Artikel

Nostalgia Hari Raya

oleh Farah Liana Nordin pada 02 May 2022

Keterujaan menyambut Syawal kali ini berganda setelah dua tahun kita tidak dapat menyambutnya seperti kebiasaan tahun-tahun sebelumnya. Memasuki fasa peralihan endemik membolehkan kita kembali menyambut perayaan ini dengan meriah. Ditambah pula dengan kelonggaran SOP yang sedia ada. Berduyun-duyun kereta bergerak meninggalkan kota untuk pulang ke kampung halaman tercinta.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu menyaksikan sempadan negara dan negeri ditutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat sekali gus menghalang orang ramai untuk pulang ke kampung halaman. Dalam tempoh itu, sudah pasti nostalgia sambutan perayaan bermain-main dalam ingatan. Manakan tidaknya. Itulah masanya sanak saudara berkumpul dan pelbagai aktiviti dilakukan bersama.

Juadah hari raya menjadi tumpuan setiap kali Syawal tiba. Pelbagai jenis makanan yang cukup sinonim dengan perayaan ini seperti ketupat, lemang, rendang, dodol dan banyak lagi. Bertambah meriah apabila ia disediakan bersama. Semua ahli keluarga bergotong-royong menyiapkannya. Anak kecil pula berkejaran di pekarangan rumah bermain bunga api. Kemeriahan bertambah dengan tradisi kunjung-mengunjung. Sungguh meriah dan menggamit memori.

Bagi mengubati kekecewaan ‘sambutan yang tertangguh’, orang ramai mengambil peluang sambutan Syawal kali ini untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambutnya bersama keluarga tercinta. Kenderaan sama ada yang kecil mahupun yang besar memenuhi jalan raya. Ini barulah raya! Keterujaan mengatasi rasa letih yang ada. Tidak mengapa menempuh perjalanan yang jauh dan panjang asalkan lepas rindu pada kampung halaman.

Dalam menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman, sudah pasti akan berlaku kesesakan dengan pertambahan bilangan kenderaan. Jadi, pastikan anda bawa bersama buku bacaan untuk mengisi masa lapang yang ada. Bagi yang tiada, jangan khuatir kerana anda boleh dapatkan buku-buku keluaran PTS juga dari syarikat penerbitan lain di kedai-kedai buku berhampiran. Salam Aidilfitri daripada kami di PTS Media Group. Sama-sama kita menyambut kemeriahan Syawal dengan memanfaatkan setiap saat yang kita ada.

Selamat hari raya!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024