Artikel
Bahasa Inggeris tidak hilangkan identiti bangsa
oleh Helmi pada 20 Jul 2005
Tidak dapat dinafikan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan remaja amat rendah dan membimbangkan jika kita ingin bersama mengikuti arus pembangunan global ICT.
Sokongan saya tidak berbelah bagi mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi pada zaman menguasai bahasa kedua adalah fenomena global, maka penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris amat penting untuk mencari pekerjaan, perhubungan antarabangsa, diplomasi dan perdagangan.
Kita tidak boleh menganggap pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris sebagai ancaman kepada budaya atau identiti kebangsaan.
Jika kita tidak mampu berkomunikasi pada peringkat antarabangsa ataupun tersekat daripada mendapatkan ilmu serta maklumat disebabkan kelemahan menguasai bahasa berkenaan, kemampuan kita untuk mempengaruhi dunia dan mendapatkan peluang perniagaan juga akan terjejas.
Menguasai bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang kurang identiti Melayu, Cina, India atau Malaysia.
Penguasaan bahasa Inggeris adalah persediaan kita secara individu dan kolektif sebagai negara untuk mencari tempat dalam ekonomi global.
Mempromosikan bahasa Inggeris tidak menjejaskan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi serta penggunaannya dalam apa cara pun.
Meningkatkan mutu bahasa Inggeris tidak mengurangkan kepentingan bahasa kebangsaan kerana menguasai dua atau tiga bahasa adalah keperluan untuk kecekapan sosial dan profesional dalam dunia moden.
Wakil rakyat juga harus menjadi teladan kepada generasi muda kita untuk menguasai bahasa Inggeris selain bahasa kebangsaan.
TAN SRI LEE LAM THYE
Taman Maluri, Kuala Lumpur.