Bahasa Rojak.

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

Dr. Awang Sariyan
Pengarah Jabatan Bahasa, DBP Malaysia

/

PENDAHULUAN

Sebagaimana popularnya rojak sebagai makanan kegemaran ramai, tampaknya begitulah jua popularnya ‘bahasa rojak’ dalam tempoh beberapa bulan akhir-akhir ini.Isu tersebut menjadi salah satu isu bahasa yang hangat diperkatakan dalam media dan dalam pelbagai wacana seperti forum dan seminar, selain isu nasib bahasa Melayu yang kelihatannya masih bagai telur di hujung tanduk apabila dipinggirkan atau tidak diberi keutamaan pada tempatnya yang hak dan wajar, seperti dalam sesetengah majlis dan acara rasmi dalam negara, pada iklan dan papan tanda perniagaan, pada nama jalan, taman perumahan dan bangunan dan sebagainya.

Pada pendapat sesetengah orang, fenomena bahasa rojak atau bahasa yang bercampur-aduk itu tidak lebih daripada fesyen semasa yang tidak patut mencemaskan. Orang yang menilai bahasa sebagai fenomena sosial semata-mata menganggapnya sebagai realiti dan juga perkembangan yang biasa. Malah tidak kurang pula yang keliru dan mengatakan bahawa sejak beratus-ratus tahun dahulu bahasa Melayu sudah menerima kata dan istilah daripada bahasa asing dan oleh itu tidak relevan hal itu dijadikan isu.


BAHASA ROJAK SEBAGAI SATU BENTUK KERANCUAN BAHASA

DALAM bidang linguistik atau ilmu bahasa, sebenarnya tidak pernah ada istilah bahasa rojak. Istilah ini ditimbulkan oleh sejumlah orang yang melihat adanya fenomena bahasa yang bercampur-baur antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, daripada sudut pandangan orang awam. Mereka mengaitkan sesuatu yang bercampur-campur itu sebagai rojak, kerana rojak merupakan makanan daripada bahan-bahan yang bercampur-campur. Dalam hal ini, bahasa yang bercampur-campur itu pun dikaitkan oleh mereka dengan rojak, lalu timbullah istilah bahasa rojak. Bahasa rojak membawa konotasi yang tidak murni walaupun rojak itu sendiri makanan yang enak dan digemari ramai.

Dalam soal istilah bahasa rojak, kesnya sama dengan istilah najis dadah yang pada suatu waktu dahulu menimbulkan persoalan juga. Dadah, menurut hukum agama bukan najis, kerana dadah dapat menjadi unsur penting dalam perubatan. Tetapi, orang menimbulkan istilah najis dadah hanya untuk menunjukkan betapa beratnya ataupun buruknya kesan penyalahgunaan dadah. 

Ringkasnya, istilah bahasa rojak bukanlah istilah ilmu. Dalam ilmu linguistik tidak ada istilah itu, tetapi istilah itu dihasilkan oleh orang yang perihatin akan nasib dan maruah bahasa Melayu. Apabila mereka menyaksikan fenomena percampurbauran unsur-unsur bahasa asing dengan bahasa Melayu secara yang tidak bersistem atau tidak teratur, timbul rasa bimbang pada mereka akan maruah bahasa Melayu yang sejak ratusan tahun telah bermartabat tinggi. 

Fenomena percampuran dalam penggunaan bahasa sebenarnya bukanlah fenomena baharu walaupun istilah bahasa rojak itu agak baharu. Dalam linguistik, dikenal satu ragam bahasa yang disebut bahasa pijin dan ragam ini sudah sekian lama ada dalam sejarah pertumbuhan bahasa manusia. Dalam konteks masyarakat di Malaysia, masyarakat Cina Baba, misalnya, menuturkan satu ragam bahasa Melayu yang memperlihatkan percampuran unsur bahasa Melayu dengan bahasa Cina. Walau bagaimanapun, ragam bahasa masyarakat Baba ini masih dapat dianggap sebagai variasi bahasa Melayu.

Dalam bidang sosiolinguistik pula terdapat istilah peralihan kod (codeswitiching), iaitu penggunaan unsur bahasa asing pada tempat-tempat tertentu, sama ada dalam bentuk kata, frasa dan bahkan ayat dalam suatu wacana yang diujarkan oleh seseorang. Dalam bahasa Melayu, peralihan kod memang kerap berlaku, bukan sahaja dalam perbualan, bahkan dalam mesyuarat, kuliah, ucapan dan beberapa wacana rasmi yang lain. Unsur bahasa asing yang lazimnya dicampurbaurkan dengan bahasa Melayu ialah bahasa Inggeris. Ahli bahasa melihat bahasa yang bercampur-baur ini sebagai salah satu ragam bahasa basahan, iaitu bahasa yang digunakan untuk urusan yang tidak rasmi, seperti dalam perbualan, gurau senda dan sebagainya. Malah, Za’ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu ada menghuraikan perbedaan antara bahasa surat (bahasa persuratan) dengan bahasa mulut (bahasa pertuturan) yang sememangnya berlainan.

