Artikel
Siapa Menarik? Siapa Berpengaruh?
oleh Helmi pada 20 Jul 2005
Setiap orang mempunyai daya tarikan dan daya pengaruh, kecuali segelintir individu yang amat malang. Bagi menjadi orang yang mempunyai daya pengaruh tinggi, seseorang itu perlu meningkatkan lagi daya tarikan yang sedia dimilikinya.
Apabila kita tertarik kepada seseorang itu, maka kita mudah terpengaruh oleh kata-katanya dan tingkah lakunya. Kita mudah menerima kata-katanya sebagai benar, dan kita mungkin mencontohi tingkah lakunya.
Daya tarikan adalah faktor yang penting peranannya dalam daya pengaruh. Apabila pada anggapan kita seseorang itu menarik, kita akan nampak sifat-sifatnya yang menarik. Begitu juga, apabila pada anggapan kita orang itu tidak menarik, kita akan nampak sifat-sifatnya yang tidak menarik.
Orang-orang yang kita anggap menarik juga kita anggap orang-orang yang berkebolehan. Orang-orang yang kita anggap mahir berkomunikasi juga kita anggap orang yang menarik, terutama sekali apabila orang-orang itu bekerjasama dengan kita dalam tugas-tugas sosial dan fizikal.
Seseorang yang memiliki daya tarikan yang tinggi dengan sendirinya mempunyai daya pengaruh yang tinggi kepada mereka yang tertarik kepadanya. Itulah sebabnya, langkah pertama meningkatkan daya pengaruh adalah dengan menjadikan diri anda seorang yang menarik di mata orang-orang yang hendak anda pengaruhi. Ingatlah, kita tidak terpengaruh oleh orang-orang yang tidak kita sukai. Kita juga tidak dapat mempengaruhi orang-orang yang tidak menyukai kita.
Ada kalanya seseorang itu tertarik kepada sesetengah orang, tetapi tidak tertarik kepada sesetengah orang lain. Ada pula beberapa orang yang sangat menarik minat kita, begitu juga sebaliknya. Kita tidak tertarik kepada orang lain tanpa sebab, dan kita tidak membenci orang lain tanpa sebab.
Pakar-pakar psikologi mengenal pasti ada tiga faktor utama yang mempengaruhi perasaan kita terhadap orang-orang lain.
1. Keelokan rupa paras dan keelokan peribadi
Manusia mudah tertarik kepada manusia lain disebabkan oleh dua faktor.
(a) Rupa paras yang tampan ataupun jelita.
Lebih tampan ataupun lebih cantik seseorang itu, lebih mudah kita tertarik kepadanya. Lebih hodoh penampilan seseorang itu, maka lebih sukar kita hendak tertarik kepadanya. Ini bermakna kita perlu menampilkan diri kita sebagai seorang yang dari sudut fizikal sekalipun, tidak dilihat sebagai orang yang tidak menguruskan tubuh badan kita dengan baik. Inilah faktor yang menyebabkan jurujual-jurujual profesional sentiasa tampil dengan gaya berpakaian yang kemas dan segak.
Kajian yang pernah dijalankan di Nigeria, Bulgaria, Indonesia, German dan Amerika mengesahkan apa yang selalu didengar iaitu, lelaki lebih mementingkan rupa paras pasangan mereka dibandingkan dengan perempuan. Faktor ketampanan bukan faktor utama yang menyebabkan perempuan tertarik kepada lelaki. Perempuan lebih tertarik kepada kedudukan ekonomi lelaki, itulah sebabnya lelaki-lelaki tua yang kaya-raya tidak menghadapi masalah mendapatkan pasangan perempuan yang jauh lebih muda daripada usia mereka. Ketampanan ataupun kecantikan jenis ini disebut ketampanan ataupun kejelitaan fizikal.
(b) Ciri-ciri peribadi orang itu, walaupun rupa parasnya kurang elok.
