meningkatkan estim mereka.
Orang yang memiliki estim rendah suka penilaian yang mengesahkan keadaan diri mereka yang sebenar. Ini bermakna mereka mahu supaya estim mereka kekal seperti keadaannya sekarang. Walaupun penilaian itu negatif, tetapi penilaian itu benar. Mereka suka pada penilaian yang menerangkan keadaan mereka yang sebenarnya, iaitu negatif. Mereka tidak suka penilaian yang positif kerana penilaian itu tidak benar. Namun, pada waktu yang sama pula, selepas menerima penilaian negatif mereka berasa kecewa dan pilu. Mereka suka pada penilaian yang neutral tetapi kesannya mereka kecewa dan pilu.
Kajian juga menunjukkan apabila orang yang memiliki estim rendah berjaya melakukan sesuatu tugas, mereka berasa seronok, tetapi mereka tidak yakin mereka memiliki kebolehan untuk berjaya. Apabila mereka gagal, mereka kecewa dan estim mereka turun lebih rendah. Mereka seperti mengaku, bahawa mereka memang bodoh dan tidak cuba menolak kegagalan itu. Mereka menerimanya kerana hal itu selaras dengan gambaran negatif yang ada pada diri mereka.
b. Pertahanan diri
Sesetengah individu berani mengambil risiko yang besar, manakala sesetengah individu pula tidak berani langsung mengambil risiko. Jika mereka mengambil risiko sekalipun, mereka hanya berani mengambil risiko yang kecil sahaja. Orang yang berani mengambil risiko besar seolah-olah tidak takut berdepan dengan kegagalan. Manakala orang yang mengambil risiko kecil seolah-olah sangat takut pada kegagalan.
Salah satu sifat manusia ialah mempertahankan estimnya apabila ia terancam. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berhadapan dengan kegagalan, estimnya terancam. Orang yang memiliki estim tinggi cuba meningkatkan estim mereka di mata orang lain dan di mata mereka sendiri. Sebaliknya orang yang memiliki estim rendah tidak cuba meningkatkan estim mereka kerana tidak mempunyai keyakinan diri bagi melakukan hal itu. Apabila berhadapan dengan ancaman kegagalan, orang yang memiliki estim rendah cenderung mengelakkan risiko.
Dalam satu uji kaji, sekumpulan orang diberitahu mereka akan bermain judi menggunakan wang sebenar, dan mereka boleh memilih risiko kecil ataupun risiko besar. Didapati mereka yang memiliki estim rendah memilih risiko kecil manakala mereka yang memiliki estim tinggi mengambil risiko yang lebih besar. Orang yang memiliki estim rendah tidak mempunyai cara mempertahankan estim mereka apabila ia terancam. Hal ini berlainan dengan orang yang memiliki estim tinggi. Mereka tahu bagaimana hendak menyelamatkan estim mereka apabila ia terancam, oleh itu mereka lebih berani mengambil risiko yang besar.
Dalam satu kajian lain, sekumpulan orang disuruh berlatih bermain permainan video sehingga pandai. Kemudian mereka diminta meletakkan pertaruhan dan bermain lagi. Orang yang memiliki estim tinggi meletakkan pertaruhan yang lebih tinggi dan berjaya mencapai matlamat yang mereka tetapkan. Mereka yang memiliki estim rendah meletakkan pertaruhan dan matlamat yang lebih rendah. Hasilnya mereka yang memiliki estim tinggi menang lebih banyak daripada mereka yang memiliki estim rendah.
Uji kaji itu diteruskan lagi. Kali ini mereka diberitahu mereka boleh tercekik kalau terlalu banyak tekanan. Tujuannya adalah untuk mengancam ego mereka. Uji kaji ini mendapati orang yang memiliki estim tinggi meletakkan pertaruhan yang terlalu besar. Akibatnya, mereka menanggung kerugian yang lebih besar daripada orang yang memiliki estim rendah, yang lebih berhati-hati apabila membuat pertaruhan.
Nampaknya, apabila ego mereka terancam, orang yang memiliki estim tinggi lebih cenderung membuat tindakan yang baik bagi meningkatkan estim mereka. Akibatnya, mereka lupa membuat ramalan yang lebih realistik dan rasional. Sebaliknya, orang yang memiliki estim rendah, apabila ego mereka diancam, mereka lebih berhati-hati dan berwaspada supaya mereka tidak menanggung kerugian besar. Mereka sangat mengutamakan keselamatan dalam menghadapi risiko.
c. Peningkatan diri
Ada masanya apabila individu itu cuba melakukan sesuatu dan gagal, dia dapat menerima kenyataan bahawa dia gagal. Tetapi apabila dia mengatakan perkara itu tidak penting, oleh itu gagal pun tidak apa, namun tersorok di hatinya, dia sebenarnya tahu ia penting, cuma mulutnya sahaja mengatakan ia tidak penting. Ada kalanya pula, apabila seseorang itu gagal, dia memberi alasan yang diada-adakan seperti:
“Saya gagal kerana terlalu mementingkan mutu.”
