Artikel

Bahasa Melayu : Bahasa Abad Ke 21.

oleh Helmi pada 11 May 2004

Pendahuluan

            Izinkan saya memulakan syarahan ini dengan serangkap pantun:

 

Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

Maju bangsa kerana bahasa.

 

            Saya tidak jemu-jemu mengagumi kebijaksanaan fikiran nenek moyang  kita dahulu, yang mengungkapkan, dengan begitu sempurna, buah fikiran dan perasaan melalui bentuk pantun. Namun kebijaksanaan maksud pantun yang baru saya lafazkan sekejap tadi kadang-kadang terlupa oleh orang-orang pada zaman ini, kerana mereka terlalu sibuk mengejar kebahagiaan, yang nampaknya seperti laut tiada bertepi.

            Untuk tajuk syarahan pada pagi ini, saya telah memilih untuk membincangkan persoalan yang dekat dengan hati kita semua, iaitu bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara kita. Dalam konteks pergolakan bahasa yang sedang berlaku pada masa ini, banyak orang tertanya-tanya tentang kedudukan bahasa Melayu kini dan pada masa akan datang. Syarahan ini akan membuat tinjauan sepintas lalu untuk cuba mencari jawapan kepada persoalan yang sedang kita hadapi ini.

            Bagi saya, persoalan pokok ialah: Apakah peranan bahasa Melayu dalam abad ke-21, dalam konteks yang berikut:

 

a)                  abad ke-21 ialah abad globalisasi

b)                 abad ke-21 ialah abad kemajuan sains dan teknologi

c)                  abad ke-21 ialah abad kejayaan teknologi maklumat

Izinkan saya mambuat sedikit kupasan tentang tiga perkara ini.

Abad Globalisasi

            Abad globalisasi bermaksud zaman dunia menjadi semakin kecil dan perhubungan kita dengan dunia antarabangsa menjadi lebih kerap. Bidang perniagaan kita tidak lagi terhad kepada sempadan negara kita tetapi telah menjangkau jauh ke dunia yang lebih luas. Hubungan diplomatik kita luas tersebar dan kita, sebagai warga dunia, dihormati dan disegani. Sarjana-sarjana kita membentang kertas kerja dan hasil penyelidikan di persidangan-persidangan antarabangsa dan wakil-wakil kita menduduki pelbagai sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

            Dalam semua perhubungan ini, bahasa antarabangsa perlu. Di dunia ini terdapat pelbagai bahasa antarabangsa, misalnya bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Perancis dan bahasa Jerman. Bagi negara kita, oleh sebab faktor sejarah, kita lebih biasa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Abad Kemajuan Sains dan Teknologi

            Sejak abad ke-20 lagi, bidang sains dan teknologi telah mendasari kemajuan semua bangsa. Demikianlah juga negara kita. Melalui ilmu sains, kita telah berjaya dalam proses pembangunan negara. Wawasan 2020, resepi kita untuk mencapai taraf kejayaan, dikonsepsikan atas kejayaan proses perindustrian yang berdasarkan kemajuan sains dan teknologi. Semua ini tercapai kerana kita mempunyai taraf ilmu yang baik, dan ilmu ini diperoleh melalui sumber yang ditulis dalam bahasa antarabangsa. Implikasinya, untuk menimba ilmu pengetahuan dari luar, kita mesti menggunakan satu bahasa antarabangsa. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa antarabangsa itu ialah bahasa Inggeris.

Abad Kejayaan Teknologi Maklumat

            Pada masa ini, satu gejala yang amat mempengaruhi dunia kita ialah teknologi maklumat. Dalam mencari ilmu, dalam dunia perniagaan, malah dalam apa jua bidang sekalipun, pengetahuan tentang teknologi maklumat amat penting. Sesiapa yang di bawah umur 30 tahun yang tidak tahu menggunakan dan mengambil manfaat daripada teknologi maklumat, dianggap sudah ketinggalan zaman.

            Gejala teknologi maklumat ini ciptaan dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat. Oleh itu, bahasanya ialah bahasa utama negara tersebut, iaitu bahasa Inggeris. Segala alat dan perkakasan menggunakan bahasa itu. Kita yang ingin memasuki dunia ini terpaksalah menguasai bahasa tersebut, sama ada untuk membaca bahan yang disediakan, melayari laman web, atau mengambil bahagian dalam dunia internet dan e-mel.

