Artikel

Bahasa Suara

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

PENUTUR lelaki dan wanita bercakap menggunakan darjah kelangsingan suara yang jauh berbeza, iaitu melebihi pengaruh perbezaan anatomi. Perbezaan pada kelangsingan diperlihatkan sejak kanak-kanak lagi, iaitu sebelum suara remaja lelaki berubah berikutan perubahan akil baligh. Perbezaan yang sangat ketara itu adalah pengaruh peranan sosial yang menghendaki supaya wanita dan lelaki membezakan suara mereka. Masyarakat menghendaki supaya lelaki bercakap menggunakan kelangsingan rendah manakala wanita bercakap menggunakan kelangsingan tinggi. Lelaki juga bercakap dengan darjah kekuatan yang lebih tinggi daripada perempuan. Suara mereka dapat didengar pada jarak yang lebih jauh dan suara lelaki lebih bertenaga daripada suara wanita.

Kesan tekanan itu begitu kuat sehingga penyimpangan daripada pola itu mengakibatkan kesan serius terhadap tanggapan orang terhadap personaliti penutur yang terlibat. Sebagai contoh, lelaki yang bercakap dengan kelangsingan tinggi seperti wanita akan diejek dan dicemuh di belakangnya dan pendapat mereka tidak didengar dengan serius dalam perbincangan. Suatu hal yang menarik ialah para pembaca berita wanita membaca berita menggunakan kelangsingan rendah, iaitu hampir sama rendahnya dengan kelangsingan suara lelaki. Oleh kerana kelangsingan rendah dikaitkan dengan lelaki dan lelaki memiliki autoriti yang lebih tinggi di dalam masyarakat, maka apabila wanita menggunakan suara dengan kelangsingan rendah, suara mereka akan dianggap memiliki autoriti yang lebih.

Kajian menunjukkan wanita lebih banyak menggunakan kepelbagaian pola intonasi dan lebih banyak kontrasnya berbanding lelaki. Dalam erti kata, wanita bercakap dengan banyak beralun-alun, manakala lelaki bercakap dengan suara mendatar. Kepelbagaian intonasi dan kontras pada suara wanita itu dikaitkan dengan pola intonasi percakapan yang tidak pasti, percakapan gaya manja, gaya mengada-ada, gaya tertanya-tanya, serta perasaan serba tidak berdaya. Pola-pola itu menghakis autoriti pada suara seseorang wanita apabila dia bercakap. Kepelbagaian intonasi itu juga dikaitkan dengan pameran emosi.

Kajian mendapati, semakin seseorang itu emosional, semakin banyak variasi intonasi pada suaranya. Itulah sebabnya percakapan wanita selalu dianggap percakapan yang emosional dan oleh yang demikian dianggap ia tidak objektif. Dalam masyarakat kita, perbuatan mempamerkan emosi dianggap ciri-ciri kelemahan peribadi orang yang bercakap. Kajian juga mendapati terdapat kaitan antara pameran emosi dan status sosial yang rendah. Ada semacam tanggapan pameran emosi adalah ciri gaya bercakap golongan berstatus rendah. Dalam erti kata lain, individu-individu yang statusnya tinggi tidak banyak mempamerkan emosi mereka apabila bercakap. Supaya wanita mendapat layanan serius apabila bercakap dengan lelaki, mereka perlu menurunkan kelangsingan suaranya dan mengurangkan perbuatan yang mendedahkan emosi mereka. Mereka juga perlu mengurangi kepelbagaian intonasi dan kontras pada suara mereka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024