Artikel

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 Melabuhkan Tirai

oleh Farah Liana Nordin pada 16 Jun 2022

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah aturannya. Setelah 10 hari berkampung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sepanjang 3 hingga 12 Jun 2022, para pempamer beransur pulang meninggalkan seribu satu kenangan di dewan yang tersergam indah. Kepulangan kali ini penuh dengan kebahagiaan dan kesyukuran. Rata-rata pempamer menyatakan bahawa jualan PBAKL kali ke-39 ini mencatatkan jumlah yang terbaik semenjak penganjurannya. Ini dijelaskan sendiri oleh Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron dalam ucapannya semasa Majlis Penutup PBAKL 2022 baru-baru ini.

Penganjuran PBAKL kali ini telah berjaya menarik lebih 1.3 juta pengunjung setelah dua tahun penangguhannya. Jumlah ini telah melepasi sasaran awal yang diletakkan oleh pihak penganjur. Selain kekuatan PBAKL itu sendiri, penganjurannya semasa cuti persekolahan juga dilihat menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung. Ibu bapa menjadikan PBAKL itu sendiri sebagai salah satu destinasi percutian bagi mengisi masa luang yang ada sekaligus memupuk minat membaca dalam diri anak-anak.

Meskipun penganjuran PBAKL ini diadakan sewaktu musim cuti persekolahan namun terdapat berbondong-bondong rombongan bas sekolah yang hadir ke WTCKL sempena PBAKL kali ini. Ada yang hadir dari utara seperti negeri Kedah. Nun yang jauh dari selatan, negeri Johor juga tidak ketinggalan. Masing-masing tidak melepaskan peluang berkumpul bagi sama-sama meraikan pesta buku yang mengumpulkan lebih daripada 100 pempamer di bawah satu bumbung yang sama.

Saban tahun, penganjuran PBAKL menjadi tumpuan para pencinta buku kerana selain mendapat tawaran harga istimewa yang diberikan oleh para pempamer, mereka juga berpeluang untuk bertemu secara empat mata dengan barisan penulis buku. PBAKL juga menjadi medan bagi para penerbit berkumpul dan bertukar buah fikiran dalam memperkasakan lagi industri perbukuan.

Kejayaan PBAKL kali ini membuktikan bahawa industri perbukuan masih tetap berdiri kukuh meskipun sedikit goyah dek pandemik yang melanda dunia baru-baru ini malah ia menjadi batu loncatan bagi rumah penerbitan dalam menyusun strategi untuk mengatasi kesan negatif daripada pandemik yang melanda.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024