            Kesimpulannya, dalam senarai ringkas yang dinyatakan tadi, kelihatan bahawa peranan bahasa Inggeris amat penting dalam abad ke-21 ini. Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan bahasa sains dan teknologi, terutama dalam bidang teknologi maklumat.

            Sekarang marilah kita mengulangi persoalan yang saya timbulkan sebentar tadi, iaitu dengan peranan yang begitu penting dimainkan oleh bahasa Inggeris dalam konteks abad ke-21 ini, masih adakah ruang untuk bahasa Melayu memainkan peranan? Apakah, setelah berjuang bermati-matian pada waktu mula-mula memperoleh kemerdekaan, untuk meyakinkan rakyat jelata bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa kebangsaan negara kita yang berdaulat, dan seterusnya sepanjang lebih kurang 30 tahun berusaha menjadikannya bahasa ilmu melalui penggunaannya sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian, abad ke-21 menjadi abad untuk mengebumikan bahasa tersebut?

            Jawapan kepada soalan itu sudah tentu “tidak”, kerana masih terdapat peranan penting yang perlu dimainkan oleh bahasa Melayu. Sesiapa yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai tempat dalam negara ini dalam abad ke-21 sebenarnya tidak cinta kepada Malaysia dan tidak mempunyai jati diri kemalaysiaan. Izinkan saya mengupas persoalan ini seterusnya.

Peranan Bahasa Inggeris

            Satu hakikat yang tidak dinafikan oleh sesiapa pun ialah bahawa bahasa Inggeris itu penting. Seperti yang telah dijelaskan, kepentingan itu terbit daripada gejala globalisasi dan hakikat bahawa kemajuan sains dan teknologi yang mendasari segala kemajuan pada masa ini boleh dicapai melalui bahasa Inggeris. Jika negara kita tidak mahu ketinggalan dari segi kemajuan kebendaan, maka kita hendaklah menguasai bahasa Inggeris, kerana bahasa itu ialah bahasa bagi menimba ilmu. Maka itulah sebabnya kita digesa mempelajari bahasa Inggeris dengan baik.

            Itulah perspektif yang perlu dipegang terhadap kedudukan bahasa Inggeris di negara ini. Bahasa itu perlu dipelajari kerana fungsinya sebagai wahana atau saluran ilmu pengetahuan dan kerana perhubungan dengan dunia luar. Bahasa itu sekali-kali tidak akan menjadi bahasa kebangsaan negara kita kerana itu bukan bahasa kebangsaan kita, dan bahasa itu telahpun menjadi bahasa kebangsaan di negara-negara yang penutur utamanya penutur asli bahasa Inggeris, seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand.

Peranan Bahasa Melayu

            Apakah pula peranan bahasa Melayu dalam abad ke-21? Inilah persoalan yang menjadi tumpuan syarahan ini seterusnya.

            Pertama, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara. Kecuali kita meminda Perlembagaan kita, kedudukan bahasa kebangsaan kita amat teguh. Sewaktu kita memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, kita telah membuat pilihan yang amat bijak, iaitu menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

            Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi? Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, misalnya bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Inggeris di United Kingdom, bahasa Perancis di negara Perancis, bahasa Jepun di Jepun dan bahasa Jerman di Jerman. Lazimnya, terutama di negara-negara yang baru memperoleh kemerdekaan daripada penjajah, hakikat ini, yakni status dan kedudukan bahasa kebangsaan, termaktub dalam Perlembagaan negara berkenaan.

            Bahasa rasmi pula ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan rasmi, seperti dalam ucapan rasmi dan surat-menyurat. Biasanya bahasa kebangsaan sesebuah negara juga berfungsi sebagai bahasa rasmi, seperti di negara-negara yang baru disebut tadi. Tetapi adakala juga keadaannya tidak demikian. Di Singapura, misalnya, walaupun bahasa kebangsaannya bahasa Melayu, tiga bahasa lain turut diisytiharkan bahasa rasmi, menjadikan jumlah bahasa rasminya empat, iaitu bahasa-bahasa Melayu, Inggeris Mandarin dan Tamil.

