Artikel

Perancangan Bahasa Melayu Di Malaysia

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

CERITERA TENTANG KEJAYAAN

PERANCANGAN BAHASA MELAYU

DI MALAYSIA

 

Dr. Awang Sariyan

Dewan Bahasa dan Pustaka

([email protected])

 

 

Latar Belakang

1.1 Apabila ada orang yang bercita-cita untuk mengagungkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam ranah kehidupan penting di negara ini, salah satu senjata yang digunakan ialah membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu miskin ilmu, bahasa Melayu bahasa setempat dan bukan bahasa antarabangsa, bahasa Melayu bahasa estetik dan bukan bahasa dinamik, bahasa Melayu kekurangan istilah, dan bahasa Melayu kekurangan itu dan ini. Orang yang membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu sama ada tidak sedar atau tidak pernah berusaha mengambil tahu akan perkembangan bahasa Melayu sejak dirancang secara rasmi menjelang dan sesudah kemerdekaan negara ini. Jika sekalipun benar ada kekurangannya, bukankah tanggungjawab semua orang yang mengaku menerima bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, lebih-lebih lagi golongan pemimpin dan cendekiawan, memajukan bahasa itu? Adakah bahasa Melayu akan maju dengan sendirinya tanpa usaha, iltizam dan kesungguhan kita sendiri? Adakah bahasa-bahasa maju yang lain, hatta bahasa Inggeris yang asalnya bahasa masyarakat petani itu maju dengan sendirinya tanpa usaha cendekiawannya? Dalam makalah singkat ini, saya mengajak khalayak menjejaki ceritera jaya tentang bahasa Melayu sejak dirancang secara rasmi, khususnya sejak setahun sebelum kemerdekaan, apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Pada tahun itu juga kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai persiapan menjadikan bahasa Melayu wahana komunikasi yang berkesan dalam pelaksanaan jentera pentadbiran negara (bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi), dalam perundang-undangan dan kehakiman, dalam pendidikan dan dalam pelbagai sektor kehidupan yang lain. Selain itu, ditubuhkan juga oleh kerajaan Institut Bahasa (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia) sebagai langkah mempersiapkan tenaga pengajar bahasa Melayu untuk mendidik generasi muda di negara ini.

 

1.2 ‘Perancangan bahasa’ merujuk kepada proses pembinaan dan pengembangan

sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bentuk undang-undangnya, perancangan bahasa Melayu diasaskan pada Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

1.3 ‘Pembinaan bahasa’ merujuk kepada usaha melengkapkan bahasa daripada sudut korpus bahasanya, iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa agar dapat bahasa itu memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. ‘Pengembangan bahasa’ pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina korpusnya itu kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa.

1.4 Perancangan bahasa di Malaysia, sebagaimana yang telah saya sentuh lebih awal, secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggaknya, iaitu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960) telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini; malah Akta Pendidikan 1996 yang menggantiakn Akta Pelajaran 1961 pun dapat dikatakan mengekalkan semangat yang diusulkan oleh Penyata Razak. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Bahasa pada tahun itu juga merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi pembinaan negara.

Sehingga kini, sudah hampir setengah abad negara ini membangun dengan berasaskan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi utamanya, terutama dalam bidang pentadbiran dan pendidikan, dan secara beransur-ansur dalam bidang undang-undang dan kehakiman serta swasta. Apabila di dalam Wawasan 2020 diungkapkan gagasan pembinaan negara maju dengan berteraskan acuan sendiri, maka peranan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi pembangunan merupakan salah satu pemenuhan gagasan itu.

2. Kejayaan dalam Pembinaan Bahasa Melayu

2.1 Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan negara telah dilakukan secara terancang apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, mula-mula sebagai jabatan kerajaan dan kemudian dengan lulusnya Akta DBP 1959, bertukar tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan. Pembinaan bahasa yang dikenal juga dengan nama perancangan korpus bahasa dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.

