Artikel

Bahang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022

oleh Farah Liana Nordin pada 27 May 2022

Bahang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 kian terasa. Baru sahaja reda kemeriahan menyambut Syawal, ia bersambung pula dengan kemeriahan PBAKL 2022 yang akan diadakan tidak lama sahaja lagi iaitu pada 3 hingga 12 Jun 2022 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Selepas penangguhannya pada bulan Februari lalu, sudah pasti ramai yang menantikan penganjuran pesta buku terbesar negara ini. Menampilkan lebih daripada 100 pempamer yang terdiri daripada penerbit, pengedar dan kedai buku dari dalam dan luar negara, PBAKL menjadi syurga dunia bagi pencinta buku.

Kali terakhir PBAKL diadakan secara fizikal pada tahun 2019 telah merekodkan kehadiran pengunjung sebanyak satu juta. Walaupun ia gagal mencapai sasaran 1.5 juta pengunjung namun nilai jualan buku pada tahun tersebut telah meningkat. PBAKL merupakan acara tahunan yang menjadi tumpuan semenjak awal penganjurannya.

Penularan Covid-19 di dalam dan di luar negara telah memaksa penganjuran PBAKL 2020 ditangguhkan. Walaupun pesta buku secara dalam talian dijalankan sebagai inisiatif bagi menggantikan pesta buku secara fizikal namun masih wujud kelompongan. Kemeriahan pesta buku secara fizikal jelas lebih terasa.

Kini, pempamer daripada pelbagai penerbitan sudah boleh menarik nafas lega, pencinta buku sudah boleh bersorak gembira. 3 hingga 12 Jun 2022 menjadi tarikh keramat. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku daripada pelbagai syarikat penerbitan dengan tawaran-tawaran istimewa yang disediakan.

Dalam keterujaan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga. Meskipun kerajaan telah melonggarkan SOP namun kita masih terdedah dengan jangkitan Covid-19 yang masih aktif dalam komuniti. Selamat menikmati kemeriahan PBAKL 2022! Jumpa di sana!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024