Dengan demikian, yang dikatakan bahasa rojak itu bolehlah dirumuskan sebagai satu variasi atau satu ragam bahasa basahan yang sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi.  Walau bagaimanapun, apabila bahasa ini digunakan dalam urusan yang rasmi, maka timbullah masalah kesalahan pemilihan ragam bahasa dan secara khusus masalah itu berkaitan dengan masalah kerancuan atau kesalahan bahasa dan juga isu kesantunan bahasa. Hal ini disebabkan bahawa penggunaan bahasa berkaitan dengan adab. Adab bermakna bahawa sesuatu hendaklah diletakkan pada tempatnya yang betul. Oleh yang demikian, bahasa hendaklah digunakan sesuai dengan konteks dan keperluannya.

Dalam urusan rasmi dan untuk keperluan mengungkapkan ilmu serta pemikiran, bahasa yang sesuai digunakan ialah bahasa yang baku, bukan bahasa basahan atau bahasa pasar. Selama bahasa yang bercampur-baur itu digunakan dalam bahasa pertuturan biasa seperti dalam perbualan dengan rakan atau anggota keluarga, tidak timbul isu. Hal ini demikian kerana kita faham bahawa dalam perbualan biasa yang tidak rasmi, memang mungkin sahaja timbul pelbagai unsur bahasa,  misalnya slanga, lingo, dialek dan bahkan ideolek.

Namun, disebabkan unsur bahasa yang sepatutnya terbatas dalam suasana tidak rasmi itu tampaknya telah melarat dalam bidang yang rasmi seperti dalam mesyuarat, penyiaran dan penulisan, maka memang dapat kita rasakan fenomena itu sebagai satu gugatan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana bahasa basahan atau bahasa pasar memang selamanya tidak pernah diangkat menjadi bahasa ilmu, pemikiran, pentadbiran, undang-undang dan budaya tinggi dalam mana-mana tamadun manusia. Bacalah Sulalatus Salatin, Tajus Salatin, Bustanus Salatin, ‘Aqaid al-Nasafi, Mutla’al Badrain, Siratus Salikin, Tuhfat al-Nafis, Kitab Pengetahuan Bahasa, Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan ribuan karya klasik dalam bahasa Melayu; kesemuanya menggunakan bahasa Melayu yang baku pada zaman itu. Bahasa pasar hanya digunakan dalam urusan asas sehari-hari.

Bahasa Melayu yang kini diwara-warakan sebagai warisan bangsa tentu tidak harus diwakili oleh ragam bahasa yang tidak keruan itu walaupun kita tidak perlu pula menafikan kewujudannya dan keperluan menggunakannya dalam suasana tidak rasmi. Bahasa yang menjadi warisan bangsa ialah bahasa persuratan, iaitu bahasa yang menjadi tonggak tamadun seperti yang tercermin dalam bidang ilmu, pemikiran, undang-undang, sastera dan sebagainya. Tradisi bahasa persuratan sebagai tonggak tamadun Melayu telah wujud sejak ratusan tahun lampau, khususnya di pusat-pusat tamadun Melayu seperti Melaka, Aceh, Pasai, Patani, Banjarmasin, Riau Johor dan yang lain-lain di bawah kesultanan Melayu. Apabila kita bercakap tentang bahasa Melayu dalam konteks warisan bangsa, rujukan utamanya adalah kepada bahasa persuratan atau bahasa baku dengan tidak pula menafikan kewujudan dan peranan ragam-ragam yang lain dalam konteks kehidupan bermasyarakat.


ANTARA BAHASA ROJAK DAN KATA SERAPAN

Timbul kekeliruan pada sesetengah kalangan yang salah faham akan fenomena bahasa rojak ini. Mereka yang salah faham ini menyamakan fenomena bahasa rojak dengan pengambilan atau penyerapan kata atau istilah asing sehingga timbul tanggapan yang tidak benar kepada golongan yang memperkatakan isu kerancuan bahasa yang secara popular disebut bahasa rojak itu. Timbul dakwaan bahawa orang yang sibuk memperkatakan bahasa rojak sebagai orang yang tidak memahami sejarah perkembangan bahasa dan tidak sedar akan adanya sekian banyak kata daripada bahasa asing dalam bahasa Melayu sejak ratusan tahun lalu. Lebih berat lagi, ada yang menuduh bahawa orang yang memperkatakan bahasa rojak ialah orang yang emosional dan tidak melihat kenyataan di hadapan mata, iaitu tidak sedar akan adanya belasan ribu kata dalam bahasa Melayu yang asalnya daripada bahasa asing. Maka ada pula yang menyarankan agar dijalankan kajian sama ada bahasa Melayu telah menerima kata-kata asing atau tidak. Malah seorang penyanyi dan penggubah lagu sampai mengatakan bahawa ucapan salam dalam bahasa Arab itu menunjukkan bahawa bahasa Melayu memang telah lama menerima kata asing dan oleh itu tidak patut timbul isu bahasa rojak. Sungguh dahsyat kekeliruan yang timbul.