Daya tarikan jenis ini disebut juga dengan istilah ketampanan ataupun kejelitaan sosial. Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu dipandang menarik walaupun tidak tampan ataupun cantik adalah personaliti, pendidikan, profesion dan keturunan. Jadi sebagai contoh, Tuan Guru Nik Aziz, walaupun beliau sudah tua dan bertubuh kecil serta tidak mengenakan pakaian gaya Barat, beliau tetap mempunyai daya pengaruh yang sangat tinggi disebabkan faktor-faktor mulia yang ada pada personaliti beliau. Begitu juga dengan Mahatma Ghandi ataupun Khomeini.
2. Kehampiran
Kehampiran bermakna sama ada orang-orang itu ada di sekeliling ataupun tidak. Kajian mendapati orang-orang yang kita anggap menarik adalah orang-orang yang berada tidak jauh daripada persekitaran kita. Mereka adalah orang-orang yang selalu berinteraksi dengan kita. Mengapakah orang-orang yang dekat dengan kita akan kita anggap menarik?
(a) Kita mempunyai pengharapan positif terhadap orang-orang yang berada di sekeliling kita, sebagai contoh rakan-rakan sekerja kita ataupun jiran-jiran kita. Pengharapan positif termasuklah kita mengharapkan mereka dapat menjadi sahabat kita yang dapat menolong kita apabila kita mengalami masalah. Kita menjadikan pengharapan itu suatu kenyataan dengan cara kita sendiri bersikap positif kepada orang-orang itu, suatu tingkah laku yang akhirnya menyebabkan timbul minat kita terhadap mereka. Jarak yang dekat juga menyebabkan kita dapat mengenali mereka dengan lebih rapat dan lebih baik. Kita menjadi suka kepada orang-orang yang kita kenali kerana kita dapat meramalkan tingkah laku mereka dengan lebih tepat. Oleh kerana itu kita tidak takut, syak, curiga ataupun sangsi terhadap mereka.
Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa hanya dengan sering melihat seseorang itu sudah boleh membuat kita suka dan tertarik kepada mereka. Di dalam suatu eksperimen, sekumpulan wanita diberitahu kononnya mereka akan ikut serta di dalam suatu ujian cita rasa. Sepanjang ujian itu mereka dapat melihat orang-orang lain; ada yang mereka lihat sebanyak sepuluh kali, ada yang lima kali, ada yang dua kali, ada yang satu kali dan ada yang mereka tidak lihat langsung. Setelah itu, mereka diminta melaporkan siapakah di antara orang-orang itu yang mereka anggap paling menarik. Hasilnya, mereka mengatakan orang-orang yang mereka lihat sepuluh kali adalah paling menarik, diikuti oleh mereka yang dilihat lima kali, diikuti oleh mereka yang dilihat dua kali dan seterusnya. Nampaknya, kalau interaksi pertama adalah positif ataupun neutral, semakin kerap kita dapat melihat orang itu, semakin kita tertarik kepadanya. Tetapi, jikalau interaksi awal itu negatif, semakin kerap kita melihat orang itu, kita semakin benci kepadanya.
3. Keserupaan
Keserupaan adalah sejauh mana orang-orang itu serupa dengan diri individu sendiri.
Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa kita tertarik kepada orang-orang yang serupa dengan dirinya sendiri. Mengapakah ini berlaku? Menurut pakar-pakar psikologi, kita tertarik dengan orang-orang yang mirip diri kita sendiri kerana dengan itu kita dapat mengesahkan bahawa kita layak disukai oleh orang-orang lain. Ciri-ciri keserupaan termasuklah bangsa, bakat, minat, kepintaran, sikap, nilai, rupa paras dan lain-lain.
Di antara ciri-ciri keserupaan itu, ciri yang paling penting adalah sikap. Menurut para pengkaji, orang-orang yang serupa sikapnya, makin lama makin saling suka menyukai antara satu sama lain. Begitu juga sebaliknya, orang-orang yang berbeza sikapnya, makin lama mereka makin kurang menyukai satu sama lain. Kajian juga menunjukkan, persamaan sikap mempunyai kaitan rapat dengan kebahagiaan perkahwinan.
