Artikel

Politik Melayu Dan Martabat Bahasa Melayu

oleh Helmi pada 11 May 2004

 

KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU KE-VI

 

Dewan Tun Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan

5 September 2002

 

 

Politik Melayu Dan Martabat Bahasa Melayu

 

Prof. Dato’ Zainal Abidin bin Abdul Wahid

Petaling Jaya

Kumpulan Prehatin: 03-78761989

                       

 

Malaysia ialah sebuah negara yang penduduknya berbilang keturunan. Bangsa Melayu diiktiraf sebagai peribumi. Semasa Suruhanjaya Perlembagaan Reid menjalankan tugasnya (1956-1957) untuk mendapatkan pandangan dan seterusnya menggubal sebuah perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu (PTM) yang merdeka, Perikatan iaitu gabungan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan China Tanah Melayu (MCA) dan Kongres India Tanah Melayu (MIC) telah mengemukakan satu memorandum yang telah dipersetujui oleh perikatan (UMNO-MCA-MIC). Antara lain Memorandum Perikatan menyatakan,

 

“…Kami mengakui bahawasanya orang-orang Melayu itu ialah anak

watan yang asli dan bahawa mereka itu mempunyai kedudukan yang

khasterbit daripada keadaan yang tersebut, dan juga dengan kuatkuasa

treaty yang telah dibuat di antara Kerajaan British dengan negeri-negeri

Melayu yang berdaulat.”

 

Selain daripada itu, bahasa Melayu, Agama Islam, Sistem Kesultanan dan adat resan Melayu adalah kesinambungan sejarah setidak-tidaknya daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Inilah satu-satunya asas kebumiputeraan Melayu.

 

Kedatangan penduduk berketurunan Cina dan India bermula secara besar-besaran pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Jadi, soal memartabatkan bahasa Melayu di semenanjung Tanah Melayuatau Semenanjung Malaysia bukanlah hendak mewujudkan sesuatu yang baru. Bahasa Melayu memang sudah menjadi bahasa antarabangsa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka (KMM) lagi.

 

Sepatutnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tida perlu dipersoalkan lagi. Malahan kedudukannya sebagai bahasa ilmu pun sudah diiktiraf oleh banyak negara di dunia. Lulusan ijazah pertama dari UKM memang diketahui oleh universiti di Barat yang mereka ini telah mendapat pendidikan dalam bahasa Melayu. Soal bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tidak menjadi masalah kepada mereka. Pelajar-pelajar kita pula telah menunjukkan kemampuan mereka hingga mencapai ijazah Doktor Falsafah biarpun mereka datang daripada aliran kebangsaan atau Melayu.            

Usaha untuk mempertingkatkan mertabat bahasa Melayu dapat dilihat daripada wujudnya Laporan Barnes, Laporan Fenn-Wu, Laporan jawatankuasa Penasihat Pusat Tentang Pendidikan, Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, dan Akta Pelajaran 1961. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah menjadi satu tajuk penting dalam laporan-laporan yang tersebut di atas.

 

Dalam tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan telah diluluskan oleh Prliamen Malaysia. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 ini sebenarnya dibantah oleh pejuang-pejuang bahasa Melayu. Mereka menuntut supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi yang tunggal sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Suruhanjara Reid, dan dijanjikan oleh Y.A.M. Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Di-Pertua UMNO dalam pilihanraya 1955.

 

Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah memberi taraf rasmi kepada bahasa Melayu sahaja kecuali dalam sembilan bidang yang tersenarai dalam Akta itu. Dari segi kuatkuasa undang-undang Akta Bahasa Kebangsaan 1967 memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Malaysia. Apa yang dipertikaikan oleh pejuang-pejuang bahasa Melayu ialah bahasa Inggeris tidak digugurkan dari Perlembagaan Malaysia, sungguhpun penggunaannya sebagai salah satu daripada bahasa rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia telah dibatalkan.

 

Pejuang-pejuang bahasa Melayu berpendapat bahawa pengguguran bahasa Inggeris sebagai bahasa rasi dari Perlembagaan Malaysia akan memperkuatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Kalau taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal hendak dicabar maka pencabar mesti mempunyai lebih daripada dua pertiga (2/3) undi di Dewan Rakyat kerana pencabar perlu meminda Perlembagaan. Tetapi sebagai satu Akta Parliamen, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 boleh dipinda atau digugurkan dengan 51% undi Dewan rakyat. Usaha untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal inilah yang telah mencetuskan tunjuk perasaan Keranda 152 dan pelbagai kegiatan lain yang digerakkan oleh pejuang-pejuang bahasa.