2.2 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Ejaan: Usaha pengemaskinian sistem ejaan dilakukan untuk mengatasi masalah tidak selarasnya beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Sistem ejaan Rumi yang sedia ada sejak tahun 1940-an ialah sistem ejaan Za`ba, tetapi kemudian ada pula sistem ejaan Universiti Malaya, sistem ejaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan versi lain yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Sesuai pula dengan semangat penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia untuk memenuhi kerjasama dan persefahaman serantau, sistem ejaan Rumi baharu yang dirasmikan ialah sistem ejaan yang diselaraskan bersama antara Kerajaan Malaysia (melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu) dengan Pemerintah Indonesia (yang diwakili oleh Panitia Kerjasama Kebahasaan), melalui badan rasmi kerjasama kebahasaan antara negara, iaitu Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972. Pengisytiharan Sistem Ejaan Rumi Baru (di Indonesia disebut sebagai Sistem Ejaan Yang Disempurnakan) berlangsung secara serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada 16 Ogos 1972. Di Kuala Lumpur, majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bin Hussein.

Dengan adanya sistem ejaan Rumi yang dikemaskinikan itu, segala dokumen pentadbiran, bahan pengajaran dan pemelajaran serta bahan untuk segala bentuk komunikasi tertulis diasaskan pada satu sistem ejaan yang relatif seragam dan hal ini membantu berlangsungnya komunikasi yang cekap dan berkesan, khususnya dalam pelaksanaan pentadbiran negara dan sistem pendidikan negara. Sebagai pedoman kepada masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sejumlah buku dan risalah, antaranya Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (1975), Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981), dan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan – Jawi (2001). Dalam konteks persefahaman dan kerjasama serantau dan antarabangsa, sistem ejaan Rumi itu, selain dirasmikan di Malaysia dan di Indonesia, telah diterima sebagai sistem ejaan yang rasmi di Brunei Darussalam dan di Singapura, dan diterima sebagai ejaan yang baku di Thailand Selatan dan di Kemboja serta di kira-kira 30 buah negara sedunia yang mempunyai pusat pengajian Melayu/Indonesia yang sejak tahun 2000 menjadi anggota Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sebagai Urus Setianya.

Selain usaha menyempurnakan sistem ejaan Rumi yang menjadi ejaan rasmi, usaha dilakukan juga untuk menyempurnakan sistem ejaan Jawi dan meluaskan penggunaannya dalam bidang-bidang tertentu, khususnya dalam bidang pendidikan dan di tempat awam. Pada tahun 1984 Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Konvensyen Tulisan Jawi dan bertitik tolak daripada konvensyen itu telah diusahakan pengemaskinian sistem ejaan Jawi hingga dapat diterbitkan Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986) dan daftar kata lengkapnya dalam Daftar Kata: Rumi – Sebutan – Jawi (2001).

Untuk kegunaan yang lebih berkesan dan praktis, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan usaha sama pihak swasta telah menerbitkan perisian komputer Dewan Eja yang merupakan penyemak ejaan Rumi bahasa Melayu.

2.3 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Peristilahan: Usaha menggubal istilah dalam bahasa Melayu untuk mengisi peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini telah bermula pada tahun 1957, dengan dua bidang terawalnya Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan Teknik. Sehingga kini, istilah yang terhasil dalam bahasa Melayu hampir mencecah jumlah 1 juta dan meliputi ratusan bidang ilmu dan profesional (Bidang istilah yang sedang diupayakan di peringkat Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia berjumlah 250 bidang). Jumlah buku istilah dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja ialah 199 judul. Seluruh peringkat dalam sistem pendidikan negara telah pun memanfaatkan penggunaan istilah yang digubal untuk penyampaian dan pengembangan ilmu kepada pelajar semua peringkat itu.

Daripada hampir seluruh bidang ilmu moden yang digubal istilahnya itu, baik dalam bidang ilmu sains sosial mahupun ilmu sains tabii, terdapat bidang baharu yang berkaitan dengan kemajuan negara yang mutakhir, iaitu aeroangkasa, kejuruteraan kapal terbang dan kejuruteraan automotif. Pengerusi Jawatankuasa Istilah Aeroangkasa, Dr. Ahmad Sabirin merupakan pakar yang mereka bentuk, melancarkan dan mengoperasikan mikrosatelit pertama Malaysia, iaitu TiungSAT-1. Keperluan terhadap istilah-istilah baharu dalam bidang tertentu dan keperluan terhadap istilah bidang ilmu dan profesional yang baharu terus-menerus ditangani oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pakar-pakar ilmu yang sebilangan besarnya terdidik dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekurang-kurangnya di peringkat sekolah.

Dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang, yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif melakukan penggubalan istilah, menyususn glosari dan kamus istilah serta mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing. Dalam usaha memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pun merancang dan memulakan gerak langkah meliibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional itu dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing, iaitu sebagai peningkatan dan peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini. Dijangka bahawa dengan strategi bersepadu dan terancang itu, penghasilan karya ilmu dalam bahasa Melayu akan menjadi cukup pesat dan diharapkan dapat memenuhi keperluan mengilmukan generasi pembina negara.

2.4 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Kosa Kata: Usaha merakamkan kekayaan kosa kata atau perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu secara terancang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bermula sejak awal tahun 1960-an. Namun lama sebelum itu kekayaan kosa kata bahasa Melayu telah dirakamkan oleh para sarjana asing sejak beberapa abad silam dalam bentuk daftar dan kamus, misalnya Daftar Kata Melayu – Cina (abad ke-15), Kamus Melayu – Itali oleh Antonio Pigafetta pada suku pertama abad ke-16, Kamus Melayu – Inggeris oleh Thomas Bowry pada awal abad ke-18, A Dictionary of the Malay Language oleh Marsden pada tahun 1821, dan beberapa buah kamus lain oleh R.J. Wilkinson (1901, 1908, 1932), W.G. Shellabear (1902, 1916) dan R.O. Winstedt (1913).

Usaha pertama Dewan Bahasa dan Pustaka yang bermula pada tahun 1964 terhasil pada tahun 1970 dengan terbitnya Kamus Dewan, iaitu kamus ekabahasa bahasa Melayu yang dianggap berwibawa sebagai rujukan. Kamus yang entrinya berjumlah kira-kira 30,000 patah itu kemudian diterbitkan dalam edisi baharu pada tahun 1984 dan 1989 (masing-masing dengan tambahan 900 entri dan 2,000 entri), edisi ketiganya pada tahun 1994 (dengan tambahan 6,000 entri) dan edisi keempatnya insya-Allah pada tahun 2003 (dengan tambahan 5,000 entri). Untuk pelajar sekolah menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka menyusun dan menerbitkan Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar pada tahun 1975, sementara untuk pelajar sekolah rendah disusun dan diterbitkan Kamus Rendah Dewan Bergambar pada tahun 1989 dan pada tahun 2002 ini dijangka terbit edisi baharunya dengan judul Kamus KBSR Dewan. Kamus ekabahasa bahasa Melayu yang dirancang memuatkan 67,000 entri, iaitu Kamus Umum Bahasa Melayu Dewan sedang disusun dan dirancang terbit pada tahun 2007.

Untuk keperluan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia (1979, edisi kedua 2001)), Kamus Inggeris - Melayu Dewan (1991), dan Kamus Inggeris – Melayu Dewan Edisi Ringkas (1995). Kamus yang sedang disusun dan dijangka terbit pada tahun 2007 ialah Kamus Bahasa Melayu – Bahasa Inggeris.

Kamus dwibahasa lain yang telah terbit ialah Kamus Perancis – Melayu (1996) dan kini sedang diusahakan edisi keduanya. Yang sedang disusun ialah Kamus Bahasa Mandarin – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Tamil – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Thai – Bahasa Melayu dan Kamus Bahasa Khmer – Bahasa Melayu.

Kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pula telah menjangkau jumlah 24 judul setakat ini dan banyak lagi yang dalam proses penerbitan dan penyusunan.

Menurut kajian yang telah dibuat tentang kepustakaan kamus Melayu di Malaysia, setakat ini tidak kurang daripada 552 judul kamus telah diterbitkan oleh pelbagai penerbit di negara ini.

Untuk memastikan pengembangan bahasa Melayu yang lebih berkesan, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama swasta telah menerbitkan kamus elektronik, iaitu Kamus Telapak BESTA DBP-1 (1998) dan Kamus Pena Quicktionary (2000).

2.5 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Tatabahasa: Tatabahasa Melayu sebagai asas sistem bahasa Melayu yang berkaitan dengan proses pembinaan kata dan ayat telah menjadi perhatian dan kajian sarjana Eropah, iaitu Belanda dan Inggeris sejak abad ke-17. Usaha penyusunan tatabahasa Melayu yang meninggalkan kesan dan pengaruh yang cukup besar ialah yang dilakukan oleh Pendeta Za`ba. Karyanya yang berjudul Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga jilid telah membantu memantapkan perkembangan bahasa Melayu apabila buku tersebut menjadi rujukan utama dalam sistem pendidikan di negara ini selama puluhan tahun sejak 1940-an. Pada tahun 2000, buku itu diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam ejaan Rumi baharu sebagai buku edisi mewah.