Kita lebih tertarik kepada orang-orang yang sikapnya serupa dengan sikapnya sendiri, iaitu orang-orang yang suka apa yang kita suka dan benci apa yang kita benci. Kajian-kajian menunjukkan bahawa, pasangan-pasangan yang berbeza sikapnya, lebih cenderung berpisah dibandingkan dengan pasangan-pasangan yang serupa sikapnya. Orang-orang yang serupa daya intelektualnya mempunyai banyak persamaan dari segi bagaimana mereka melihat alam dan kehidupan, oleh itu semakinlah mereka tertarik antara satu sama lain. Jadi, pendapat orang ramai yang mengatakan pipit sama pipit, enggang sama enggang ataupun burung sebulu terbang sama memang ada banyak betulnya.
Walau bagaimanapun, ada juga orang-orang yang berpendapat bahawa manusia tertarik kepada pasangan yang berlawanan. Pendapat ini adalah berdasarkan prinsip saling memperkukuh. Sebagai contoh, orang yang pemarah tertarik kepada orang yang penyabar. Hasil-hasil kajian menunjukkan bahawa kita hanya tertarik kepada lawan kita dalam keadaan tertentu sahaja, bukan dalam semua keadaan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang pak turut ataupun submisif mungkin suka kepada guru yang kuku besi ataupun agresif. Tetapi, pelajar itu nanti, apabila dia mencari isteri, dia mungkin tidak suka kepada perempuan yang agresif.
Ada kalanya, kita berjumpa dengan pasangan yang rupa paras mereka sangat jauh berbeza. Yang satu memiliki rupa paras yang sangat menarik dan yang satu lagi tidak. Di dalam kes-kes seperti ini, yang cantik itu mencari ciri-ciri lain yang dapat memampas kekurangan pada rupa paras pasangannya. Sebagai contoh mereka mungkin tertarik kepada wang, pangkat, kuasa, status, kecerdasan otak dan lain-lain yang ada pada orang itu.
Salah satu faktor yang membuat kita tertarik dan suka kepada orang lain adalah apabila pada pandangan kita orang itu suka dan tertarik kekepadanya. Gejala ini disebut tarikan terpersepsi di mana, mungkin hanya persepsi kita yang mengatakan dia tertarik kepadanya. Kalau dia tertarik kepada kita, tetapi persepsi kita mengatakan dia tidak tertarik, maka kita belum tentu suka kepadanya.
Apabila seseorang itu suka dan tertarik kepada seseorang, dan persepsi kita pun menyangka dia juga suka dan tertarik kepada kita, maka kita akan tambah tertarik kepadanya. Seseorang itu akan nampak seolah-olah dia lebih cantik, dan dia lebih baik daripada yang sebenarnya.
Apabila seseorang itu tertarik kepada seseorang, tetapi orang itu tidak membalas perasaan kita, lama-lama tarikan kita itu jadi lemah dan hilang sama sekali. Menurut mereka, faktor yang membuat kita lebih tertarik kepada orang-orang yang tertarik kepada kita adalah kerana keadaan begitu memenuhi keperluan jiwanya sendiri. Apabila orang lain suka kepada kita, hal itu menaikkan setakdir kita, dan setakdir adalah keperluan jiwa yang sangat mendalam. Orang-orang yang suka dan tertarik kepada kita juga membuat kita berasa diri kita berharga di sisi orang-orang lain. Perasaan begitu juga sangat memenuhi keperluan jiwanya. Lagipun, perasaan suka dan tertarik, memang selalunya mendorong kita bersikap Budi baik, dibalas baik di mana kita terdorong membalas perasaan orang itu dengan caranya sendiri memberikan perasaan yang serupa terhadapnya.