Sebenarnya fenomena penerimaan kata dan istilah daripada bahasa asing tidak ada kaitannya dengan isu bahasa rojak. Kedua-duanya itu merupakan fenomena yang lain sama sekali.  Pengambilan kata dan istilah daripada bahasa asing ialah fenomena yang lumrah berlaku dalam mana-mana bahasa dan fenomena itu diterima sebagai fitrah bahasa. Menurut kajian, bagi bahasa Inggeris yang dianggap bahasa yang besar dan hebat itu pun, lebih 60 peratus kosa katanya atau perbendaharaan katanya berasal daripada kata asing. Sememangnya telah menjadi pengetahuan umum bahawa ada kata bahasa Inggeris itu yang diambil daripada bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Arab, bahasa Latin dan sebagainya. Bahkan ada kata daripada bahasa Melayu yang telah diserapkan ke dalam kosa kata bahasa Inggeris. Misalnya, kata ‘compound’, jika menurut Wilkinson, berasal daripada kata ‘kampung’. Begitu juga halnya dengan kata ‘orang hutan’ yang telah diterima masuk ke dalam kosa kata bahasa Inggeris walaupun sebutannya berubah menurut cara orang Inggeris menyebutnya. Ada sejumlah kata yang lain lagi daripada bahasa Melayu yang telah masuk ke dalam kosa kata bahasa Inggeris.

Demikian juga yang terjadi dalam bahasa kita. Seperti yang telah dicatat dalam pelbagai kajian sarjana tempatan dan sarjana dari luar Alam Melayu, bahasa kita pun dari waktu ke waktu menerima sekian banyak kata daripada bahasa asing. Antaranya termasuklah daripada bahasa Sanskrit, Arab, Belanda, Portugis, Sepanyol, China, Tamil dan Parsi.

Sebenarnya, tidak ada salahnya kita mengambil kata daripada bahasa asing untuk tujuan memperkaya ilmu, kebudayaan dan pemikiran bangsa. Hal ini bersesuaian dengan maksud firman Allah dalam ayat 13 Surah al-Hujurat yang dengan jelas menyebut tujuan dijadikan-Nya manusia ini berbangsa-bangsa (bererti wujud pelbagai bahasa), iaitu untuk saling mengenal. Jadi, usaha memanfaatkan kosa kata bahasa bangsa lain itu bagi tujuan meningkatkan ilmu, pemikiran dan kebudayaan, pada hemat saya, termasuk dalam konsep lita`arafu, yang disebut pada hujung ayat Qur’an itu.

Namun demikian, pengaruh bahasa asing itu tentulah diserapkan dan diambil secara sistematik. Maknanya, pengaruh bahasa asing itu ditapis melalui sistem bahasa Melayu, baik dalam hal fonologi mahupun morfologinya, sehingga tidak kelihatan atau kedengaran asing lagi supaya sesuai dengan sifat bahasa Melayu. Akhirnya kosa kata bahasa asing itu diterima pula sebagai sebahagian khazanah bahasa Melayu dan tidak dianggap kata asing lagi.

Hal ini sama sahaja halnya dengan yang berlaku dalam bahasa Inggeris. Sekian banyak kata daripada bahasa Latin, Perancis, Jerman dan Arab yang sudah ditapis menurut sistem bahasa Inggeris, akhirnya kini menjadi milik bahasa Inggeris. Siapakah yang sedar, kecuali ia mengkaji, bahawa sekian banyak kata dan istilah sains dalam bahasa Inggeris banyak yang diambil daripada bahasa Arab? Kata seperti chemistry, algebra, alcohol, arithmetic, sodium asalnya daripada bahasa Arab. Bahkan kata guitar, iaitu sejenis alat muzik itu pun, menurut sarjana yang bernama M.M. Shariff, diambil daripada kata al-qitharah dalam bahasa Arab. Demikian juga banyaknya kata dalam bahasa Inggeris yang asalnya daripada bahasa Latin dan bahasa-bahasa Eropah yang lain.