“Saya gagal kerana mahu yang terbaik saja.”
“Saya mahu perkara yang terlalu sempurna.”
“Cita-cita saya mahukan yang terlalu sempurna.”
“Cita-cita saya terlalu tinggi. Sepatutnya saya buat macam orang lain. Lebih kurang pun sudah cukup.”
Manusia mahu menjaga estimnya dan apabila dapat dia mahu meningkatkannya supaya lebih tinggi lagi. Gejala itu disebut peningkatan diri. Oleh itu manusia mengingini maklum balas yang positif sahaja kerana hal itu menjaga dan meningkatkan estimnya. Ini bermakna manusia tidak menginginkan maklum balas negatif kerana ia menjatuhkan estimnya.
Individu yang memiliki estim tinggi menginginkan kejayaan kerana kejayaan membuat mereka berasa seronok. Bagi mereka kejayaan adalah bukti kebolehan mereka. Apabila gagal melakukan sesuatu tugas, mereka cenderung melebih-lebihkan ciri-ciri sosial mereka. Sebagai contoh, mereka mungkin mengatakan mereka terlalu mahukan kerja yang sempurna sahaja, sampai langsung gagal. Walaupun mereka sanggup mengakui kegagalan mereka, tetapi untuk menjaga estim, mereka akan melebih-lebihkan kejayaan mereka di tempat lain.
Mereka percaya apa yang mereka pandai lakukan adalah perkara yang mereka anggap penting. Sebaliknya, perkara yang mereka tidak pandai lakukan adalah tidak penting pada mereka. Dengan berbuat begitu, mereka dapat menjaga estim meskipun dalam keadaan mereka gagal.
Motivasi estim
Salah satu sifat semula jadi manusia adalah suka menyangka dirinya lebih hebat daripada yang sebenarnya. Lazimnya sese-orang itu percaya dia lebih baik, lebih pandai, lebih banyak berusaha dan berkorban dan bekerja lebih teruk daripada orang lain dan sebagainya. Sebagai contoh, ahli persatuan selalu mendakwa mereka memberi lebih banyak sumbangan dan pengorbanan daripada apa yang sebenarnya disumbangkan atau-pun dikorbankan. Pengerusi mendakwa dia membuat lebih banyak kerja, manakala setiausaha pun mendakwa perkara yang sama. Pakar psikologi mengatakan hal ini terjadi disebabkan oleh cara manusia merekodkan perkara yang mereka lakukan.
Didapati seseorang itu lebih mengingati perkara yang mereka sendiri lakukan, dan tidak ingat perkara yang tidak dilakukan, iaitu perkara yang dilakukan oleh orang lain. Manusia juga tidak berapa ingat apabila mereka cuma nampak sesuatu perkara itu dilakukan oleh orang lain. Ertinya, jika dia yang melakukannya, dia akan ingat; kalau dia tidak buat, dia tidak ingat. Pendeknya, manusia hanya ingat apa yang dia buat kerana yang ada dalam peti ingatannya adalah catatan sumbangan dan pengorbanannya seorang. Dia tidak mencatatkan sumbangan dan pengorbanan orang lain.
Estim, Bahasa dan Kejayaan
Estim, cara berfikir, gaya bahasa positif dan kejayaan saling kait mengait. Satu faktor adalah faktor bagi yang lain, begitulah seterusnya ia berputar-putar dalam lingkaran yang mencipta kejayaan demi kejayaan. Gaya bahasa memancarkan estim individu. Individu yang berjaya bercakap menggunakan ciri bahasa yang berbeza daripada ciri bahasa yang digunakan oleh individu yang tidak berjaya.
Mengikut kajian, bahasa yang digunakan oleh individu yang berjaya adalah bahasa positif manakala individu yang gagal pula menggunakan bahasa negatif. Kajian psikologi mendapati orang yang berjaya berfikiran positif, manakala mereka yang tidak berjaya berfikiran negatif. Sikap positif mereka terpancar pada bahasa positif yang mereka gunakan.