            Dalam konteks Malaysia, satu peranan penting yang dimainkan oleh bahasa Melayu ialah sebagai bahasa kebangsaan. Dengan adanya bahasa kebangsaan sendiri, negara kita berdiri megah sebagai sebuah negara berdaulat dan bermaruah. Pilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berasaskan fakta sejarah dan tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Bahasa Melayu  pada zaman lalu, terutama pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu  Melaka, merupakan sebuah bahasa yang tersebar luas, menjadi bahasa “lingua franca” bagi wilayah Asia Tenggara, bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa sastera, bahasa perniagaan, dan bahasa undang-undang. Pada awal abad ke-18, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda, Francois Valentijn, yang banyak menulis tentang wilayah kepulauan Melayu, telah membuat kenyataan berikut tentang bahasa Melayu pada masa itu:

Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga jikalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.

            Oleh itu, walau bagaimana pentingnya bahasa Inggeris, peranan bahasa kebangsaan di negara ini dalam abad ke-21 tetap dipikul oleh bahasa Melayu. Kecuali pucuk pimpinan kita hilang akal dan meminda Perlembagaan supaya bahasa Melayu digantikan oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan, maka kekallah bahasa Melayu dengan kedudukan yang penting ini.

            Mengapakah pentingnya sesebuah negara itu mempunyai bahasa kebangsaan? Mengapa tidak diterima sahaja bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa lain sebagai bahasa kebangsaan? Jawapannya terletak pada istilah “kebangsaan” itu. Bahasa kebangsaan ialah lambang jati diri negara dan kewarganegaraan, bukti tentang kedaulatannya yang membolehkan sesebuah negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara berdaulat yang lain. Apakah erti kemerdekaan jikalau kita masih mendaulatkan bahasa penjajah? Di manakah maruah bangsa jikalau kita masih dijajah dari segi bahasa? Itulah implikasi mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.

            Kedua, bahasa Melayu sekian lama telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik, dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia itu merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, universiti itu sahaja telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima ilmu dalam bahasa Melayu. Ratusan tesis dan disertasi pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran telah ditulis dalam bahasa Melayu, dan puluhan, malahan ratusan, profesor telah menyampaikan syarahan perdana mereka tentang pelbagai ilmu dalam bahasa Melayu. Semua ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja tetapi melibatkan semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai bahasa ilmu, bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

            Dalam konteks ini juga kita telah melahirkan ribuan pelajar, para pensyarah, dan para penyelidik yang fasih berbahasa Melayu, yang dapat mengungkapkan ilmu yang tinggi-tinggi dalam bahasa Melayu, di samping petah pula dalam bahasa Inggeris. Kita juga telah melahirkan para siswazah yang menerima pendidikan melalui bahasa Melayu yang telah memasuki dunia pekerjaan dan memegang pelbagai jenis jawatan, daripada guru dan pentadbir kepada eksekutif, usahawan, peguam, dan ahli politik.

            Bahkan, begitu berjaya sistem pendidikan kita dari segi penguasaan bahasa Melayu sehingga jika kita mendengar seseorang bercakap tanpa melihat mukanya, kita tidak dapat memastikan asal usul keturunannya. Bahkan, kadangkala, penguasaan bahasa Melayu pelajar-pelajar bukan Melayu lebih baik daripada pelajar-pelajar Melayu sendiri, yang dipengaruhi oleh ciri-ciri dialek dan bahasa basahan.

            Kesimpulannya, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden akan tetap kekal walaupun tidak dinafikan bahawa, di negara ini, bahasa Inggeris juga berfungsi sebagai bahasa untuk menimba ilmu. Keadaan ini tidak bercanggah kerana sudah menjadi dasar pendidikan kita untuk menghasilkan para pelajar yang dwibahasa sifatnya. Itulah sebabnya bahasa Inggeris telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran sejak tahun satu sekolah rendah. Seorang pelajar yang telah mengikuti sekolah rendah dan menengah melalui sistem pendidikan kebangsaan dijangka telah menerima pendidikan bahasa Inggeris selama 11 tahun dan sepatutnya telah menguasai bahasa tersebut dengan baik, yang akan membolehkannya membuat rujukan terhadap bahan-bahan yang ditulis dalam   bahasa Inggeris.