           

Panggilan pejuang-pejuang bahasa ini digunakan untuk merujuk kepada kerekayang telah bertungkus lumus memertabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi dan Bahasa Ilmu. Mereka ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik, termasuk pemimpin UMNO, pegawai-pegawai kerajaan yang kanan merangkumi Ketua Setiusaha Kementerian dan Ketua Pengarah, golongan ikhtisas, guru-guru, pelajar universiti dan maktab serta orang ramai. Dewan Bahasa dan Pustaka, di bawah pimpinan Allahyarham Tun Syed Nasir bin Ismail, telah memainkan peranan yang penting memartabatkan bahasa Melayu. Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) juga telah memberi sumbangan yang besar terhadap pemartabatan bahasa Melayu. Banyak lagi persatuan dan kumpulan Melayu yang barasa bertanggungjawab untuk meningkatan taraf bahasa Melayu.

 

Sejak Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir membangkitakan soal kelemahan bahasa Inggeris, beberapa orang pegawai Kementerian Luar Negeri pada tahun 1993 dahulu lagi, kita telah didengdangkan dengan peri pentingnya lagi kita menguasai bahasa Inggeris. Dr. Mahathir telah mencadangkan supaya beberapa kursus sains dan teknologi di universiti dikuliahkan dalam bahasa Inggeris dan tidak menggunakan bahasa Melayu lagi. Selain dari itu bahasa Inggeris akan digalakkan penggunaannya dalam bidang-bidang yang lain daripada kuliah, seperti seminar dan kertas projek.

 

Dalam pada itu Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) telah berkembang dengan pantas. Hampir semua IPTS menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pada masa sekarang terdapat lebih daripada 600 buah IPTS dengan lebih daripada 200,000 orang pelajar. Jumlah pelajar ini amat besar terutama sekali apabila diambil kira bahawa daripada 200,000 lebih pelajar di peringkat universiti (IPTS), Cuma 15% sahaja yang Melayu. Jumlah tenaga pengajar Melayu di IPTSsangat kecil.

 

Ada orang menghujahkan bahawa jumlah pelajar Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) adalah besar. Nisbah pelajar Melayu dengan bukan Melayu ialah 55: 45. Apabila digabungkan jumlah pelajar Melayu di peringkat universiti, iaitu: IPTA + IPS + pelajar Melayu di luar negeri, jumlah pelajar Melayu adalah 25% sahaja.

 

Inilah satu contoh yang sangat dikhuatiri oleh ramai orang Melayu, iaitu ada pembangunan tetapi tiada kemajuan. Memang benar baawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia sudah mula menjadi tumpuan kepada pelajar-pelajar dari luar Malaysia. Tetapi, yang lebih penting bagi Malaysia ialah perseimbangan antara pelajar Melayu dengan bukan Melayu di IPT.

 

Bagi Malaysia, pembangunan tidak semestinya bermakna kemajuan selagi ia tidak disertai oleh keadilan dan kesaksamaan.

 

Salah satu perkara penting yang dihadapi oleh orang Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kelemahan pelajar Melayu dalam bahasa Inggeris. Apabila kelemahan menguasai bahasa Inggeris ini dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir pada awal 1990-an, dan bagaimana pentingnya bahasa Inggeris dikuasai oleh orang Melayu, maka timbullah beberapa cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.

 

Dikemukakan satu syor untuk menghidupkan semula sekolah aliran Inggeris. Ramai juga yang menyokong. Pemuda UMNO tidak setuju dan demikian juga Gerakan Pendidikan Cina (Dong Jiau Zong). Cadangan untuk menghidupkan semula aliran Inggeris ini telah ditolak. Ada juga orang yang mengesyorkan supaya bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik. Cadangan ini tibul kerana ada orang yang menyatakan bahawa kelemahan pelajar Melayu dalam bahasa Inggeris ini disebabkan oleh kurangnya pelajar ini menggunakan bahasa Inggeris di luar bilik darjah. Oleh itu kerajaan BN hendak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik. Ramai yang menganggap ini sebagai tolak ansur yang munasabah dan nampaknya Perdana Menteri merestuinya. Namun demikian tidak kurang ramainya yang menentang. Mereka mengkritik pihak kerajaan yang cuba menggambarkan penukaan bahasa pengantar itu melibatkan DUA mata pelajaran sahaja.