Dewan Bahasa dan Pustaka berusaha mengemaskinikan tatabahasa Melayu dengan menerbitkan Tatabahasa Dewan Jilid 1 (1986), Tatabahasa Dewan Jilid II (1989) dan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993). Selain itu, banyak buku dan risalah tatabahasa lain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain. Mulai tahun 2001, Dewan Bahasa dan Pustaka telah merancang penyusunan Tatabahasa Praktis Bahasa Melayu untuk menjadi rujukan masyarakat umum. Sesuai dengan keperluan semasa, Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Universiti Multimedia telah menerbitkan CD-rom Tatabahasa Melayu yang interaktif sifatnya dan dirancang pelancarannya oleh Canselor Universiti Multimedia dalam bulan Julai 2002. Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka turut menerbitkan sejumlah buku tatabahasa lain, antaranya yang luas digunakan oleh pelajar di pusat pengajian tinggi termasuklah Nahu Melayu Mutakhir oleh Prof. Asmah Haji Omar.

2.6 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Sebutan: Usaha membakukan sebutan bahasa Melayu telah mula dibincangkan dan dirumuskan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956. Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1984 telah mula menggerakkan perumusan sebutan baku yang berasaskan rumusan Kongres dan bersempena dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu di sekolah pada tahun 1988, sebutan baku yang dirumuskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka telah diintegrasikan dalam sukatan pelajaran baharu mata pelajaran Bahasa Melayu. Bahan terbitan yang telah dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka antaranya termasuklah Pedoman Sebutan Baku Bahasa Melayu, Sebutan Baku Bahasa Melayu (berserta kaset) dan DaftarKata Bahasa Melayu: Rumi – Sebutan – Jawi.

2.7 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Laras Bahasa: Laras bahasa berkaitan dengan pelbagai bentuk penggunaan bahasa menurut bidang-bidang khusus, misalnya bahasa dalam bidang undang-undang, bahasa dalam bidang sains, bahasa dalam bidang kewartawanan, bahasa dalam bidang pentadbiran dan sebagainya. Pengayaan laras bahasa Melayu dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui penerbitan karya ilmu dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan juga penerbitan karya kreatif. Dari permulaan pembabitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam penerbitan, hampir 10,000 judul buku telah berhasil diterbitkan. Daripada koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (1966 – 2001), sejumlah 105,898 judul direkodkan sebagai buku yang didaftarkan di bawah Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1964 dan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1966. Walaupun jumlah lebih seratus ribu judul itu turut merangkum buku dalam bahasa lain, 60,474 judul merupakan terbitan dalam bahasa Melayu.

3. Kejayaan dalam Pengembangan Bahasa Melayu

3.1 Pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui program pengembangan di sektor awam, pengembangan di sektor swasta dan pengembangan di sektor antarabangsa.

3.2 Pengembangan bahasa Melayu di sektor awam: Pengembangan dalam sektor ini meliputi usaha mengadakan kursus, ceramah, forum dan seminar bahasa kebangsaan, pembentukan pegawai bahasa di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, program Munsyi Dewan (pengembang bahasa daripada kalangan guru di seluruh negara), khidmat nasihat bahasa, penghargaan dan pengiktirafan (seperti anugerah dan hadiah kepada tokoh ilmuwan bahasa, tokoh pejuang bahasa, tokoh penulis karya ilmiah dalam bahasa Melayu dsb.), pemantauan penggunaan bahasa di tempat awam, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Usaha pengembangan bahasa Melayu di sektor awam meliputi kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Daripada penilaian yang dibuat, terdapat kemajuan yang nyata tentang darjah keluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi jentera pentadbiran kerajaan dan juga tentang mutu bahasa yang digunakan tetapi masih perlu terus ditingkatkan usaha pemantapannya.