            Tetapi jikalau dia seorang ketua mekanik, misalnya, dan ingin menyampaikan ilmu membaiki jentera kepada pekerja-pekerja di bengkelnya, ilmu itu tidak mungkin disampaikan dalam bahasa Inggeris, melainkan dalam bahasa yang lazimnya digunakan dalam perhubungan sehari-hari. Demikian juga, seorang pegawai daripada Jabatan Pertanian yang ingin menyampaikan taklimat mengenai sistem perairan yang terkini yang baru dipelajarinya melalui satu kursus anjuran PBB di Manila, yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris, akan tetap menggunakan bahasa Melayu dalam taklimat itu, kerana pendengar- pendengarnya, yang merupakan petani biasa, lebih selesa berbahasa Melayu, dan sesungguhnya itulah bahasa yang paling sesuai untuk digunakan dalam konteks ini. Dalam konteks ini juga, kita mengandaikan pegawai pertanian yang berkelulusan ijazah itu boleh mengikuti kursus   dalam bahasa Inggeris di Manila dan menggunakan bahasa itu dalam perbincangan dengan para penyelidik atau golongan intelek. Dan untuk menyampaikan taklimat kepada petani, kita mengandaikan beliau mempunyai senarai istilah yang relevan atau pandai menghubungi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapatkan istilah berkenaan.

            Pendeknya, jelaslah bahawa bahasa Melayu tetap mempunyai peranan sebagai bahasa ilmu dalam dunia abad ke-21. Namun, ingin juga saya ingatkan tuan-tuan dan puan-puan sekalian bahawa kejayaan bahasa Melayu dalam tugas ini amat bergantung pada kesediaan para pengamal bahasa Melayu untuk menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu. Jikalau rasa megah terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak ada, dan jikalau semua pihak lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris (walau bagaimana buruk sekalipun bentuknya), maka lama-kelamaan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan berkurangan.

            Tetapi saya amat optimistik, kerana orang Melayu memang optimistik sifatnya. Pada saya, berdasarkan kejayaan bahasa Melayu dalam 30 tahun yang lalu, potensi yang ada bagi bahasa Melayu untuk kekal sebagai bahasa ilmu amat cerah.

            Ketiga, bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan antara rakyat jelata yang berlaku kerana bahasa itu dapat dipelajari dengan senang dan telah sekian lama menjadi “lingua franca” di kalangan penduduk kawasan ini. Rakyat jelata yang dimaksudkan di sini ialah masyarakat biasa, bukan golongan elit yang, oleh sebab sifat dwibahasa mereka, lebih selesa menggunakan bahasa campuran (Melayu-Inggeris). Selain golongan ini, dalam perbualan sehari-hari, perhubungan antara rakyat pelbagai kaum dan antara orang-orang Melayu biasanya dijalankan dalam bahasa Melayu. Pada hemat saya, tidak mungkin Pak Abu di kampung akan bercakap dalam bahasa Inggeris dengan isterinya, atau dengan jirannya yang sama-sama turun ke ladang, atau dengan Ah Chong penjual ikan atau Kandasamy yang menjual putu mayam. Demikian juga, ahli politik Melayu yang berkempen dalam pilihan raya akan tetap menggunakan bahasa Melayu, walaupun dia fasih berbahasa Inggeris.

            Dengan kata lain, dalam abad ke-21, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa perhubungan masyarakat biasa, yang jauh lebih besar jumlahnya berbanding dengan jumlah masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris atau campuran Inggeris-Melayu dalam perhubungan harian. Akhbar dan majalah dalam bahasa Melayu akan tetap laris. Siaran radio dan televisyen tetap ada dalam bahasa Melayu walaupun siaran dalam bahasa Inggeris juga dapat bertahan.

Bahasa Melayu dalam Abad ke-21

            Yang cuba dijelaskan dalam syarahan ini ialah hakikat bahawa, walaupun usaha untuk mendesak rakyat ini menguasai bahasa Inggeris amat pesat, termasuk menjadikan bahasa itu bahasa pengantar bagi mengajarkan mata pelajaran sains dan matematik, ini tidak bererti bahasa Melayu tidak lagi mempunyai peranan dalam abad ini. Telah dijelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa perhubungan rakyat jelata. Maka fungsi pembinaan jati diri akan tetap dimainkan oleh bahasa Melayu, kerana pembinaan jati diri mempunyai ikatan yang erat dengan emosi. Bahasa Inggeris dipelajari dalam suasana bilik darjah, atas kepentingan-kepentingan tertentu, khususnya untuk menimba maklumat dan mengungkapkan ilmu pengetahuan. Maka hubungan emosi tidak begitu ketara, kecuali tiba suatu ketika rakyat Malaysia tidak menggunakan bahasa lain selain bahasa Inggeris dalam semua aspek kehidupan mereka, lalu berkarya kreatif dan bermimpi pun dalam bahasa Inggeris. Sehingga tiba saat itu, bahasa Inggeris, bagi sebilangan besar rakyat Malaysia, dilihat dalam konteks utilitinya, iaitu dalam konteks kegunaannya dalam dunia sehari-hari.