Kaitan antara kejayaan dan gaya bahasa dapat diterangkan begini; individu yang dibenci oleh orang lain tidak mungkin berjaya dalam kegiatan yang dilakukannya. Untuk berjaya, individu itu perlu pandai menambat hati ramai individu di sekelilingnya sebelum dia boleh mendapatkan bantuan sokongan dan kerjasama daripada mereka. Individu itu hanya dapat mempengaruhi orang yang menyukai dirinya sahaja, dan dia tidak mungkin dapat mempengaruhi orang yang benci ataupun tidak berapa menyukai dirinya.
Fitrah manusia ialah mereka suka kepada orang yang bersikap positif, suatu hal yang terpancar pada gaya bahasanya. Gaya bahasa negatif menyebabkan seseorang itu tidak disukai oleh orang di sekelilingnya, ini menyebabkan dia tidak mempunyai daya pengaruh yang tinggi ke atas mereka. Oleh sebab itu, jangan gunakan kosa kata negatif apabila bercakap. Perkataan itu termasuklah bodoh, lembap, sederhana, malas, gagal, tidak lulus, gagal, markah rendah, tidak betul, salah, masalah, jahat, nakal, degil, tak dengar cakap, buruk, tak elok, tidak bagus, lambat, kotor, comot, sedikit, kurang, belum, tidak, dan banyak lagi.
Satu lagi ciri bahasa orang yang berjaya dan mempunyai estim tinggi ialah mereka bercakap dengan gaya yang lancar dan tatabahasa yang betul. Bahasa yang patah-patah dan bercampur aduk dengan bahasa asing menimbulkan gambaran individu itu tidak yakin dengan apa yang diucapkannya. Ia juga menimbulkan kesan dia tidak yakin kepada perkataan dan bahasa yang digunakannya.
Bahasa yang tidak lancar juga memberi gambaran dia tidak selesa dengan apa yang sedang dikatakannya, tidak mengetahui dengan mendalam perkara itu dan tidak komited dengan idea yang sedang diperkatakannya. Lebih serius lagi, bahasa yang patah-patah dan bercampur aduk menunjukkan ia datang daripada pemikiran yang tidak teratur, kelam-kabut, dan memberi gambaran seseorang yang ‘belum siap berfikir’ tetapi sudah bercakap.
Mengikut pakar psikologi, perkara itu menyebabkan penutur tidak dapat memancarkan karisma yang mungkin ada pada dirinya seandainya dia dapat bercakap dengan gaya yang positif dan berestim. Orang yang berkarisma menggunakan gaya ber-cakap yang dinamis dan sangat meyakinkan. Mereka bercakap dengan lancar, tidak tersekat-sekat dan tidak teragak-agak. Bahasa mereka betul tatabahasanya, tidak patah-patah dan tidak bercampur aduk dengan bahasa lain. Sebutan mereka juga terang dan jelas.
Gaya bercakap yang lancar mencipta gambaran bahawa dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Ia juga menggambarkan bahawa dia seorang yang pakar mengenai apa yang dicakapkan-nya. Kepakaran adalah unsur pertama pada karisma. Apabila orang lain yakin bahawa dia pakar, mereka tidak meragukan kritikan, pandangan dan nasihatnya. Mereka percaya bahawa kata-katanya adalah benar kerana dia disangka pakar.
Sebagai contoh, seorang menteri kesihatan tidak semestinya seorang doktor. Seorang pengurus syarikat penerbangan mungkin memiliki ijazah jurusan sejarah. Seorang ketua ajaran sesat biasanya bukan lulusan dari al-Azhar tetapi mereka semua boleh bercakap sehingga disangka mereka sangat mengetahui apa yang dikatakan dalam ucapan mereka. Apabila orang yakin mereka itu pakar, orang mudah terpengaruh.
Bahasa yang baik dan ucapan yang lancar juga menggambarkan bahawa individu itu mempunyai komitmen kepada kata-kata yang diucapkannya. Dalam erti kata yang lain dia seorang yang tulus, bukan hipokrit atau munafik. Ketulusan ialah unsur kedua pada karisma. Orang yang pakar sekalipun, apabila dia gagal menunjukkan bahawa dia seorang yang tulus dan ikhlas melalui kata-kata yang diucapkannya tidak akan mempunyai karisma. Gaya bahasa yang lancar juga menggambarkan dia seorang yang berjaya dan berkuasa mengotakan apa yang dia berani katakan. Ia memberi gambaran dia berupaya membawa perubahan yang dijanjikan, oleh itu dia bukan hipokrit.