Dalam bidang linguistik, fenomena pengambilan kata dan istilah daripada bahasa asing itu dinamai peminjaman (borrowing), atau di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah yang digunakan ialah penyerapan atau pengambilan. Menarik tetapi lucu bagaimana kedua-dua istilah itu timbul. Dalam beberapa seminar dan kursus yang dianjurkan oleh DBP, agak kerap ditimbulkan oleh sesetengah orang yang menggunakan logikanya sebagai orang awam tentang kesesuaian istilah peminjaman bahasa itu. Ada yang menyoal: Bilakah agaknya kata-kata yang dipinjam itu akan atau perlu dikembalikan? Walaupun tidak menganggap istilah peminjaman itu salah, barangkali untuk mengelakkan salah faham sesetengah orang, maka DBP, sejak lebih dua dekad yang lalu, memilih istilah penyerapan dan pengambilan.

Dalam mana-mana bahasa pun, fenomena penyerapan dan pengambilan ini memang tidak dapat dan tidak perlu dielakkan. Tujuannya, tidak lain dan tidak bukan, ialah untuk kemajuan bangsa.  Namun, fenomena bahasa rojak atau bahasa yang tidak keruan, iaitu yang tidak teratur percampurbaurannya itu, ialah satu ragam bahasa yang tidak menurut sistem. Keseluruhan unsur bahasa asing itu memang dalam bentuk asalnya dan dicampurkan dalam wacana atau ujaran bahasa Melayu, seperti dalam percakapan, mesyuarat, ceramah dan sebagainya. Misalnya, dalam satu ayat yang pada asasnya ayat Melayu, dimasukkan beberapa patah kata bahasa asing atau beberapa frasa bahasa asing sehingga bercampur-baurlah ayat itu antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Fenomena itulah yang dikatakan oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai ‘sekerat ular sekerat belut’. 

Sebenarnya, jika unsur bahasa asing diambil dan digunakan dengan bersistem, tidak ada masalahnya. Misalnya, kata fenomena. Asal kata ini daripada bahasa Inggeris tetapi setelah diubahsuai ejaan dan sebutannya, kata ini telah diterima menjadi bahasa Melayu. Begitu juga kata sains, teknologi, atom dan ratusan ribu lagi kata dan istilah ilmu yang telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata dan istilah itu tidak wajar dikatakan sebagai bahasa rojak. Kekeliruan ini perlu dijelaskan kepada masyarakat supaya tidak timbul perbalahan yang sia-sia.

Sebenarnya, kajian tentang fenomena pengambilan kata daripada bahasa asing ini sudah begitu banyak dilakukan oleh para sarjana. Oleh itu tidak sepatutnya, walau sesiapa pun, terburu-buru mengatakan bahawa tidak ada kajian yang dijalankan tentang hal tersebut, semata-mata kerana ia tidak mempunyai maklumat atau tidak tahu akan adanya sekian banyak kajian itu. Tentang hal ini saya merujuk kepada ucapan seorang doktor perubatan yang disiarkan dalam salah satu akhbar perdana berbahasa Melayu yang mengatakan bahawa tidak ada kajian tentang kata-kata bahasa asing dalam bahasa Melayu lalu menyeru agar orang yang bercakap tentang bahasa rojak jangan emosional dan hendaklah membuat kajian lebih dahulu. Sehubungan dengan itu, segolongan lagi orang yang salah faham tentang isu bahasa rojak, iaitu yang mengaitkannya dengan pengambilan kata dan istilah daripada bahasa asing,  malah menuduh ahli dan pejuang bahasa menutup kemajuan bangsa apabila ‘menolak’ kata-kata daripada bahasa asing. Sesungguhnya, sangat malang apabila kekeliruan seperti itu berlaku dalam kalangan orang yang berpelajaran. Bayangkanlah, lain isu yang dibicarakan oleh pejuang bahasa, lain pula pemahamannya sehingga timbul dakwaan yang palsu dan ada pula yang bertaraf fitnah.

Perlu juga dijelaskan di sini bahawa bahasa rojak tidak sama juga dengan slanga. Slanga mewakili satu subbudaya yang dapat dipertalikan dengan sesuatu golongan dalam masyarakat yang memiliki beberapa ciri tertentu yang khusus menandai golongan itu. Mungkin disebabkan faktor usia atau faktor lain seperti kelompok atau bidang pekerjaan, mereka mempunyai seakan-akan satu bentuk budaya mereka sendiri yang disebut subbudaya (subculture). Gambaran subbudaya itu pula terpancar pada ragam bahasa yang dikatakan slanga atau slang.  Misalnya, remaja dan mahasiswa universiti memang ada slanganya masing-masing.

