Artikel

Bahasa Muka

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

MUKA kita banyak ‘bercakap’ terutama bercakap mengenai perasaan kita. Dengan menggunakan muka sahaja, tanpa bercakap walau sepatah pun, kita sudah boleh memberitahu apa perasaan yang kita rasa. Bagi menggambarkan sedalam mana perasaan yang kita rasai, muka kita dan gerak-geri badan kita akan sama-sama menyatakannya. Kajian oleh pakar-pakar psikologi mendapati muka kita boleh menyatakan perasaan bahagia, seronok, tersepit, takut, marah, sedih, benci, meluat, minat hairan dan tawakal. Budaya kita mempunyai peraturan yang memberitahu bila masanya kita boleh merasakan sesuatu dan bila masanya kita tidak boleh merasai perasaan yang serupa. Sebagai contoh, kita tidak dibenarkan menunjukkan rasa gembira apabila ada orang lain yang sedang berasa duka.

Wajah kita boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu (1) dahi dan kening, (2) mata dan (3) pelupuknya serta dari batang hidung ke bahagian bawah muka. Bagi membaca perasaan, kita boleh lihat gerak-geri yang berlaku pada bahagian-bahagian yang berbeza itu. Kajian mendapat wanita lebih mahir membaca komunikasi muka daripada lelaki. Kita semua belajar mengawal komunikasi muka. Ada empat jenis perbuatan yang mungkin kita lakukan dengan menggunakan muka kita:

1. Melebih-lebihkan ekspresi
Kita melebih-lebihkan komunikasi wajah kita apabila kita hendak menunjukkan perasaan kita dengan berlebih-lebihan. Sebagai contoh kita melakukan perbuatan ini apabila hendak menunjukkan kita seronok menerima hadiah yang tidak diduga.

2. Mengurangkan ekspresi
Kita mengurangkan gerak-geri pada wajah kita kerana tidak mahu menunjukkan semua perasaan kita. Sebagai contoh, kalau ada orang lain yang tidak dapat hadiah, jadi bagi menjaga hatinya kita lakukan perbuatan ini.

3. Menghapuskan ekspresi
Kita menghapuskan gerak-geri pada wajah supaya kelihatan seolah-olah kita tidak berasa apa-apa. Sebagai contoh, kita pura-pura tidak berasa sedih atau risau di depan orang lain kerana tidak mahu orang lain ikut sedih atau risau.

4. Menutup ekspresi
Kita menutup gerak-geri pada wajah yang sepatutnya tidak kita tutup dengan menggunakan gerak-geri lain kerana kita tidak mahu orang tahu kita sedang merasakan perasaan itu. Jadi, sebagai contoh kita menutup rasa kecewa menggunakan gerak-geri gembira.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024