 

Sebenarnya penukaran bahasa pengantar untuk sains dan matematik akan menjejaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar menggantikan bahasa Melayu dalam mata pelajaran sains dan matematik beerti bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa pengantar utama, sebagai yang dikehendaki oleh DPK. Di peringkat rendah dalam peperiksaan UPSR mata pelajaran yang terlibat ialah Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, akan diperiksa dalam bahasa Inggersis. Ada kemungkinan mata peajaran Contemporary English Literature juga akan diperiksa dalam bahasa Inggersi. Jadi mata pelajaran bahasa Melayu sahaja yang menggunakan bahasa Melayu.

 

Di peringkat menengah pula beberapa mata pelajaran sains akan di tambah, misalnya Kimia, Fizik, dan Biologi serta Matematik Tambahan ke bahagian Matematik. Mengikut satu kajian awal, apabila DPK dilaksanakan dengan tegas, sebuah universiti yang berasaskan sains, akan terpaksa menyediakan lebih daripada 80% kursusnya dalam bahasa Inggeris. Lagi seklai dasar hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama tidak dapat dilaksanakan.

 

Dari satu sudut yang lain, tenaga pengajar universiti yang berasaskan sains akan menulis buku atau makalahnya dalam bahasa Inggeris kerana hendak mendapatkan pasaran yang lebih besar. Pembentukan istilah dalam bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik tidak lagi begitu diperlukan kerana kursus dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Dalam keadaan yang sedemikian, bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang dalam bidang sains dan matematik kerana tiada keperluan. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa harian dan tidak menjadi bahasa ilmu. Martabatnya akan jatuh KECUALI kita jalankan penyelidikan yang akan membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di samping kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

 

Belum pun reda kepanasan yang dicetuskan oleh perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, timbul pula berbagai isu yang mustahak yang diketengahkan untuk memancing undi bagi pilihanraya kebangsaan 1969. Kaum Cina telah mencadangkan penubuhan ‘Universiti Merdeka’ yang akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Boleh dikatakan hampir seluruh orang Melayu tidak setuju dengan projek ‘Univesiti Merdeka’ ini. Untuk meringankan cerita, tercetuslah Peristiwa 13 Mei 1969.

 

Selepas terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) telah mengkaji keadaan ekonomi, politik dan kemasyarakatan negara dengan mendalam. Berbagai cara untuk memperbaiki keadaan dan dasar-dasar baru bagi mengurangkan ketidakseimbangan antara kaum telah dilaksanakan. Dasar pelajaran kebangsaan (DPK) dan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) yang lemah perlaksanaannya telah dijalankan dengan tegas. Kemasukan pelajar Melayu ke Universiti Malaya dipertingkatkan; demikian juga untuk dihantar ke luar negeri. Perlaksanaan dasar-dasar penting negara dengan tegas telah menghasilakn kestabilan dan kemakmuran.

 

Tetapi malangnya, semakin jauh kita beredar dari 13 Mei 1969, semakin lupa kita akan pengajaran-pengajarannya. Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan kita dirancangkan sedemikian rupa agar ia tidak semata-mata menyampaikan atau menyebarkan ilmu pengetahuan sahaja tetapi juga menjadi alat untuk membentuk jatidiri Malaysia dan perpaduan kebangsaan. Melalui DPK dan DBK ini, kita berharap akan terbentuk satu bangsa Malaysia (Malaysian Union).

 

Kita mesti menjalankan penyelidikan yang mendalam agar bahasa Melayu akan dapat memainkan peranannya sebagai asas kepada jatidiri Malaysia serta mengekalkan dan mempertingkatkan keMelayuan Malaysia.

 

 

Resolusi

Demi mengekalkan keMelayuan bangsa Malaysia, dan demi mengekalkan maruah dan martabat bahasa dan bangsa Melayu, bahasa Melayu hendaklah dikekalkan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024