Selain itu, tidak harus pula penggunaan petikan atau kata hikmat dalam bahasa asing yang dijadikan maklumat pelengkap sesuatu fakta dalam ucapan atau tulisan itu dianggap bahasa rojak. Memang lazim bahawa dalam ucapan dan tulisan, kita memetik kata-kata orang ternama, peribahasa, ungkapan atau kata hikmat yang kadang-kadang sumbernya daripada bahasa asing. Sebaik-baiknya unsur itu kita terjemahkan, tetapi ada kalanya timbul keperluan mengekalkannya dalam bahasa asalnya untuk dihayati susunan bahasanya atau atas sebab lain yang munasabah.

Fenomena menggunakan bahasa Melayu yang bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris dalam ayat atau wacana, yang dikenal sebagai bahasa rojak itu dapat diterima sebagai kenyataan dalam kehidupan sehari-hari, selama penggunaannya terbatas dalam suasana tidak rasmi, misalnya dalam perbualan, gurau senda dan sebagainya. Namun, apabila fenomena itu berlaku dalam wacana yang rasmi sifatnya, seperti dalam mesyuarat di jabatan kerajaan, maka telah berlaku kesalahan memilih ragam bahasa yang sesuai dan telah berlaku kepincangan dalam adab berbahasa. Bukankah mesyuarat merupakan salah satu bentuk urusan rasmi kerajaan, yang sepatutnya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu yang rasmi dan bukan bahasa basahan?

Memang tiada sesiapa pun di dunia ini yang mampu mencapai titik kesempurnaan dalam berbahasa hingga tiada sama sekali terselit unsur bahasa asing. Tiada ahli bahasa mana pun yang mengharapkan keadaan sedemikian. Malah tiada ahli bahasa mana pun yang mampu mencapai kesempurnaan seperti itu. Hal itu bukan isunya. Isunya adalah apabila amat ketara percampurbauran antara bahasa Melayu dengan unsur bahasa asing dalam wacana yang rasmi seperti mesyuarat, ucapan, penyiaran dan sebagainya, maka terjejaslah budaya berbahasa yang sihat, iaitu yang berdasarkan adab seperti yang telah saya jelaskan awal-awal tadi. Setiap ragam bahasa ada tempat, keperluan dan suasananya yang tertentu. Apabila adab berbahasa tidak dijaga, akhirnya yang terhasil ialah bahasa Melayu yang kehilangan sifat dan nilai rasminya, seolah-olah bahasa Melayu hanya bahasa perbualan, bahasa gurau senda dan bahasa untuk berjual beli di pasar sahaja. Hakikatnya adalah bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ilmu, bahasa pemikiran, bahasa undang-undang, bahasa seni sastera yang halus, bahasa sains dan bahasa budaya tinggi dan oleh itu patut dipelihara serta diperkukuh ragam bahasa tingginya itu.


IMPLIKASI BAHASA ROJAK KEPADA TAMADUN BANGSA

Saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan sesetengah kalangan bahawa   isu kerancauan bahasa yang ditandai oleh bahasa rojak itu tidak patut dibesar-besarkan, atas alasan bahawa ada isu yang lebih besar. Ada yang berpendapat bahawa bahasa rojak ialah gejala atau simptom, bukan penyakit.

Yang dikatakannya penyakit yang sebenarnya ialah pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Saya tidak dapat bersetuju dengan pendapat itu, oleh sebab apabila kita melihat sesuatu masalah atau isu, kita perlu melihatnya secara keseluruhan.  Misalnya, dalam soal agama ada yang mengatakan soal pakaian sebagai soal sekunder atau soal kedua. Kata sesetengah orang, yang bertudung atau berkopiah pun boleh jadi penjenayah.  Jadi, isu besarnya ialah soal akhlak dan sahsiah orang itu. Hal itu memang benar, tetapi kita tidak boleh mendakwa orang yang memperkatakan soal menutup aurat sebagai orang yang berfikiran sempit kerana hal itu pun terangkum dalam agama juga. Maknanya, kita perlu melihat agama itu secara menyeluruh - ada yang fardu ain, ada yang fardu kifayah; kita perlu melihat kedua-duanya. 

Tentang soal bahasa pun, apabila kita bercakap tentang soal bahasa rojak, hal itu tidak bererti bahawa perhatian kita tertumpu semata-mata pada bahasa rojak. Pada waktu yang sama dan pada kebanyakan waktu yang lain pun, sebenarnya kita bercakap tentang hal-hal yang lebih besar - soal dasar bahasa, soal adanya jabatan kerajaan yang tidak melaksanakan dasar bahasa, soal kolej swasta tidak mengendahkan bahasa Melayu dalam pengajiannya, soal bahasa Melayu sudah tidak menjadi bahasa penghantar utama lagi dan sebagainya.