            Yang menjadi penyalur budaya tempatan, terutama dalam kegiatan-kegiatan kreatif seperti bersastera dan berdrama, ialah bahasa Melayu. Dalam penggunaan bahasa sebegini, hubungan bahasa dengan emosi amat erat. Wujud ikatan yang berasaskan kemesraan yang dijalinkan dengan pengalaman yang amat bererti dalam konteks persekitaran tempatan.

            Berhubungan dengan itu, jikalau kita, yang sangat cinta akan bahasa Melayu, ingin menentukan bahasa ini kekal sebagai bahasa asas pembinaan jati diri bangsa, maka peranan yang harus kita mainkan ialah sebagai penggerak bahasa. Kita rakyat Malaysia harus terus-menerus menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan sehari-hari, tetapi lebih-lebih lagi, sebagai saluran untuk mengungkapkan unsur-unsur budaya dan segala yang dekat dengan hati dan emosi. Dengan demikian, jalinan emosi kita dengan bahasa kita akan menjadi amat erat.

            Yang dimaksudkan ialah kita hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan kita dalam situasi pembinaan keperibadian diri dan keperibadian bangsa. Bahasa kebangsaan kita hendaklah menjadi saluran pengucapan yang indah-indah, seperti dalam sastera, dan juga dalam pengungkapan buah fikiran yang tinggi-tinggi, seperti dalam pengungkapan ilmu pengetahuan. Kita hendaklah mengeksploitasi sebanyak mungkin kecanggihan bahasa kita menjadikannya bahasa yang sesuai digunakan dalam abad ke-21, dalam semua situasi.

            Tidak ada masyarakat yang statik. Semua masyarakat bersifat dinamik. Salah satu aspek kedinamikan ini dicapai melalui perkembangan bahasa yang mencerminkan perkembangan yang berlaku dalam masyarakat. Maka itu, satu lagi peranan yang boleh dimainkan oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21 ialah sebagai pemangkin proses pembinaan tamadun masyarakat Malaysia. Tanpa menafikan peranan bahasa Inggeris, pembinaan bentuk masyarakat Malaysia abad ke-21 boleh dicorakkan oleh bahasa Melayu, iaitu berdasarkan pendapat yang mengatakan kita hendaklah maju dan berkembang mengikut acuan sendiri.

Penutup

            Sebagai penutup, saya harap persoalan yang dikemukakan pada awal syarahan ini sudah terjawab. Di sebalik penekanan terhadap bahasa Inggeris, bahasa Melayu mempunyai peranan yang amat penting dalam konteks abad ke-21. Saya selalu mengatakan bahawa dalam melihat hubungan antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris di negara kita, pendekatan yang patut diambil bukanlah yang berbentuk menang-kalah, iaitu mementingkan bahasa Inggeris bererti meminggirkan bahasa Melayu atau mementingkan bahasa Melayu bererti penolakan bahasa Inggeris. Sikap yang lebih praktikal dan lebih sihat ialah pendirian menang-menang, yang membawa erti mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak mengabaikan bahasa Inggeris.

Tuan-tuan-dan puan-puan

            Izinkan saya mengakhiri syarahan ini dengan meminjam kata-kata daripada nenek moyang kita.

Umpama berjalan dah sampai ke batas

Umpama berkayuh dah tiba ke pulau

Umpama memanjat dah sampai ke pucuk

Itulah ucapan hati saya

Itulah luahan hati saya

Untuk tatapan dan pertimbangan semua

Entah saya salah sapa

Entah tikar salah bentang

Entah sirih salah sorong

Entah duduk salah tempat

Sambutlah sembah dan salam

Sembah nan minta maaf

Salam nan minta ampun

 

Wassalam.

Pinggir Taman Tun Dr. Ismail

Kuala Lumpur

Julai 2002

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024