Artikel

Bergosip-gosip Tanda Bahagia

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

MENURUT pakar, perempuan amat terkesan apabila kualiti komunikasi antara mereka dan suami mereka menurun disebabkan perempuan memupuk kasih sayang melalui aktiviti berkomunikasi. Apabila suami mereka tidak suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengannya lagi, perempuan berasa diri mereka tidak dikasihi lagi oleh suami mereka. Persepsi seperti itu membuat perempuan mengalami perasaan kecewa, kosong dan sepi.

Selagi lelaki masih seronok dengan kekasih ataupun isterinya, selagi itu lelaki suka berinteraksi dengan pasangannya. Dia suka duduk-duduk, berbincang, bergurau, bercakap-cakap dan berbual-bual dengan pasangannya. Lelaki yang seronok dengan pasangannya juga suka mengusik dan menyakat pasangannya. Malah dia mahu mengadu hal-hal yang amat peribadi kepada pasangannya itu.

Menurut pakar-pakar psikologi, pasangan yang sangat berkasih-kasihan banyak bergosip-gosip antara mereka berdua. Mereka suka bergosip mengenai kawan-kawan mereka, rakan sekerja mereka dan mengenai orang-orang yang sama-sama mereka kenali. Pasangan itu suka saling memberitahu gosip-gosip yang mereka dengar daripada kawan-kawan mereka.
Cuba saudara nilai semula adakah pasangan saudara suka bergosip-gosip dengan saudara. Adakah dia suka menceritakan perkara-perkara yang dialami ataupun dilihatnya pada hari itu? Adakah dia masih suka memberitahu saudara perkara-perkara yang baru diketahuinya mengenai kehidupan peribadi ketuanya di pejabat, mengenai isteri ketuanya, mengenai sahabat baiknya, mengenai orang-orang yang dibencinya? Jika ya, itu adalah tandanya pasangan saudara sangat seronok dengan saudara.

Perasaan seronok adalah pendorong utama kegiatan berinteraksi antara pasangan kekasih ataupun suami isteri. Jadi apabila perasaan seronok itu sudah mula hakis, dorongan untuk bercakap-cakap, berbual-bual dan bergosip-gosip pun mula luntur. Tempatnya diambil alih oleh dorongan untuk tidak mahu lagi bercakap-cakap dan berbual-bual. Dalam keadaan yang lebih parah, ia diganti dengan interaksi yang negatif seperti saling sindir menyindir, tegur menegur, kritik-mengkritik ataupun tuduh menuduh.

Cuba fikirkan semula, adakah pasangan saudara masih tidak sabar-sabar hendak bergosip dengan saudara sebaik-baik pulang dari kerja berkenaan perkara-perkara yang berlaku di tempat kerjanya pada hari itu? Jika ada perkara berlaku kepadanya di tempat kerja, adakah pasangan saudara tidak sabar-sabar menelefon saudara dan bercerita berkenaan apa yang terjadi, tidak sempat menunggu sampai dia balik kerja dahulu?

Sekiranya pasangan saudara suka bercerita-cerita dengan saudara, itu adalah bukti saudara seorang yang pandai berkomunikasi, khususnya saudara sebagai seorang yang pandai mendengar. Manusia suka bercakap-cakap dengan orang yang disukainya dan orang itu juga pandai mendengar apa yang diperkatakannya. Saudara tidak mungkin suka bercakap-cakap dengan orang yang saudara tidak sukai, apatah lagi apabila dia juga tidak suka mendengar apa yang saudara katakan.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu hilang rasa seronok terhadap pasangannya. Ramai wanita menyangka kebanyakan lelaki hilang rasa seronok kepada pasangan apabila usianya sudah semakin tua dan oleh itu wajah dan tubuh badannya tidak cantik lagi. Sangkaan itu tidak disokong oleh hasil kajian berkenaan faktor-faktor yang mendorong kerosakan perhubungan.

Memang fitrah lelaki menyukai wajah dan tubuh badan wanita yang menarik. Tetapi, apa yang menarik ataupun tidak menarik di mata seseorang lelaki adalah khusus bagi lelaki itu sahaja. Apa yang cantik ataupun buruk di mata seorang lelaki mungkin cantik dan manis di mata lelaki lain. Lagipun kajian psikologi mendapati apabila seseorang itu seronok dengan pasangannya, dia akan nampak pasangannya sebagai orang yang sangat menarik meskipun rupa paras dan bentuk badan pasangannya itu tidak seperti bintang filem.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024