Soal itu memang masalah besar, yang dalam rekod perjuangan kita memang selalu kita bincangkan dan selalu kita timbulkan dalam seminar, dalam tulisan, dalam memorandum dan dalam pelbagai wacana yang lain. Tetapi, jangan kerana ada soal besar, soal yang kita anggap kurang penting itu kita lupakan, kerana harus ada keseimbangan antara pelaksanaan dasar bahasa di satu aspek, dengan satu lagi sisi yang penting, iaitu mutu bahasa yang kita perjuangkan itu. Soal mutu bahasa jangan diabaikan, kerana kata pepatah, ‘Bahasa jiwa bangsa’, ‘Bahasa menunjukkan bangsa’ dan ‘Hilang bahasa lenyaplah bangsa’.  Maka itu pada hemat saya kerancuan bahasa pun merupakan penyakit masyarakat dan negara yang perlu ditangani juga di samping kita memperjuangkan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan.

Kalau bahasa kita diletakkan di mercu pentadbiran dan pendidikan negara, yang tentu kita harapkan ialah bahasa yang baik mutunya, bukan bahasa yang buruk atau yang tidak mencerminkan martabat bahasa itu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Bagaimana dapat kita katakan bahasa Melayu ini bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan bahasa budaya tinggi kalau mutunya tidak terkawal? Kita tentu tidak mahu hal ini terjadi.  Oleh itu, mesti ada keseimbangan. Tentulah kita tidak dapat bersetuju kalau orang hanya bercakap tentang bahasa rojak dan tidak bercakap tentang soal dasar bahasa.

Bagi saya, kita tidak patut meremehkan bahasa yang baik, kerana dalam pertumbuhan dan perkembangan mana-mana tamadun, bahasa yang rasmi dan yang baku itu memang perlu untuk tujuan pemikiran, ilmu dan bidang kehidupan lain yang mencerminkan ketinggian tamadun bangsa itu. Bahasa basahan itu pula kita akui kewujudannya dan fungsinya untuk keperluan perhubungan sehari-hari. Secara mudah, keperluan kita terhadap bahasa yang rasmi samalah halnya dengan keperluan kita terhadap pakaian yang rasmi untuk majlis dan suasana rasmi. Sebaliknya bahasa basahan atau bahasa percakapan kita perlukan juga, sama halnya dengan keperluan kita akan pakaian basahan untuk di rumah dan di tempat lain yang sesuai dengan sifat pakaian itu. 

Dari segi sosiolinguistik, ada dua konsep yang penting kita fahami. Pertama, ada ragam bahasa yang dikatakan ‘bahasa terbina’ atau elaborated code, iaitu bahasa yang menjadi tunjang masyarakat moden. Bagi tamadun moden mesti ada bahasa yang terbina itu; barulah dapat berlangsung kehidupan bertamadun yang tergambar dalam bidang ilmu, undang-undang, pentadbiran, penerbitan dan sebagainya. Jelas bahawa semua itu memerlukan ragam bahasa tinggi yang saya sebut ‘bahasa terbina’ itu, iaitu perlu dirancang sistemnya, baik dalam hal kosa kata, tatabahasa, ejaan, sebutan mahupun larasnya. Bahasa sehari-hari untuk perhubungan biasa tidak mungkin dapat memainkan peranan untuk bidang-bidang itu. Bagi saya, ini bukan soal kecil dan remeh. 

Satu lagi ialah yang dikatakan ragam ‘bahasa terhad’ atau restricted code, iaitu bahasa yang digunakan untuk bidang yang terbatas, iaitu untuk perhubungan mudah dalam kehidupan sehari-hari, seperti perbualan, berjual beli di pasar dan sebagainya. Untuk sekadar hidup dan menjalani kehidupan yang amat sederhana, orang primitif pun dapat hidup dengan sekadar memiliki ragam bahasa terhad itu. Tetapi bagi masyarakat yang maju, ragam bahasa terhad itu tidak mungkin cukup. Hal ini berlaku dalam semua bahasa yang masyarakatnya bertamadun tinggi. Dalam bahasa Arab, ada konsep fusha, iaitu ragam bahasa Arab tinggi. Dalam bahasa Inggeris ada standard English dan Queen’s English walaupun tetap ada colloquail English.

Kalau kita bercakap tentang tamadun tinggi, kita tidak boleh meremehkan mutu bahasa. Saya selalu melihatnya sebagai keseimbangan.  Kedua-duanya itu mesti diberi penekanan yang sama; dasar bahasa penting dan mutu bahasa pun penting. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan lantang berbicara tentang bahasa Melayu sebagai warisan bangsa dan negara yang perlu diberi perhatian serius. Tentulah yang dimaksudkan oleh beliau itu bukan sekadar bahasa Melayu yang mewariskan pelbagai bentuk sastera yang unggul seperti pepatah-petitih, peribahasa, gurindam, syair, pantun, seloka, teromba, dan hikayat sahaja.

