Artikel

Bahasa Ruang

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

RUANG memainkan peranan penting dalam komunikasi. Ada empat jenis jarak ruang dan keempat-empat jenis itu selaras dengan jenis-jenis perhubungan iaitu perhubungan intim, peribadi, sosial dan awam.

1. Jarak intim
Jarak ini ialah di antara sentuhan sebenar hingga 18 inci. Dalam jarak ini kita boleh memandang, menyentuh, mendengar dan menghidu bau orang itu. Malah kita dapat merasa nafasnya. Jarak ini kita gunakan bagi melakukan seks, melindungi dan menenangkan orang itu. Jarak ini tidak membenar-kan orang yang tidak kita kenali masuk ke dalamnya. Kalau mereka masuk juga, seperti di dalam bas yang sesak, kita tidak mahu melihat orang itu. Sebaliknya mata kita akan terpaku memandang benda-benda lain yang jauh. Dalam jarak ini, bahasa badan lebih berfungsi daripada kata-kata. Kalau ada percakapan, biasanya isi percakapan itu adalah rahsia yang sangat dirahsiakan. Suara digunakan ialah bisikan.

2. Jarak peribadi
Jarak ini adalah antara 18 inci dan 4 kaki di sekeliling kita. Jarak ini kita bawa ke mana-mana kita pergi. Orang lain hanya boleh menyentuh kita dari jauh sahaja iaitu dengan menghulurkan tangan mereka. Dalam jarak ini topik yang dipercakapkan ialah hal-hal peribadi. Orang-orang yang kita benarkan masuk ke dalam jarak ini ialah sahabat-sahabat dan adik beradik. Suara yang kita gunakan ialah suara rendah.

3. Jarak sosial
Jarak ini adalah antara 4 kaki dan 12 kaki. Ini kita gunakan dalam majlis-majlis sosial. Ia adalah jarak yang rasmi dan kita gunakan bagi tujuan-tujuan rasmi. Dalam jarak ini topik-topik yang dibincangkan adalah topik-topik bukan peribadi. Ia boleh didengar oleh orang-orang lain. Suara yang kita gunakan adalah suara penuh. Jarak ini sesuai bagi perbincangan rasmi di dalam pejabat.

4. Jarak am
Jarak ini adalah antara 12 kaki hingga 25 kaki. Ini adalah jarak yang digunakan oleh tokoh-tokoh awam. Jarak ini juga digunakan di dalam majlis-majlis ucapan rasmi. Suara yang digunakan adalah suara kuat. Jarak yang kita gunakan dipengaruhi oleh beberapa faktor:

a. Jantina. Perempuan duduk dan berdiri lebih dekat sesama mereka dibandingkan lelaki dengan lelaki. Lelaki atau perempuan akan pergi berjumpa perempuan lebih dekat daripada apabila mereka berjumpa lelaki.

b. Usia. Jarak bertambah luas apabila usia bertambah tua. Jarak antara orang-orang yang sebaya lebih dekat daripada dengan orang-orang yang lebih tua atau lebih muda.

c. Personaliti. Orang-orang yang introvert dan orang-orang yang kurang tenang jiwanya menggunakan jarak yang lebih jauh daripada orang-orang yang extrovert.

d. Kenal. Orang-orang yang kenal satu sama lain menggunakan jarak yang lebih dekat antara satu sama lain.

e. Suka. Kita lebih suka berada dekat dengan orang yang kita sukai.

f. Status. Makin besar jurang status seseorang, semakin jauh jarak yang digunakan.

g. Rasmi. Semakin rasmi situasi itu semakin jauh jarak yang digunakan.

h. Tujuan. Kita menggunakan jarak dekat apabila tujuan interaksi kita ialah untuk bekerjasama. Apabila tujuan interaksi itu ialah untuk bersaing kita akan menggunakan jarak yang lebih jauh.

i. Ruang. Semakin besar ruang yang ada, semakin dekat jarak yang digunakan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024