Kita hanya dapat mempengaruhi dan terus menerus mempengaruhi orang-orang yang menaruh kepercayaan baik kepada diri mahupun kata-kata kita. Ada kalanya walaupun orang itu menyukai kita tetapi dia tidak mempercayai kata-kata kita. Barangkali dia menyukai diri kita disebabkan kita seorang yang suka membantu orang, pemurah, ataupun pandai bergurau. Tetapi dia mungkin tidak menaruh kepercayaan kepada sejauh mana kita jujur dan ikhlas dengan kata-kata kita. Dia juga mungkin tidak percaya kepada kita kerana kita tidak memiliki pengetahuan, kepakaran ataupun pengalaman dalam perkara-perkara yang kita perkatakan.
Strategi Meningkatkan Daya Tarikan
Tiga faktor utama yang menyebabkan orang tertarik kepada kita adalah, penampilan yang menarik, dekat, dan serupa. Selain daripada itu, perkara-perkara yang kita buat, dan kata-kata yang kita ucapkan juga menyebabkan diri kita disukai orang.
Ada beberapa strategi yang apabila seseorang itu amalkan, orang-orang di sekeliling kita akan tertarik dan suka kepada kita.
1. Suka menolong orang lain, iaitu ringan tulang.
2. Apabila bercakap, tunjukkan bahawa kita seorang yang ikhlas, jujur dan berhati bersih melalui kata-katanya.
3. Sanggup mendengar apabila orang lain bercakap, iaitu tidak berebut-rebut giliran bercakap, pandai diam, dan sedia mem-beri peluang orang lain bercakap sampai puas.
4. Apabila bercakap, kita pandai menggunakan teknik-teknik yang betul bagi memuji dan memberi pengiktirafan kepada orang lain.
5. Mempunyai ciri-ciri peribadi dan otak yang menarik minat orang-orang lain terhadap diri kita dan terhadap apa yang ada dalam kepalanya. Ertinya, kita mempunyai pengetahuan yang diminati oleh orang-orang lain.
6. Apabila berbual, kita berbual secara positif, dan kita pandai menggunakan stail perbualan yang kooperatif. Ertinya, kita tidak suka bertentangan pendapat dengan orang-orang lain. Seseorang itu juga tidak gemar membuktikan orang lain salah ataupun bodoh.
7. Tunjukkan kita seorang yang banyak tenaga, selalu ghairah, aktif dan bersemangat; bukan lembap, lambat, malas dan berat.
8. Apabila berbual-bual, kita pandai menunjukkan bahawa kita berminat kepada orang lain, bukan berminat dengan diri sendiri sahaja. Jangan banyak bercakap berkenaan diri sendiri, kerana ia sangat membosankan orang yang men-dengar. Jangan gunakan perkataan Saya, saya, saya….
9. Tunjukkan bahawa sikap dan nilai-nilai peribadi kita adalah serupa dengan sikap dan nilai-nilai orang lain.
10. Apabila bercakap, tunjukkan sikap kita yang suka menyokong dan mendukung orang-orang lain.
11. Tunjukkan bahawa kita adalah orang yang bersikap positif dan optimistik. Jangan suka merungut-rungut, jangan banyak komplen, jangan suka mengkritik dan mengata orang.
12. Pandai membuat sebarang sesi pergaulan dan perbualan menjadi sesi yang menyeronokkan orang lain, bukan menyeronokkan diri sendiri.
13. Apabila bercakap, kita pandai mencipta perasaan mesra dan penuh timbang rasa kepada orang lain.
14. Kita pandai menunjukkan bahawa antara kita dan orang-orang yang kita gauli adalah sama taraf dan banyak persamaan.
15. Kita pandai membuat orang-orang lain berasa seolah-olah mereka sangat rapat dengannya, walaupun sebenarnya tidak.
16. Apabila berbual-bual kita pandai membuat orang lain seronok dengan diri mereka sendiri.
17. Kita pandai menunjukkan gaya bahawa kita adalah seorang yang pandai mengurus dan menjaga dirinya sendiri.
18. Kita pandai berkelakuan yang menunjukkan bahawa kita seronok dan selesa berada bersama-sama mereka
19. Kita suka membawa orang-orang lain ikut serta terlibat dan menyumbang dalam aktiviti-aktivitinya.
20. Kita pandai mencari peluang berjumpa dan berinteraksi dengan orang-orang lain.