3.3 Pengembangan bahasa Melayu di sektor swasta: Usaha dalam sector ini dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996 melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta. Empat bidang utama diberi tumpuan perhatian, iaitu Perdagangan Dalam Negeri, Industri Khusus, Industri Perkhidmatan Kewangan dan Media Massa. Dalam setiap bidang utama itu, terdapat beberapa subbidang hingga akhirnya terdapat lebih 10 bidang yang ditangani untuk mengembangkan bahasa kebangsaan dalam sektor swasta.

Di bawah Perdagangan Dalam Negeri, terdapat subbidang Kompleks Beli-Belah, Perniagaan Francais, Produk Makanan dan Minuman, dan Telekomunikasi, Elektrik dan Elektronik. Di bawah Industri Khusus, terdapat subbidang Perhotelan dan Penginapan, Pengiklanan, dan Pengangkutan Awam. Di bawah Industri Perkhidmatan Kewangan terdapat subbidang Perbankan, Syarikat Kewangan dan Insurans. Di bawah Media Massa, terdapat Media Elektronik Kerajaan, Media Elektronik Swasta dan Pengeluaran Filem, Video dan Muzik.

Antara program yang dilaksanakan termasuklah kempen penggunaan bahasa kebangsaan, pemantauan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor swasta, khidmat nasihat bahasa, anugerah dan penghargaan, peraduan, khidmat pengeditan dan penerjemahan dokumen perniagaan dan kursus bahasa. Sejak digerakkan pada tahun 1996, secara beransur-ansur telah tampak kepekaan pihak swasta tertentu untuk ikut serta melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Usaha yang berterusan dan intensif sedang diperhebat.

3.4 Pengembangan bahasa Melayu di sektor antarabangsa: Kegiatan bermula dengan kerjasama antara negara Malaysia dengan Indonesia apabila termeterai Pernyataan Bersama Pemerintah Indonesia dan Kerajaan Malaysia pada 23 Mei 1972 dengan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia dan Menteri Pelajaran Malaysia sebagai wakil kedua-dua buah negara. Pernyataan Bersama itulah yang menjadi asas terbentuknya Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) pada tahun yang sama untuk melaksanakan penyelarasan sistem ejaan Rumi dan peristilahan antara kedua-dua buah negara. Pada tahun 1985, majlis tersebut diperluas keanggotaannya dengan masuknya Brunei Darussalam dan namanya berubah menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM). Republik Singapura menjadi anggota pemerhati sejak tahun 1983. Dengan tertubuhnya MABBIM, kekuatan bahasa Melayu di peringkat serantau semakin menyerlah kerana perkongsian kepakaran di peringkat supranasional dapat dilakukan, khususnya dalam bidang ilmu. Sejak tahun 1999, MABBIM telah merancang peluasan skop kerjanya daripada kerjasama ejaan dan peristilahan kepada penelitian dan penyusunan serta penerbitan karya ilmiah.

Dalam meningkatkan citra bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Sasaran Kerja Utama 1996 – 2000 telah memasukkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu sebagai salah satu tumpuan. Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dalam tahun 1997 dan pada tahun 2000 telah dilancarkan penubuhan majlis tersebut dengan dihadiri oleh wakil dari 21 buah negara di seluruh dunia. MABM telah menggariskan empat bidang utama gerak kerjanya, iaitu Kegiatan, Peneletian dan Penerbitan, Hal Ehwal Pengajaran dan Anugerah dan Pengiktirafan.

Bidang Kegiatan antara lain meliputi Program Pertukaran Tenaga Pengajar dan Pelajar, Pelbagai Pertandingan/Peraduan, Khemah Bahasa, Program Lawatan Sambil Belajar, Promosi Bahasa dan Persuratan Melalui Pameran dan Minggu Bahasa Melayu. Bidang Penelitian dan Penerbitan antara lain meliputi Penyelarasan Penyelidikan tentang Pelbagai Aspek Linguistik dan Persuratan Melayu di Semua Pusat Pengajian Melayu Sedunia dan Penerbitan Jurnal, Monograf, Buku dan Bahan Terbitan Elektronik tentang Bahasa dan Persuratan Melayu. Bidang Hal Ehwal Pengajaran antara lain meliputi Penyediaan Sukatan Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing Pelbagai Peringkat, Penyediaan Bahan Ajar, Penyediaan Ujian Setara, dan Penyediaan Pengujian dan Penilaian. Akhirnya, bidang Anugerah dan Pengiktirafan meliputi Penghargaan kepada Tokoh Pengembang Bahasa Melayu di Peringkat Antarabangsa, Penghargaan kepada Pelajar Terbaik Bidang Pengajian Melayu di Luar Negara, Penghargaan kepada Institusi Pengembang Bahasa Melayu di Luar Negara dan Biasiswa serta Geran.