Daripada satu aspek, memang betul bahawa semua bentuk karya sastera itu merupakan warisan bangsa yang patut dihargai dan dihayati, malah disuburkan penggunaannya. Usah sekali-kali kita lupakan dan kita abaikan warisan karya yang menandai ketinggian pemikiran dan estetika bangsa kita itu. Tetapi, kalau kita mengatakan bahasa Melayu itu sebagai warisan bangsa dan negara Malaysia, maka bahasa itu mestilah diberi fungsi sezaman dan fungsi akan datangnya. Jika tidak, konsep warisan itu hanya berkaitan dengan anggapan bahawa bahasa sebagai artifek dan tinggalan untuk dimuziumkan dan diarkibkan.

Jika bahasa Melayu diiktiraf sebagai warisan bangsa, maka warisan itu mestilah sesuatu yang dipandang penting, sesuatu yang hebat dan gemilang. Maka itu, bahasa Melayu mestilah terus diberi peranan dalam kehidupan bertamadun di negara ini, sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa perniagaan dan bahasa pendidikan, sekarang dan akan datang, atau jika kita meminjam slogan parti UMNO, ‘dulu, kini dan selamanya’.

Jika peranan itu tidak diberikan, ertinya kita akan menyempitkan konsep warisan itu hanya pada apa-apa yang dihasilkan oleh pujangga dahulu. Kita hanya mengenang-ngenang, kita lagu-lagukan kenang-kenangan manis itu tetapi akhirnya bahasa Melayu tidak berfungsi dalam zaman ini dan akan datang. Bahasa Melayu tidak diberi peranan sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadibran, bahasa undang-undang, bahasa perdagangan dan sebagainya. Itu konsep warisan yang silap, dan oleh sebab itu hal ini adalah antara perkara yang amat kita tekankan dalam perjuangan kita, khususnya dalam kalangan pejuang kebangsaan.  Kita perlu memastikan bahawa dalam gelombang globalisasi, bahasa Melayu tidak turun darjatnya menjadi bahasa yang amat lokal atau digunakan oleh sejumlah anggota masyarakat, lebih parah lagi jika yang menggunakannya mewakili golongan yang tidak terpelajar dan berilmu.

Ertinya bahasa Melayu mungkin menjadi bahasa orang kampung sahaja jika tidak diberi peranan sebagai wahana bagi bidang-bidang kehidupan tamadun tinggi. Untuk memenuhi semua peranan itu, tidak mungkin kita menggunakan bahasa yang tidak terkawal mutunya, apatah lagi ragam bahasa yang tidak sama sekali menggambarkan tamadun tinggi kita, seperti bahasa rojak.


KAEDAH MENGATASI BAHASA ROJAK

Pertama, penggunaan bahasa yang baik dan santun hanya dapat dibudayakan melalui pendidikan. Oleh sebab itu semua pihak perlu menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk membina sahsiah generasi kita, termasuk dalam soal penggunaan bahasa dan kecintaan kepada bahasa warisan bangsa, sekalipun kita tetap perlu mempelajari dan menguasai bahasa asing. Di sekolah dan di institusi pendidikan yang lain, penekanan perlu diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa rasmi, di samping penguasaan pelbagai ragam lain untuk keperluan dalam kehidupan. Pelajar mesti diberi kekuatan menggunakan bahasa yang baik, teratur dan berkesan.

Anggapan bahawa bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Guru pula patut dapat menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur. Di maktab dan di universiti pun penguasaan bahasa yang baik perlu terus diberi penekanan. Tidak patut timbul anggapan salah bahawa pelajar telah belajar bahasa selama 11 tahun di sekolah dan oleh itu di maktab dan di universiti tidak perlu lagi ditekankan kursus bahasa.

Akibatnya ialah kegagalan kita melahirkan lepasan universiti yang mampu berbahasa dengan baik dan berkesan, baik secara lisan mahupun dalam tulisan. Dalam pengalaman saya selama 15 tahun mengajar di universiti, masih besar jumlah mahasiswa yang tidak mampu menulis esei dengan bahasa yang jelas dan kemas. Akhirnya mereka yang tergolong dalam kumpulan ini apabila keluar dari universiti dan masuk ke alam pekerjaan menjadi pegawai atau pengurus yang tidak dapat menulis dokumen dengan baik dan berkesan. Dalam mesyuarat pula, apabila bahasa Melayu tidak dapat dikuasainya dengan baik, maka mulalah mereka mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing, seolah-olah di luar kesedaran bahawa bahasa Melayu yang digunakan dalam mesyuarat itu ialah bahasa rasmi.

Yang kedua, saya menyarankan penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib untuk memastikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya pada papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, jalan, bangunan dan sebagainya. Demikian juga bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya. Majlis rasmi di peringkat kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Jika ada keperluan menggunakan bahasa asing atas sebab tertentu yang munasabah, maka bahasa Melayu mestilah diutamakan, baik dalam pengacaraan majlis, dalam ucapan dan juga pada latar pentas dan sekitaran majlis. Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini telah menyerahkan draf Garis Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Urusan dan Majlis Rasmi kepada Menteri Pelajaran dan diharapkan agar garis panduan itu dapat diluluskan oleh Jemaah Menteri sebagai panduan penggunaan bahasa yang baik, sama ada daripada sudut pengutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mahupun daripada sudut mutu bahasa yang digunakan.

Serentak dengan itu, mutu bahasa yang digunakan dalam semua bidang pentadbiran hendaklah dikawal dengan tegas. Dalam bidang pentadbiran, saran saya agak radikal tetapi masih tetap masuk akal. Jika kita dapat menerima sistem penolakan mata oleh Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menghukum pesalah di jalan raya, maka tidak munasabahkah kakitangan kerajaan yang mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dan yang meremehkan penggunan bahasa yang baik dipotong markah kemahirannya dalam penilaian prestasi kerjanya? Tentu langkah itu perlu didahului dengan usaha meningkatkan kemahiran bahasa mereka, sama dengan penekanan yang diberikan dalam kemahiran dalam aspek lain yang berkaitan dengan tugas kakitangan kerajaan. 

Dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu, badan atau agensi yang diberi amanah perlu tegas. Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Pengiklanan di Tempat Awam mensyaratkan pengutamaaan bahasa Melayu dan bahasa Melayu yang digunakan mestilah yang betul, malah disyaratkan supaya mendapat pengesahan DBP lebih dahulu.

Dalam bidang penyiaran pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bertanggungjawab memastikan garis panduan yang mensyaratkan 60% siaran mestilah dalam bahasa Melayu dipenuhi oleh stesen radio dan televisyen swasta dan di samping itu mestilah dalam bahasa Melayu yang terkawal. Hingga kini, tampaknya mutu bahasa Melayu dalam bidang-bidang itu masih sukar dikawal biarpun DBP menawarkan khidmat nasihat bahasa, memberikan kursus bahasa terus-menerus, mengirimkan surat teguran dan juga memberikan anugerah dan hadiah sebagai pengiktirafan. Kita akuilah hakikat bahawa belum meluas kesedaran dan budaya berbahasa yang baik dan berkesan dalam kalangan sebilangan anggota masyarakat kita. Bahasa sebenarnya belum lagi dihargai sebagai ‘jiwa bangsa’. Pantun ‘Yang kurik kundi, yang merah saga; yang cantik budi yang indah bahasa’ belum sebenar-benarnya dihayati oleh semua orang.

Selain itu, yang jauh lebih penting ialah keazaman politik dalam pelaksanaan dasar bahasa di negara ini. Jika para pemimpin memperlihatkan iltizam yang teguh dan jelas tentang keutamaan bahasa Melayu dan tentang mutu bahasa Melayu dalam ranah-ranah utama kehidupan di negara ini, maka saya yakin bahawa semua jabatan kerajaan dan pihak lain akan bersungguh-sungguh melaksanakan bahasa kebangsaan dan pada waktu yang sama peka akan mutu bahasa yang digunakan. Kita berdoalah bersama-sama agar iltizam Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai warisan bangsa dan negara yang agung menjadi kenyataan dan didukung oleh semua pihak, terutama pucuk pimpinan negara sendiri.


PENUTUP

Bahasa Melayu telah menjadi bahasa yang besar dan diiktiraf oleh dunia sebagai bahasa antarabangsa pada suatu zaman dahulu. Sepatah kata Francois Valentyn, iaitu sarjana Belanda yang menulis sejarah bangsa di bahagian timur dunia pada abad ke-18, bahasa Melayu sungguh luas daerah penggunaannya hingga sesiapa jua yang datang ke alam Melayu perlu mempelajari dan menguasainya; malah orang yang tidak menguasainya dianggap orang yang tidak terpelajar. Demkian juga, bahasa Melayu telah menjadi bahasa hubungan diplomatik apabila segala surat dan perjanjian antara kerajaan di alam Melayu dengan kerajaan atau pihak lain di luar alam Melayu semuanya ditulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Tentulah yang menjadikan bahasa Melayu demikian besarnya itu ialah bahasa yang teratur, terkawal dan berkesan pula, iaitu bahasa yang baku dan rasmi. Hakikat ini perlu dipertahankan jika kita hendak menjadikan bahasa Melayu bahasa yang mampu menjadi bahasa dunia moden. Usahlah diturunkan darjat bahasa Melayu yang sudah mencapai taraf bahasa tinggi itu dengan mencemarkannya, atas nama perkembangan bahasa, fesyen semasa atau kebebasan dan hak asasi menggunakan bahasa.