4. Program Pengkomputeran Bahasa Melayu dan Pemanfaatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

4.1 Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden diseiringkan juga dengan pemanfaatan teknologi canggih, melalui program pengkomputeran. Ada dua bentuk program yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang pertama ialah pembinaan prasarana atau sistem untuk penyelidikan bahasa Melayu, sementara yang kedua ialah penyelidikan dalam bidang linguistik korpus dan linguistik komputeran. Setakat ini sebuah korpus bahasa Melayu dengan saiz 70 juta patah kata daripada pelbagai teks (akhbar, buku, novel, majalah dan lainnya) telah dibina untuk kegunaan penyelidik bahasa di dalam dan di luar negara.

Di peringkat kerjasama serantau, melalui MABBIM, telah mula diusahakan pembinaan Gerbang Bahasa Melayu/Indonesia pada WWW. Gerbang atau portal tersebut akan menjadi wadah bagi segala kemudahan untuk pengajaran, pemelajaran, penyebaran dan penelitian bahasa Melayu.

Di peringkat antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mula menyertai projek Universal Networking Language Pertubuhan Bangsa Bersatu. Projek ini tertumpu pada usaha menakrifkan suatu bahasa interlingua yang dapat digunakan untuk mengekodkan teks dalam sesuatu bahasa supaya teks tersebut dapat dibaca dalam pelbagai bahasa di Internet. Dijangka bahawa projek ini dapat meluaskan penyebaran bahasa Melayu di mata dunia.

4.2 Pemanfaatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah dimulakan juga dengan Projek Karya Net (yang menjadi wadah sarjana dan penulis berkarya di medan Internet), penerbitan pelbagai karya ilmu, pedoman bahasa dan karya kreatif dalam bentuk digital dan pengajaran bahasa dan persuratan Melayu melalui talian (Internet). Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pelbagai pihak sedang memperbanyak perisian komputer dan karya dalam bentuk digital dan elektronik dalam bahasa Melayu untuk membantu pencapaian misi negara dalam mengejar kemajuan pada era globalisasi.

 

 

 

 

 

5. Penutup

Huraian ringkas di atas memperlihatkan keupayaan dan kejayaan bahasa Melayu sebagai wahana tamadun moden bagi bangsa dan negara, khususnya dalam konteks pencapaian kemajuan dengan berasaskan acuan sendiri. Bukanlah semua kejayaan itu sudah cukup memuaskan dan bukan pula tiada kekurangan dan masalahnya. Namun segala kekurangan yang masih ada menjadi tanggungan kita mengatasinya dan dengan kepercayaan bahawa ikhtiar mesti dijalankan terus, yakinlah kita bahawa kekurangan di sana sini itu tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk mengurangkan, apatah lagi meminggirkan peranan bahasa Melayu dalam proses pembinaan negara. Proses pembinaan negara dengan berasaskan dasar-dasar negara seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan,di samping Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayan Kebangsaan, Dasar Perkongsian Kuasa Politik dan yang lainnya sejak kemerdekaan ternyata telah berjaya meletakkan negara pada tahap yang cukup membanggakan. Dasar-dasar tersebut, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan akan tetap relevan dan ampuh untuk kelangsungan tamadun bangsa dan negara ini selanjutnya dan menjadi kesilapan besar apa-apa percubaan untuk melemahkan apatah lagi merobohkannya. Usahlah dilupakan sejumlah lebih 5 juta lepasan tingkatan lima (1975 – 2001) yang terhasil daripada Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan itulah yang menjadi tenaga pembina dan pembangun negara ini. Kita barangkali memerlukan waktu puluhan tahun, malah mungkin lebih, untuk membina semula kekuatan bangsa dan negara yang telah utuh itu andai kata dasar-dasar kenegaraan yang terbukti berkesan itu diabaikan.

 

Rujukan

Abdullah Hassan (Ed). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. 1993. Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 1995. Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 2000. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Laporan Tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

 

Jabatan Bahasa
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
13 Jun 2002

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024